![]() |
| ROZITA Che Wan meraikan kejayaannya bersama anak sulungnya, Ammar Effendy pada Anugerah Stail EH! 2010 yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini. |
SOSOK tubuhnya yang masih bergetah mengalahkan anak dara membuatkan ramai yang cemburu padanya. Bukan itu saja, bahkan kejelitaan yang dimilikinya pula membuatkan ramai lelaki yang tidak lena tidur mereka.
Setiap kali dipuji kecantikannya, aktres Rozita Che Wan sering mengerut dahi seraya berkata: "Saya cantik di bahagian mana? Rasa macam biasa saja."
Bukan tidak mensyukuri pemberian Allah, tetapi Rozita lebih selesa menjadi seorang yang rendah diri.
Malah, dia juga sendiri tidak faham apabila ada segelintir pihak yang mendakwa dia seorang yang high maintenance (berbelanja besar) demi mengekalkan kecantikan dan penampilan diri
"Saya bukanlah seperti yang didakwa. Siapa kata saya seorang yang high maintenance? Saya sebenarnya seorang yang cukup ringkas.
"Saya bukanlah sering bergaya 24 jam. Ada masa saya suka sederhana tanpa solekan.
"Saya juga tidak obses pada spa dan salon. Untuk menata rias dan menjalani rawatan kuku tangan dan kaki pun hanyalah sebulan sekali.
"Jadi, bagaimana orang boleh kata saya seorang yang high maintenance. Kalau pada mata saya barangan itu cantik, saya akan tetap beli walaupun harganya murah," jelas Rozita dalam nada diplomasi mempertahankan pendiriannya.
Rozita berkata demikian sewaktu ditemui sejurus selepas majlis Anugerah Stail EH! 2010 yang berlangsung di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Anugerah yang diadakan kali kedua itu menyaksikan Rozita menjadi tumpuan utama pada malam itu apabila membolot tiga anugerah termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Stail EH! 2010.
Edisi pertama anugerah yang kali pertama diadakan pada tahun 2008 itu menyaksikan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi menjadi pemenang sulung kategori itu.
Dua kategori lain yang dibawa pulang Rozita malam itu adalah Selebriti Wanita Bentuk Badan Cantik dan Selebriti Wanita Paling Seksi.
Sebelum ini, pada majlis yang sama dua tahun lalu, Rozita menjadi pilihan pembaca majalah EH! apabila memilihnya untuk kategori Selebriti Paling Fotogenik.
Tahun ini, untuk kategori Selebriti Wanita Bentuk Badan Cantik, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu menewaskan empat calon lain iaitu Fasha Sandha, Fouziah Gous, Kat Mentor dan Maya Karin.
Sementara itu, untuk Selebriti Wanita Paling Seksi pula, Rozita sekali lagi menjadi pilihan dengan menewaskan Alyah, Daphne Iking, Jue Aziz dan Tiz Zaqyah.
"Saya tak sangka akan menang malam ini. Saya hadir pun sekadar untuk memberi sokongan kepada penganjur.
"Tetapi, apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang terutama untuk anugerah utama, saya memang terkejut kerana percaya ada calon lebih layak untuk memenanginya," ucapnya dalam nada syukur.
Memilih busana rekaan Kudin pada malam itu, buat pertama kalinya juga, Rozita membawa 'buah hati' untuk menemaninya ke majlis itu.
Buah hati kesayangan yang dimaksudkan bukanlah kekasihnya yang kini bertugas di Singapura tetapi anak sulungnya, Ammar Effendy, 14.
"Memang saya tidak mahu membawa anak saya ke majlis ini tetapi apabila melihat dia yang sudah siap berpakaian lengkap, terpaksalah saya membawanya.
"Adiknya di rumah pun menang mahu ikut sama tetapi saya melarangnya," ujarnya sambil ketawa.
Sempat juga Rozita ditanya apakah dia selesa dengan gelaran seksi dan wanita bertubuh paling cantik yang dimenanginya.
"Bagi saya, seksi itu subjektif dan saya percaya, ramai wanita bersetuju tentangnya. Seksi tidak bermakna anda perlu memakai pakaian ketat sehingga perlu mendedahkan semuanya.
"Ada ketikanya, wanita yang memakai baju kurung pun kelihatan seksi. Jadi, terpulang pada persepsi masing-masing untuk mendefinisikan istilah seksi itu," katanya yang turut tercalon dalam kategori Selebriti Pilihan Kulit Majalah namun tewas kepada Diana Danielle.
Malam itu juga menyaksikan keunggulan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza memenangi dua kategori iaitu Selebriti Pencapaian Terbaik dan Selebriti Contoh (Role Model).
Bagaimanapun, Siti tidak hadir kerana masih lagi bercuti dan diwakili oleh jurusolek kegemarannya, Nurul Shukor.
Acara yang diadakan secara dwi tahunan itu turut memperkenalkan dua kategori baru iaitu Jurusolek Selebriti Terbaik dan Pereka Fesyen Selebriti Terbaik.
Pemenang sulung kedua-dua kategori itu menjadi milik Nurul Shukor dan Rizalman Ibrahim. Sememangnya kemenangan dua personaliti unggul dalam bidang tata rias dan fesyen itu tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi.
Majlis yang dihoskan oleh Sharifah Aleya dan Nora Danish itu turut diserikan dengan persembahan oleh Najwa Mahiaddin, One Nation Emcees, Black, Farhan, Shila, Mizz Nina dan The Fabulous Cats.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: