SELAIN dikenali sebagai sebuah bandar di sempadan utara yang menjadi penghubung di antara Malaysia-Thailand, Bukit Kayu Hitam, Kedah menjadi tumpuan membeli-belah kepada pengunjung yang bertandang ke negeri Jelapang Padi.
Apa sahaja yang anda mahukan, semuanya ada di sini. Daripada keperluan harian seperti pakaian, cadar, kasut hinggalah barang-barang permainan, kepelbagaian beg, aksesori wanita, periuk belanga, makanan dan sebagainya.
“Selalunya aktiviti membeli-belah akan menjadi rancak pada sesi pembukaan pengambilan pelajar baru di Universiti Utara Malaysia (UUM). Ahli keluarga yang menghantar anak-anak mereka akan datang ke sini, mengambil kesempatan dengan membeli-belah.
“Pada hari minggu, ramai orang datang terutama rombongan dari luar negeri Kedah,” kata peniaga anak patung dan aksesori wanita, Basir Abu.
Basir, 48, mengakui kedai barunya itu dikunjungi ramai orang terutama pada hujung minggu. Keadaan semakin sesak sekiranya UUM dan Kolej Matrikulasi Kedah mengambil pelajar baru selain waktu konvokesyen.
Seorang lagi penjual yang menjual seluar jean, Abdul Kamal Romli, 37, memberitahu, kebanyakan barang-barang yang dijual di bazar itu boleh ditawar mengikut kebijaksanaan pembeli.
“Kalau mereka pandai tawar dan harganya munasabah, saya akan pertimbangkan.
“Di kedai saya, jean yang dijual mempunyai pelbagai rekaan dan semuanya baru-baru. Ia dijual pada harga di antara RM28 hingga RM55,” katanya yang membuka kedai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Sebuah lagi tempat beli-belah yang disyorkan kepada pengunjung apabila bertandang ke Bukit Kayu Hitam adalah Kompleks Bebas Cukai The Zon. Melangkah masuk ke dalamnya, hidung anda pasti akan tertambat dengan aroma minyak wangi yang dipamerkan di ruang kedai di lantai satu di situ.
Sebut apa sahaja minyak wangi kegemaran anda, Dunhill, Calvin Klein, Tommy Hilfiger, Hugo Boss, Giorgio Armani, Estee Luader dan Ralph Lauren, semuanya ada di The Zon.
Paling penting harganya lebih rendah berbanding di kedai-kedai yang menjual minyak wangi jenama tersebut kerana ia dijual di zon bebas cukai.
Selain itu, penggemar coklat juga boleh mendapatkan coklat kegemaran mereka di pusat beli-belah tersebut. Pelbagai jenis coklat ada dijual selain barang-barang seperti baju, kosmetik, pinggan mangkuk kaca dan lain-lain lagi.
Kepada seorang pengunjung, Nurhanim Abdul Rahman, 25, berkata, kunjungannya ke bazar tersebut adalah pengalaman keduanya. Dia tidak menyangka kawasan tersebut telah bertukar wajah dan kedudukannya lebih selesa berbanding tempat yang lama.
Proses menawar
“Sebelum ini, kedai sementara yang ada agak berserabut dan panas menyebabkan pengunjung rasa kurang selesa.
“Namun kunjungan saya kali ini amat mengujakan kerana tempatnya lebih praktikal dan memudahkan pelanggan membeli barang,” katanya yang tinggal di ibu negara.
Seorang pengunjung, Norazmi Isa, 30, berkata, beliau sering ke situ untuk membeli seluar jean kerana terdapat pelbagai pilihan selain harganya yang berpatutan.
“Saya selalu beli baju dan pakaian di bazar ini kerana senang hendak tawar-menawar malah pekedai tersebut juga telah mengenali saya,” katanya yang merupakan seorang anggota tentera yang ditugaskan di situ.
Norazmi menambah, disebabkan jarak Bukit Kayu Hitam yang agak jauh dari pusat bandar Alor Setar, menyebabkan dia memilih bazar dan kompleks bebas cukai sebagai lokasi membeli-belahnya.
“Saya rasa membeli-belah di sini pun tidak kurang hebatnya jika hendak dibandingkan di pusat bandar kerana semua barang yang dijual di Alor Setar juga ada di sini,” katanya. Bagaimanakah dengan kemudahan parkir?
Kepada yang datang ke Bukit Kayu Hitam dengan memandu kenderaan sendiri, pihak pengurusan menyediakan parkir bagi memudahkan kunjungan anda bersama keluarga. The Zon Bukit Kayu Hitam dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Sebuah lagi tempat menarik yang harus dikunjungi ialah Black Forest and Country Club. Khusus untuk penggemar sukan golf, ia terletak 35 minit dari bandar raya Alor Setar dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan 45 minit dari Hatyai, Thailand. Ia juga dilengkapi dengan Rumah Kelab.
Bukit Kayu Hitam merupakan salah satu destinasi terbaik yang menjadi pilihan anda untuk bercuti.
Sebelum meneruskan perjalanan anda ke Thailand, singgahlah sebentar ke Bukit Kayu Hitam kerana tempat membeli-belah yang ada di situ juga setanding di tempat-tempat lain di pintu masuk utama negara seperti di Padang Besar, Perlis dan Rantau Panjang, Kelantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: