Saturday, August 21, 2010

Bola jangan cecah tanah




DADANYA turun naik menahan nafas. Dia kelihatan begitu fokus, sambil matanya merenung tajam bola di kakinya.

Badannya meliuk lentuk mengikut arah pergerakan bola. Sesekali dia dilihat berdiri, adakalanya berbaring sambil melakukan beberapa aksi akrobatik. Aksi itu dilakukan selama beberapa minit dan yang pasti bola itu langsung tidak mencecah tanah.

Bagi Raja Badu Shah Raja Ahmad, itulah keistimewaan sukan freestyler atau gaya bebas bola yang sudah diceburinya sejak tujuh tahun lalu.

Di kalangan kalangan pemain-pemain bertaraf dunia sekali pun, tidak ramai yang mempunyai kemahiran berkenaan di atas padang. Antara beberapa pemain dunia yang dilihat paling menonjol pun hanya Ronaldinho, Zinedine Zidane, Christiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Tidak hairanlah aksi-aksi pakar gaya bebas bola sememangnya sentiasa dinanti-nantikan para peminat di seluruh dunia. Malah, sebahagian besarnya juga boleh dilihat melalui laman-laman Internet.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia meminati sukan itu kerana seni yang ditonjolkan semasa menimbang, mengawal dan melakukan pergerakan badan.

“Sebelum ini saya aktif bermain bola sepak dan pernah mewakili pasukan bola sepak Johor kategori bawah 21 tahun, namun kecederaan di bahagian paha menyebabkan saya terpaksa menggantung but lebih awal.


AKTIVITI memanaskan badan penting bagi mengelakkan risiko kecederaan.


“Sebab itulah saya berjinak-jinak di dalam sukan ini kerana ia tidak terlalu lasak dan boleh mencederakan, saya belajar melalui video-video di Internet, namun sekadar suka-suka sahaja,” katanya yang berusia 28 tahun.

Bagaimanapun persahabatan yang dijalin dengan Mohd. Shuhaimi Mohd. Khizari, 28, atau lebih dikenali dengan gelaran Dr. Freestyler di kalangan peminat bola sepak tempatan, mendorongnya melibatkan diri sepenuhnya di dalam sukan itu.

“Dia (Shuhaimi) telah mencipta nama lebih awal dalam sukan ini dan sering mengadakan persembahan di seluruh negara.

“Dia ibarat guru dan rakan karib, kami sama-sama berlatih dalam mempelbagaikan teknik dan kemahiran. Selepas yakin dengan kemampuan diri sendiri barulah saya mula mengikutinya mengadakan persembahan,” ujar graduan lulusan Diploma Produksi Multimedia, Institut Media Integratif Malaysia itu.

Anak kedua dari tiga beradik tersebut menambah, kemahiran yang diperoleh tidak datang sekelip mata sebaliknya memerlukan usaha yang berterusan dan disiplin yang tinggi.

Katanya, dia berlatih sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk meningkatkan stamina dan mengasah kemahiran. Semakin dekat persembahan latihan yang dijalani mungkin memakan masa lima hingga enam jam sehari.


TUMPUAN yang tinggi diperlukan bagi memastikan koordinasi badan dan pergerakan bola seiiring.


“Ini penting kerana sebagai freestyler, saya tidak boleh bergantung kepada kemahiran yang ada sebaliknya cuba mencipta pelbagai kemahiran.

“Persembahan juga perlu pelbagai agar tidak membosankan. Sebab itu kami sentiasa berbincang dan mempelbagaikan koreografi bagi memastikan persembahan yang diadakan menarik dan mampu mengujakan penonton,” katanya.

Kebiasaannya, dia dan beberapa krew Dr. Freestyler mengadakan persembahan di karnival atau membabitkan acara-acara sukan di seluruh negara.

“Siapa sangka daripada sekadar minat, bakat yang ada kini mampu menjana pendapatan sampingan, boleh dikatakan hampir setiap minggu kami memenuhi undangan,” jelasnya.

Ratusan teknik

Sementara itu, salah seorang krew Dr. Freestyler, Mohd Azwann Ismail, 18, tertarik pada sukan itu dua tahun lalu selepas melihat aksi Shuhaimi melakukan persembahan di sebuah pertandingan futsal.

“Keinginan untuk belajar begitu membuak-buak, setiap kali bertemunya saya akan minta petua. Bermula dengan belajar sendiri di rumah, saya mula menjadi krew Dr. Freestyler di samping belajar lebih mendalam tentang sukan ini.

“Pada masa yang sama, saya juga turut terlibat dalam pertandingan di samping persembahan di bawah seliaan Shuhaimi,” katanya yang menetap di Cheras.

Ujarnya, terdapat puluhan malah, ratusan teknik yang boleh dipelajari melalui sukan itu, namun ia bergantung kepada keupayaan seseorang individu. Ada yang mengambil masa seminggu dua dan tidak kurang berbulan-bulan untuk meningkatkan kemahiran diri dalam menguasai sesuatu teknik.

Bola yang ditimbang boleh diarahkan di semua anggota badan bermula dari kaki, paha, dada, kepala, belakang badan dan sebagainya.

“Apa yang penting ialah koordinasi badan dan bola mestilah seiring, lagi lama bola itu berada di udara dan lebih sukar teknik yang digunakan, ia menjadi bukti kehebatan seseorang freestyler,” katanya yang mengagumi Abbas Farid iaitu freestyler terkenal dari United Kingdom

Rakannya, Mohd. Ariff Abdul Karim, 18, pula berkata, minat yang mendalam dalam sukan bola sepak mendorongnya melibatkan diri dalam sukan itu.


RAJA (depan) dan Shuhaimi (dua dari kiri) berhasrat mengembangkan sukan freestyler di kalangan generasi muda.


Dia yang berpengalaman mewakili pasukan bola sepak sekolah sebelum ini, teknik-teknik yang dipelajari mampu menjadikan seseorang itu pemain bola sepak yang baik dan kreatif.

“Biarpun kedua-duanya memerlukan kemahiran yang berlainan, namun apabila ia digabungkan corak permainan seseorang itu akan lebih menarik dan menghiburkan.

“Memang tidak diakui, ramai pemain bola sepak tidak mampu menjadi freestyler yang baik. Tetapi harus diingat, seorang freestyler mampu menggunakan kemahirannya untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Buktinya banyak. Ronaldinho sendiri merupakan seorang freestyler dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia,” kongsinya.

Sementara itu, Shuhaimi yang melibatkan diri dalam sukan sejak sedekad yang lalu memberitahu selain mengadakan persembahan dia juga sering dijemput menjadi juri dalam pertandingan-pertandingan freestyler yang diadakan.

Pemegang rekod Malaysia Book of Records (MBOR) 2004 dalam acara menanduk bola paling lama iaitu sebanyak 235 kali, sebelum ini pernah mengajar akademi freestyler di Bukit Jalil yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun ia kini ditutup.

Mengakui agak kecewa dengan senario yang berlaku, dia yang mempunyai sijil jurulatih bertekad mencurahkan bakat dan ilmunya dengan mengadakan klinik kemahiran bola sepak bagi kanak-kanak berdekatan kediamannya di Taman Subang Perdana, Selangor.

“Jika tiada persembahan, saya dan beberapa anggota krew Dr. Freestyler akan mengajar, matlamat saya ialah untuk memperkembangkan sukan ini di kalangan generasi muda.

“Di luar negara terdapat akademi khusus bagi tujuan itu dan ia telah melahirkan ramai freestyler yang berkemahiran tinggi namun di sini sebaliknya, kita tiada program seumpamanya,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: