Friday, August 27, 2010

Bayi hidup semula dalam pelukan ibu


GAMBAR menunjukkan Kate dengan anak lelakinya yang didakwa mati pada satu program televisyen di Australia baru-baru ini.


SYDNEY - Seorang bayi lelaki pramatang yang telah disahkan meninggal dunia di Australia hidup kembali selepas dia dipeluk oleh ibunya selama dua jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian pada Mac lalu yang disifatkan sebagai keajaiban Tuhan, doktor-doktor memberitahu, bayi berkenaan yang diberi nama Jamie Ogg, tidak berpeluang untuk hidup setelah dia dilahirkan pada minggu ke-27 dengan berat badannya hanya 600 gram di sebuah hospital di sini.

Bagaimanapun, kembar Jamie iaitu Emily berjaya diselamatkan selepas dia diberikan bantuan pernafasan selama 20 minit.

Doktor kemudian menyerahkan Jamie yang disahkan telah meninggal dunia kepada ibunya Kate dan pasangannya David untuk penghormatan terakhir.

Sedih dan sukar menerima hakikat bahawa anaknya telah mati, Kate meletakkan Jamie di atas dadanya dan mengusap-usap anakya sambil menceritakan mengenai apa yang mereka ingin lakukan bersama jika dia dapat membesar bersama adik kembarnya, Emily.

Selepas dua jam dipeluk, tubuh Jamie kembali hangat dan dia mula menunjukkan tanda-tanda bernafas.

Kate kemudian memberikannya susu dengan menggunakan jari.

"Saya berasa sangat sedih apabila doktor memberitahu dia tidak dapat diselamatkan. Tanpa berfikir panjang saya terus memeluknya. Dia kemudian mula bernafas dan membuka mata. Sungguh ajaib," kata Kate.

Seorang doktor yang dipanggil untuk memeriksa Jamie mengesahkan bahawa bayi itu hidup, tetapi tidak dapat menerangkan bagaimana fenomena itu berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: