Saturday, August 28, 2010

Ana Raffali Syukur Diterima Peminat

Ana Raffali akan keluar dengan single raya berjudul Hari-Hari Hari Raya.

PENDATANG baru, Ana Raffali amat bersyukur walaupun masih lagi merangkak dalam dunia seni namun dia mulai mendapat perhatian peminat selepas lagunya sering disiarkan di stesen radio.

Kata wanita berusia 23 tahun ini, single keduanya, Tolong Ingatkan Aku berjaya mengangkat namanya untuk dikenali ramai.

"Setakat ini penerimaan pendengar terhadap single-single dan album saya semakin baik, ramai juga kini yang sudah mengenali siapa Ana Raffali. Ini adalah satu penghargaan buat saya.

“Bukannya apa, sehingga hari ini saya masih menganggap saya belum ada peminat lagi,” katanya.

Bercerita mengenai projek terbarunya, kata Ana dia gembira kerana single paling terbaru iaitu “Hari Hari, Hari Raya” telah pun siap dirakamkan. Lagu itu mempunyai kisah tersendiri

"Lagu ini siap pada Hari Raya tahun lepas lagi. Ketika itu saya bergaduh dengan abang-abang saya. Ye lah kami ada 11 orang adik beradik kalau bergaduh tu perkara biasa.

"Tapi kami hanya sempat bermaaf-maafan pada Hari Raya. Masa tu saya baru terfikir kenapa Hari Raya setahun sekali saja? Kalau setiap hari lagi seronok,” katanya. Berbicara tentang persiapan Hari Raya, Ana yang dikenali dengan imej berbaju kurung memberitahu telah menyediakan lebih 30 pasang baju baru sempena lebaran tahun ini.

"Baju kurung dan kebaya saya banyak sebab saya beli bukan hanya untuk Hari Raya semata-mata tapi untuk persembahan. Lebih 30 helai baju baru dalam almari. Kadang-kadang belum sempat pakai untuk raya lagi saya dah gunakan untuk majlis berbuka puasa.

"Tapi Alhamdulilah saya dapat banyak juga tajaan dari butik yang mahu menaja pakaian mereka kepada saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: