Saturday, August 28, 2010

Tauladan Dalam Estet

Sutradara Estet, Mamat Khalid.

Estet ialah sebuah filem yang menggabungkan kisah penuh aksi, lucu dan tauladan kepada masyarakat India dan Melayu.

Pendekatan yang lebih kepada kepahlawanan dan suspense thriller ala filem-filem dari Selatan India (Hollywood) ini berjaya membangkitkan rasa kasih sayang di antara kaum.

Menurut sutradara Estet, Mamat Khalid, filem tersebut sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat kerana ia menonjolkan aspek keakraban yang wujud di kalangan rakyat negara ini.

"Sebagai pembikin filem, saya melakar imej dan rasa keakraban di sekeliling saya. Itu yang saya rasa. Keakraban yang wujud tanpa kita menyedarinya," katanya pada tayang perdana filem Estet untuk warga media di Brem Mall, Kepong, Khamis lalu.

Mamat mengajak penonton menghayati setiap babak filem bernilai lebih sejuta ringgit itu kerana ia membawa mesej tersirat.

Sementara itu, Mamat berkata, tayangan filem itu tertangguh selama lebih dua tahun kerana kerja-kerja pengeditan melalui sistem audio jenis Dolby.

Kisah bermula apabila Estet Cinta Manis yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra.

Jasmine Michael (kiri) dan Farid Kamil.

Pertandingan itu tidak diadakan sejak 20 tahun lalu.

Farid dan Shashi adalah dua orang pekerja estet yang berkenalan sejak kecil lagi.

Mereka menghalang penindasan yang dilakukan oleh seorang kerani estet iaitu Pooniah yang mengambil kutipan getah pekerja estet dengan mencuri separuh dari hasil mereka untuk dijual ke pasar gelap.

Mereka berdua sering menjadi harapan pekerja estet yang lain untuk menyelamatkan penindasan yang berlaku pada setiap hari.

Tidak hairanlah seorang gadis jelita, Geetha begitu tertawan dengan kepahlawanan dan kebenaran hati dua jejaka itu.

Berbalik kepada perlawanan bola sepak itu, setiap penghuni estet ingin mewakili estet untuk menjuarai pertandingan tersebut.

Sesi latihan dan pemilihan pemain pun diadakan oleh Subramaniam iaitu bapa Geetha yang dilantik sebagai jurulatih. Tetapi ternyata pekerja estet itu bukanlah terdiri daripada golongan yang kaki bola.

Kebanyakan dari mereka adalah kaki bangku! Subramaniam terpaksa melayani pelbagai karenah dan gaya berlebihan anak-anak buahnya.

Sementara itu, ayah kepada Shashi, Ghandi, rupa-rupanya adalah bekas pemain bola negeri yang sangat mahir.

Bagaimanapun, kakinya telah dipatahkan oleh Junna iaitu samseng estet bersebelahan yang sengaja ingin menamatkan kerjaya Ghandi atas upahan Pooniah 20 tahun lalu.

Hidupnya kini dipenuhi kekecewaan dan perlawanan bola kali ini disambut dingin olehnya.

Dalam pada itu, plot bertambah rancak apabila tujuan sebenar Pooniah menghancurkan segala semangat dan ekonomi estet itu diketahui.

Pooniah rupa-rupanya ingin melihat estet itu bankrap bagi membolehkan dia dan konco-konconya membeli saham estet itu di bawah harga pasaran.

Untuk menambahkan kesengsaraan penghuni estet itu lagi, mereka sedar bahawa tujuan pertandingan bola sepak itu diadakan kembali adalah hasil cubaan Pooniah untuk memiliki Geetha.

Geetha dijadikan sebagai tebusan kepada Subramaniam supaya melangsaikan hutang kepada Pooniah.

Jika mereka menang di dalam perlawanan itu, segala hutang pokok dan bunga Subramaniam akan langsai. Sebaliknya jika mereka gagal, Geetha akan menjadi milik Pooniah!

Masalah itu membuatkan Subramaniam putus asa lalu ingin membunuh diri. Beliau sempat diselamatkan oleh Geetha dan merayu supaya ayahnya itu mencari peluang untuk menyelesaikan masalah itu dengan semangat yang tidak pernah luntur.

Permasalahan itu sebaliknya menguatkan lagi semangat setiakawan di antara pekerja estet. Mereka berjanji akan gigih berlatih bagi mencapai kemenangan.

Sudah tentu Pooniah dan koncu-koncunya cuba sedaya upaya untuk menghalang pasukan Subramaniam daripada menang.

Apakah kesudahannya? Mampukah pasukan Estet Cina Manis dapat menjuarai perlawanan bola sepak itu serta menyelamatkan Geetha daripada Ponniah?

Sama-samalah kita saksikan Estet yang bakal menjengah pawagam pada 4 Novemeber ini.

Ia dibintangi Farid Kamil, Jasmine Michael, Shashi Tharan, Siti Fazurina, Datuk David Arumugam, Rosyam Nor dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: