![]() |
| Yusof Haslam |
DALAM bidang perfileman tanah air, pengarah, penerbit dan pelakon, Datuk Yusof Haslam, 55, pernah digelar Penerbit Six Million Dollarman kerana banyak filem terbitannya mencatat kutipan tiket jutaan ringgit.
Filem Sembilu arahannya pada awal tahun 1990-an contohnya, mencatat kutipan tiket filem tempatan pertama tertinggi iaitu berjaya mengaut kutipan sehingga mencecah RM6 juta.
Bagaimanapun, ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa sebelum menjadi jutawan, Yusof pernah melalui suka-duka sebagai anak setinggan yang mendiami kawasan di Keramat, Kuala Lumpur sewaktu zaman kanak-kanak.
Menurut Yusof, setiap kali tiba 1 Syawal beliau pasti tidak akan melupakan saatnya membesar dalam sebuah keluarga miskin di mana pengalaman itu menyebabkannya kini lebih mengenal erti kesenangan yang dinikmatinya.
“Saya bukannya berasal daripada keluarga orang senang. Bapa hanya bekerja sebagai pemandu sahaja. Belanja sekolah pun cuma 40 sen sahaja ketika itu. Semasa hari raya bapa saya bagi duit raya RM1 sahaja.
“Walaupun jumlahnya tidak banyak tetapi pada tahun 1960-an jumlah itu amat besar bagi orang seperti saya yang tidak pernah pegang duit banyak,” katanya sambil ketawa kecil ketika ditemui pada majlis anjuran Persatuan Seniman Malaysia di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.
Namun, minat yang cukup mendalam terhadap dunia perfileman tidak menjadi halangan buat Yusof untuk mengikuti perkembangan filem-filem tempatan mahupun dari luar negara yang ditayangkan di ibu negara ketika itu.
Dengan berbekalkan duit raya yang diterimanya ketika zaman kanak-kanak, beliau tidak mahu melepaskan peluang menonton pelbagai jenis filem di pawagam-pawagam di sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi minatnya itu.
“Walaupun dapat duit raya beberapa puluh sen sahaja tetapi ia tidak menghalang saya menonton filem. Ketika itu, harga tiket wayang cuma 40 sen sahaja. Saya biasanya menonton wayang di pawagam Capitol di Kuala Lumpur pada musim hari raya.
“Antara cerita wayang yang saya tonton macam cerita cowboy, Hindustan dan juga cerita-cerita filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Saya kurang minat dengan cerita-cerita filem terbitan Cathay Keris, sebaliknya lebih suka dengan filem-filem terbitan Shaw Brothers.
“Mungkin sebabnya daripada segi jalan cerita atau penampilan para pelakonnya. Bagi saya, ketika itu raya adalah masa yang paling sesuai untuk saya menonton wayang di pawagam kerana dapat duit raya. Kalau hari biasa mungkin tidak (menonton wayang),” ujarnya.
Selain beraya dengan duit raya yang diterimanya, Yusof sehingga kini tidak pernah jemu menikmati lagu Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee yang juga lagu kegemaran arwah bapanya.
Beliau yang menggemari rendang daging setiap kali lebaran tidak menafikan generasi selepasnya iaitu anak-anaknya lebih bernasib baik kerana dibesarkan dalam kehidupan serba mewah.
“Zaman sekarang ini lebih materialistik. Anak-anak saya sendiri tidak pernah melalui keperitan hidup dalam keluarga yang besar, di rumah setinggan dan dengan pendapatan keluarga yang kecil.
“Anak saya Shamsul misalnya, selalu dapat apa yang dia mahu. Dia mahu minta duit buat filem dengan bajet satu atau dua juta ringgit, saya sentiasa cuba penuhi kemahuannya.
“Kalau zaman saya dulu jangankan satu atau dua juta ringgit, RM10 pun payah mahu dapat. Tunggulah masa raya, mungkin barulah dapat,” kata bapa kepada empat anak ini lagi.
Mengunjungi anak di Perth
Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Yusof menyambutnya bersama anak-anak, menantu serta tiga orang cucunya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, seminggu selepas beraya di Kuala Lumpur, beliau akan berlepas ke Perth, Australia bagi mengunjungi anak perempuannya, Nur Shamin, 22, yang kini sedang melanjutkan pengajiannya di sana.
“Saya akan mengambil kesempatan itu melawat dan beraya bersama anak saya itu di sana. Sudah lima tahun dia melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang Komersial di Universiti Curtin, Perth.
“Kemungkinan besar saya akan beraya di Perth selama empat hari,” ujarnya yang sebelum itu akan beraya di rumah mertuanya di Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, seperti kelaziman tahun-tahun sebelumnya Yusof akan mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri dengan cara meraikan rakan-rakan artis terutamanya yang terbabit dalam produksi-produksi terbitannya.
Pengarah Urusan Skop Productions ini turut melahirkan rasa gembiranya meraikan Aidilfitri bersama tiga orang cucunya yang turut tinggal bersamanya di rumah agam mewahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
“Buat masa ini saya paling rapat dengan tiga orang cucu-cucu saya itu. Kami memang jarang berengang. Selepas pernah melalui zaman susah semasa kecil, kini saya hanya minta berdoa semoga Allah berikan saya kesihatan yang baik,” ujar beliau lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: