
APABILA vokalis Gigi, Armand Maulana memberi pernyataan yang dianggap keras tentang isu tarian pendet, ramai yang tidak senang dengan jawapannya. Malah ada yang merasakan Armand telah terperangkap dalam kenyataan tulusnya itu.
Kononnya menurut Armand, Malaysia dari dulu suka memancing Indonesia, bermula dari kes kepulauan Ambalat dan sehingga isu tarian pendet. Armand melahirkan rasa sedih dengan keadaan itu dan menyatakan kerajaan negaranya sentiasa tidak tegas mengambil tindakan malah menutup telinga.
Tarian pendet yang digunakan dalam klip video promosi pelancongan Malaysia mencetuskan kontroversi kerana tarian itu dikatakan berasal dari Bali.
Lebih daripada itu, Armand bersuara lantang bahawa dia tidak kisah jika Malaysia memboikot muzik dari Indonesia kerana menurutnya tawaran mengadakan pertunjukan lebih banyak datang dari Indonesia.
Mendapatkan Armand untuk isu yang agak tegang ini, dia ternyata terkejut dengan permainan yang ditimbulkan media. Menganggap segala pernyataannya disalah interpretasi oleh wartawan Indonesia yang menemubualnya, Armand memberikan jawapan sebenar terhadap isu yang bertukar panas itu.
Pernahkah kamu ditemu ramah oleh wartawan Indonesia tentang Ambalat? Apa sebenarnya pendirian kamu?
ARMAND: Saya memang pernah diwawancara oleh wartawan Indonesia mengenai hal Ambalat tetapi jawapan saya tidak seperti yang ditulis di laman web. Jawapan saya seharusnya berbunyi begini - memang betul Indonesia dan Malaysia dari dulu selalu ada masalah kenegaraan mengenai hak dan sebagainya tapi itu adalah tugas pemerintah untuk menyelesaikannya. Pada saya, isu seperti Ambalat dan kebudayaan sepatutnya tidak diselesaikan melalui pihak perseorangan. Sebaliknya ia menjadi masalah negara.
Bahkan wartawan Indonesia yang mewawancara saya bertanya, 'Apa lebih baik kita berperang saja dengan Malaysia?'.
Saya terus menjawab mengapa kita harus berperang. Tidak mungkin penyelesaiannya hanya perang. Tidak bolehkah dibawa berbincang secara baik di peringkat negara kerana bagi saya perang tidak ada gunanya. Siapa pun yang menang atau kalah, akhirnya semua akan kalah kerana masyarakat akan menderita.
Bagaimana pula dengan komen kamu tentang tidak kisah jika diboikot oleh pihak Malaysia?
Jawapan saya bukan seperti yang ditulis. Apa yang saya maksudkan ialah jika artis Indonesia tidak boleh membuat persembahan di Malaysia gara-gara isu ini, kita tidak ada masalah. Biarlah keadaan sejuk dahulu supaya tidak berlaku masalah yang lebih besar.
Soalnya, sewaktu kita membuat persembahan di Pesta Malam Indonesia 3, ada wartawan Malaysia yang menulis keras tentang 'Patriotikkah kita berdiam diri ketika pemuzik Indonesia membuat persembahan besar di Malaysia?'
Pemuzik Indonesia eloknya jangan membuat persembahan di Malaysia dahulu kerana kalau dilihat dari sudut kuantiti persembahan di dua negara ini, pasti mereka lebih banyak mendapat tawaran persembahan di negara sendiri.
Begitu pernyataan saya dan bukannya untuk memboikot persembahan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: