Thursday, September 10, 2009

Ruffedge bawa haluan sendiri


SENTUHAN kumpulan baru mengenengahkan irama alternatif rock seperti Hujan dan Meet Uncle Hussain (MUH) memang tidak dapat dinafikan tetapi kumpulan vokalis lebih awal menempa nama, Ruffedge cekal bertahan dalam persada muzik tanah air.

Sekalipun selera muda lebih kepada muzik lebih pantas dan rancak sejak tiga tahun lalu, gandingan anggota kumpulan itu tidak patah semangat mengekalkan reputasi mereka sekalipun populariti mereka sedikit tenggelam.

Sekalipun lima kali bertukar anggota sepanjang 11 tahun, kumpulan empat vokalis itu berkonsep hip hop itu, popular melalui lagu Bila Rindu dan Lemas, tidak gentar berdepan dugaan dan cabaran perubahan masa menguji kemampuan.

Kekurangan kumpulan baru memperjuangkan hip hop serta bayangan MUH dan Estranged, mencipta kejayaan menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL), turut memberi peringatan kepada mereka untuk mencari pendekatan baru.

Mengikut ketua kumpulan Azan, buat masa ini, Ruffedge lebih banyak memenuhi undangan majlis korporat kerana tidak begitu kerap mendapat undangan membuat persembahan pentas seperti mana awal karier.

Kini, aksi Ruffedge hanya sekali sekala dilihat melalui karnival dan rakaman studio.

Selain Azan, anggota kumpulan Ruffedge sekarang diwakili oleh Nine (Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri), 27, Zain (Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid), 31 dan Iwan (Irwan Iskandar Abidin), 34.

Ruffedge membintangi filem pertama mereka, Tipah Tertipu arahan Ahmad Idham pada 2006.

Lima vokalis pernah mewakili Ruffedge sebelum ini, Azim, Mode, Sein, Amer sementara Cat, bersama Fabulous Cats.

Azan berkata, kekurangan vokalis kumpulan kebelakangan ini, menjejaskan kemeriahan muzik hip hop. "Mungkin kumpulan vokalis membawa irama hip hop sudah berusia 15 tahun sejak 4U2C atau Poetic Ammo tetapi kekurangan kuantiti pengganti merencatkan pertumbuhannya.

"Saya faham selera peminat tetapi tidak ceria jika hanya orang hanya melihat dan mendengar Ruffedge sahaja. "Ruffedge dapat bertahan walaupun kumpulan sezaman atau lebih awal tidak lagi aktif. Jika ada pun, tidak menonjol kerana keadaan semasa memaksa mereka cari cara lain meneruskan karier atau terpaksa melupakan impian kerana tiada permintaan.


"Persembahan vokalis kumpulan jika ada pun, boleh dikira," kata Azan, mengendalikan perniagaan pakaian streetwear di Shah Alam sejak lima bulan lalu.

Buat masa ini, Ruffedge sedang menjayakan promosi lagu soundtrack digunakan dalam filem Jin Notti, bertajuk Pemuja dari Jauh dan kedua selepas Tipah Tertipu tiga tahun lalu.

Mereka bercadang meluaskan promosi lagu filem itu, produksi keempat KRU Studios ke beberapa negeri selepas Hari Raya Aidil Fitri.

"Sewaktu Ruffedge diwujudkan pada 1998, terdapat kumpulan Innuendo berjuang bersama kami menceriakan vokalis kumpulan tetapi mereka juga tidak aktif selepas 2002. Poetic Ammo atau Too Phat juga tidak kelihatan sekarang.

"Bagi kami, ia tidak sihat kerana orang cepat bosan jika keadaan berterusan. Bagi saya, lebih banyak lebih baik kerana masing-masing ada identiti dan mesej sendiri bagi memuaskan selera peminat yang semakin bijak menilai hasil karya.

"Bagaimanapun, trend beralih kepada irama alternatif rock oleh kumpulan indie bukan penyebab kerana kumpulan vokalis memiliki tarikan tersendiri," kata Azan, 35, pengasas awal Ruffedge sejak ditubuhkan pada 1998.

Selain itu, penampilan pertama Ruffedge dalam senario hip hop adalah melalui single pertama "Too Phat Baby" dalam album Whutadilly Too Phat pada penghujung 90-an.

Mengenai populariti, Azan berkata, kekurangan persembahan menjejaskan pendapatan kumpulan. Sebagai jalan penyelesaian, mereka ambil keputusan bawa haluan sendiri.

"Zaman sekarang, ramai artis tidak dapat bayaran setimpal. Mentaliti mahu potongan harga dan persembahan percuma menyebabkan pendapatan serta imej artis terjejas. Mereka tidak boleh bergantung harap royalti semata-mata.

"Jika sumbangan artis dipandang ringan, semangat mereka luntur. Nilai seni akan susut jika pendekatan persembahan percuma atau bayaran separuh harga dikenakan setiap kali artis menghiburkan mereka," kata Azan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment