Monday, September 14, 2009

Pengemis 'kaya'




Peminta sedekah Jakarta raih RM140 sehari ketika Ramadan

RAMADAN yang datangnya membawa 1,001 keberkatan amat sebenarnya turut dinantikan segelintir orang dengan tujuan yang jauh menyimpang, terutama golongan yang menyamar sebagai pengemis seperti yang berlaku di Jakarta, Indonesia.

Di mata mereka, Ramadan adalah tempoh singkat mengumpul sedikit kekayaan yang perlu digunakan sepenuhnya. Ini termasuk adik beradik, Dani Saputra, 11 dan adik lelakinya, Yogi, 9, yang langsung tidak sempat menyalin pakaian seragam sekolah sebelum menuju ke persimpangan lampu isyarat, lokasi mereka mengemis setiap hari.

“Kami ke sekolah setiap pagi dan selepas itu terus ke jalan raya untuk mengemis. Kami dapat lebih banyak duit pada bulan Ramadan,” kata Dani, seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Selang beberapa minit, seorang pemandu memberikan wang kepada kedua-dua beradik itu. Dalam masa singkat, mereka berjaya mengumpul lebih 200,000 rupiah (RM70) atau hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan sehari seorang pemandu bas.

Dani mengaku ketika bulan puasa, mereka boleh mendapat sehingga 400,000 rupiah (RM140) hasil mengemis, hampir dua kali ganda daripada apa diperoleh pada hari biasa. Jika dihitung, pendapatan itu boleh mencecah lebih RM4,000 selama sebulan!

Tidak hairanlah, Ramadan menjadi musim paling lumayan kepada beribu-ribu pengemis profesional dan ‘jadian,’ termasuk ramai warga emas dan wanita beranak kecil.

Dalam tempoh 13 hari Ramadan, seramai 1,500 pengemis, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dari luar Jakarta, ditahan pihak majlis tempatan.

Turut mengambil kesempatan ialah Pak Sardi (bukan nama sebenar) yang sudah mengemis di Jakarta sejak 11 tahun lalu. Baginya, Ramadan bulan penuh berkat yang dapat meningkatkan pendapatan harian pengemis.

Katanya, pada bulan ini, golongan yang biasanya bencikan pengemis tiba-tiba menjadi pemurah dan dermawan pun meningkatkan jumlah sumbangannya.

Namun berbeza daripada tahun sebelumnya, pendapatan Pak Sardi tahun ini bukannya meningkat sebaliknya menurun mendadak. Biasanya Pak Sardi tidak pernah berasa tergugat tetapi pengemis yang masuk ke Jakarta kali ini, luar biasa ramainya.

Berikutan itu, mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain demi ‘menagih simpati’ dermawan yang jumlahnya masih sama dengan tahun sebelumnya.

“Kalau hari biasa, paling banyak pun saya dapat Rp50,000 (RM17). Itupun kalau tempatnya strategik dan tidak hujan. Bulan puasa tahun sebelumnya, pendapatan boleh mencecah sehingga Rp300,000 hingga Rp400,000 (RM104 - RM140) sehari. Tahun ini pelik. Kelmarin saya cuma dapat Rp 40,000 (RM14) saja,” kata Pak Sardi.

Kebanjiran pengemis nyata tidak disenangi pihak berkuasa Islam tertinggi di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang mengecam pihak yang bertukar kerjaya menjadi pengemis dan menggesa rakyat negara itu sebaliknya bersedekah kepada masjid dan rumah anak yatim.

Ia turut mengeluarkan fatwa mengharamkan perbuatan mengemis di jalanan, baru-baru ini.

Pakar sosiologi Universiti Indonesia, Dr Imam Prasojo, aktiviti mengemis terancang itu sudah menjadi fenomena ketika Ramadan.

“Ini jelas perniagaan yang mengeksploitasi pengemis ketika Ramadan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: