![]() |
| RUMINAH Sidek muncul sebagai hantu Mak Temah. |
MENGHIDANGKAN tema 'enam kisah, enam keriau, enam ketakutan', filem Momok The Movie yang bakal ditayangkan pada 20 September ini tampil menambahkan lagi koleksi cerita-cerita seram filem tempatan.
Menjalani penggambaran di lokasi yang pernah diperkata orang mengenai penemuan hantu, menariknya, Momok The Movie terbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd., menggabungkan barisan pelakon lama dan baru.
Pelakon-pelakon itu antaranya Faizal AF4, Leez AF4, Mama Rina AF6, Nabil Raja Lawak, Datuk Aziz Sattar, Datuk Sarimah Ahmad, Ruminah Sidek dan Abon.
Dihasilkan setelah 15 tahun mengkaji kehendak penonton di negara ini oleh pengarahnya, M. Jamil Zulkifli, namun apa yang boleh diperkatakan, Momok The Movie hanyalah sebuah filem yang menampilkan hiburan 'berskala' biasa sahaja.
Tidak ada apa yang hendak dibanggakan dengan filem ini apabila memperlihatkan banyak kekurangan terutama mengenai lakonan kaku beberapa watak serta corak penceritaan yang lemah.
Diadaptasi daripada format cakera padat video (VCD) yang dikeluarkan pada 2004, filem dengan kos RM1.8 juta itu juga seharusnya mengelak daripada menampilkan babak-babak yang terlalu panjang sehingga mampu membosankan penonton.
Paling ketara, Momok The Movie menimbulkan persoalan mengenai apakah ia layak untuk dipersembahkan dalam bentuk filem?
Menjawab mengenai segala kritikan dan persoalan, M. Jamil bagaimanapun mengambil sikap terbuka terhadap komen-komen daripada pelbagai pihak itu.
"Soal ia sesuai untuk tahap VCD atau DVD (cakera video digital) dan apa jua kritikan, ia sangat subjektif.
"Saya bukan berkarya untuk syok sendiri atau memenangi anugerah.
"Sasaran saya cuma penonton terhibur dan balik modal. Apa yang penting, saya cuma hendak mengembalikan nostalgia terhadap cerita-cerita hantu yang berlegar dalam masyarakat kita dahulu kala,'' katanya ketika ditemui pada sesi pratonton Momok The Movie di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Menurut M. Jamil, penghasilan Momok The Movie tercetus selepas format VCD pada 2004 mendapat sambutan memberangsangkan.
Filem itu juga, ujarnya diilhamkan daripada pementasan teater serta pameran Hantu-Hantu Yang Saya Kenali anjuran Jabatan Antikuiti, Muzium Negara pada 2002.
"Momok The Movie adalah cerita rakyat dan ia mampu mengembalikan nostalgia kita semua.
"Saya yakin filem genre seram masih mendapat sambutan kerana isu seram adalah isu yang 'tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas'. Ia adalah isu yang malar segar,'' jelasnya.
Kata M. Jamil, persembahan Momok The Movie dibuat dengan sejujurnya berdasarkan cerita dan tempat kejadian sebenar penemuan hantu di sekitar Temerloh, Pahang.

"Sekian lama saya membuat kajian tentang pengisian untuk filem ini. Saya memang sukakan cerita hantu dan begitu juga kepada penonton yang lain,'' ujarnya yang turut membintangi filem berkenaan.
Momok The Movie merupakan filem kelapan arahan M. Jamil. Antara filem-filem yang pernah diarah serta diterbitkannya ialah Warna-Warna Hati, Tarik-Tarik, Termometer 3 dan Musuh Dalam Selimut.
Momok The Movie yang menggunakan MIG Production Sdn. Bhd., selaku pengedar menghidangkan enam kisah hantu membabitkan puntianak, hantu pocong, mayat bangun selepas dilangkah kucing hitam, bunian, hantu sampuk di samping misteri Pak Ajis dan Mak Temah.
Mengisahkan Adlin, lakonan Faizal AF4, yang pulang bercuti ke kampung diselubungi misteri tentang Pak Ajis dan Mak Temah.
Menemui rakan karibnya, Kadir, mereka kemudiannya bertandang ke warung Pak Ajis. Di sana, mereka bercerita tentang kisah-kisah hantu.
Mengapa Faizal AF4?
Sementara itu, M. Jamil yang diajukan soalan mengenai pemilihan Faizal AF4 yang popularitinya dilihat semakin menurun berkata, juara AF4 itu amat bersesuaian dengan watak yang dikhaskan iaitu Adlin.
"Adlin berperwatakan lurus dan jujur. Ia kena pada karakter Faizal.
"Sebenarnya ramai pihak mencadangkan orang lain tetapi bagi saya, Faizal mampu membawakan watak berkenaan.
"Lagipun, bekas-bekas pelajar Akademi Fantasia sudah diajar dengan pelbagai aspek semasa di dalam akademi,'' katanya.
Ujar M. Jamil, meski nama Faizal agak merundum, dia percaya Faizal mampu naik semula andai punyai bakat dan berdisiplin.
Saingan dan promosi
Menginjak ke topik persaingan dan promosi, M. Jamil menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai strategi tersendiri bagi bersaing dengan filem-filem lain yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri nanti.
Katanya, antara pendekatan awal yang digunakan ialah dengan mempromosikan Momok The Movie menerusi laman sosial Facebook dan blog bagi menarik penonton muda.
"Berbeza dengan filem-filem lain, dalam usaha untuk mengembalikan nostalgia, saya menggunakan saluran radio Klasik Nasional, Muzik FM dan Asyik FM dalam mempromosikan Momok The Movie,'' tambahnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: