Thursday, September 3, 2009

Fara berniaga, Tomok diikat aktiviti


FARA Fauzana dan Tomok berkongsi kisah Ramadan.


PADA usia muda, kedua-dua personaliti ini menggenggam populariti yang bukan kecil. Baik Fara Fauzana mahupun Tomok yang pernah menjadi vokalis kumpulan Newboyz, masing-masing mengumpul peminat tersendiri.

Seorang di bidang penyampaian manakala seorang lagi di bidang nyanyian.

Mungkin ini kali pertama mereka digandingkan dan gandingan mereka sengaja dilakukan Hits khas buat tatapan peminat setia mereka.

Nikmat berpuasa ternyata tiada surutnya. Seperti insan biasa, Fara dan Tomok mempunyai kisah yang ingin dikongsikan.

Tidak dinafikan Ramadan bukan sahaja dilihat sebagai bulan menyucikan diri dan meningkatkan amal ibadat.

Tetapi juga, dilihat sebagai bulan yang penuh keberkatan malah, ada yang beranggapan ia sebagai bulan rezeki bagi mereka yang berniaga.

Tidak menolak hakikat tersebut, Fara sendiri mengambil peluang untuk berniaga.

Bertempat Bazar Ramadan Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Fara 'mencuri' peluang menjalankan perniagaan biskut raya bersama-sama rakan, Lisa Aryanti yang juga pengurus peribadi penyanyi Ziana Zain.

Biarpun sibuk dengan jadual di konti Hot FM dan mempromosikan filem lakonannya bersama Mawi, ia langsung tidak dilihat sebagai kekangan buatnya menambah pendapatan.

"Saya memang suka berniaga, saya membatu menjual biskut raya yang dibuat sendiri oleh ibu, Faridah dan ibu saudara saya, Fauziah.

"Antara yang dijual ialah biskut Chip Coklat, biskut Nescafe dan juga biskut Arab yang menjadi kegemaran saya.

"Biskut-biskut ini saya namakan Fafau Cookies mengambil sempena gabungan nama ibu dan makcik saya," katanya yang gemarkan Kek Batik sebagai menu wajib berbuka puasa.

Jika Fara sibuk dengan perniagaan biskut raya, Tomok pula diuliti kerinduan apabila kali ini dia tidak lagi berpeluang menjalankan aktiviti perniagaan Ayam Berempah yang di niaganya di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak.

Sejak bergelar juara One In a Million (OIAM) musim ketiga, Tomok seperti orang baru di persada seni.

Biarpun pernah mengecapi zaman gemilang bersama kumpulannya tidak lama dahulu hakikatnya bergerak secara solo memberikan cabaran yang berbeza buatnya.

Dari segi masa, kata Tomok, dia kini terikat dengan pelbagai aktiviti yang dirangka oleh syarikat rakamannya, Monkey Bone.

Sungguhpun tiada masa untuk berehat panjang namun dia bersyukur kerana kesibukan itu membuktikan dia diterima oleh ramai peminat.

"Terus terang, saya memang rindu aktiviti perniagaan di pasar Ramadan. Biarpun untungnya tidak banyak tetapi jika dikumpulkan hasilnya lepas juga untuk menampung perbelanjaan berhari raya.

"Memang terasa sunyi Ramadan saya kali ini tanpa berniaga," kata Tomok berterus-terang.

Biarpun tidak sempat berniaga, namun Tomok tidak terlepas peluang ke pasar Ramadan hampir setiap petang untuk membeli juadah kegemarannya, kuih lopes.

Fara ponteng puasa

Bercerita kenangan berpuasa, sambil tersenyum dan ketawa kecil pantas bibirnya mencerita peristiwa lucu dirinya ketika berusia 14 tahun yang hanya sekar berpuasa selama lima hari.

"Ketika itu saya bersekolah di Sungai Petani, Kedah. Saya hanya sempat berpuasa selama lima hari sahaja. Lagi 25 hari saya tidak larat kerana tahap kesihatan saya tidak mengizinkan.

"Bukan sengaja ponteng tetapi kerana sesak nafas akibat habuk dari kilang papan yang terletak di belakang sekolah.

"Masa itu pemikiran saya belum matang, bila masa nak ganti itu agak sukar maklumlah 25 hari," katanya sambil ketawa.

Tahun ini, Fara bersama keluarganya merancang untuk berhari raya sambil bercuti selama tiga hari di sebuah pusat peranginan.

Tomok rindu balas kad raya

Apabila tiba musim perayaan, sudah tentu kiriman kad hari raya menjadi satu keutamaan.

Namun, peredaran masa yang disogok dengan kemajuan teknologi kini tidak dapat lari melenyapkan tradisi yang menjadi amalan berpuluh tahun lalu itu.

Berkongsi pengalaman lalu, kata Tomok dahulu Ramadannya terisi dengan ribuan kad raya yang berguni-guni diterima daripada peminat.

"Pengalaman raya yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika pertama kali menjadi artis rakaman di mana ketika itu Newboyz menerima berguni kad raya daripada peminat.

"Berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, peminat lebih gemar menghantar ucapan hari raya menerusi e-mel. Memang tidak dinafikan penggunaan e-mel lebih cepat, mudah dan menjimatkan namun, perasaan membuka kad itu sudah tiada lagi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kera Ramadan kali ini, saya rasa seronok dapat bertemu dengan peminat seperti dahulu.

"Saya sudah merasa berada di atas dan di bawah dan berharap agar penerima- an peminat sebegini berterusan buat saya," kata Tomok yang akan bercuti dan berhari raya selama seminggu di kampungnya di Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: