
SEPANJANG Ramadan ini, Nipah CoffeeShop di Hotel Equatorial, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur menawarkan sajian berbuka puasa pelbagai cita rasa.
Aneka masakan tradisional Malaysia dan antarabangsa disajikan secara bufet manakala gerai-gerai makanan menambah kepelbagaian menu sedia ada.
Sajian bufet di Nipah CoffeeShop dinamakan Bufet Sinar Ramadan. Dekorasi lukisan karikatur kanak-kanak berbaju Melayu dan papan-papan tanda arah menghiasi bufet yang disusun kemas. Aneka pembuka selera, lauk-pauk, sayur, kerabu, mi, rojak dan pencuci mulut terhidang untuk dijamah.
Antara sajian yang menggamit selera adalah gulai daging kawah, kambing panggang, nasi beriani gam, bubur lambuk, popia basah, ayam percik buluh, sate ayam dan daging. Dianggarkan terdapat lebih 200 masakan tempatan popular disajikan.
Konsep gerai dan makanan yang disediakan panas-panas dari dapur menjadi keistimewaan bufet Ramadan pada tahun ini.

MAKANAN laut yang dimasak panas-panas.
Pelanggan boleh memilih makanan laut seperti udang dan kupang dan yang dimasak terus. Sebagai pembuka selera, pengunjung juga boleh memilih pelbagai salad tempatan dan ulam-ulam seperti rojak, acar buah, salad, kerabu mangga, pucuk pegaga dan jantung pisang.
Anda juga boleh memilih masakan Cina seperti yong tau fu, itik panggang dan nasi ayam Hainan.
Untuk menghilangkan dahaga, pengunjung boleh ke gerai minuman yang menyediakan teh tarik dan Nescafe tarik. Untuk melengkapkan sajian berbuka puasa, jangan lepaskan peluang merasai keenakan kuih-muih Melayu tradisional yang disediakan seperti kuih lapis, badak berendam dan seri muka durian.
Bagi mereka yang menggemari sajian Barat, antara menu yang boleh nikmati adalah pilihan pastri, kek, lasagne dan wafel.
Bufet Ramadan yang ditawarkan itu berharga RM95++ untuk dewasa dan RM46++ untuk kanak-kanak. Nipah CoffeeShop dibuka sepanjang hari dengan persembahan kumpulan muzik secara langsung pada setiap Sabtu dan Ahad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: