Pelakon yang kian popular di persada seni, Wan Sharmila mahu jual bakat bukan dedah cerita peribadi
BERBUAL dengan pelakon ini memang menyenangkan hati. Selain sikap ramah yang ditunjukkan, dia juga petah berbicara. Paling tidak, semua pertanyaan cuba dijawabnya sebaik mungkin, walaupun ada ketika Wan Sharmila tampak ragu-ragu untuk memperkatakan lebih lanjut topik menyentuh hal peribadi.
Yang pasti, perbualan bersamanya baru-baru ini menyerlah personaliti menarik wanita berusia 28 tahun ini. Karakter periang yang ditonjolkan, bagai mengiyakan bahawa pelakon inilah yang dilihat beraksi dalam Kisah Kaisara. Persamaannya agak jelas ketara dan semestinya siri itulah yang banyak memperkenalkan namanya kepada peminat.
Bagaimanapun, dia tidak pernah menganggap dirinya seorang pelakon yang cukup dikenali. Jauh sekali untuk berbangga dengan populariti mahupun gelaran pelakon yang dipegangnya kini.
"Saya tidak pernah berasakan diri saya terkenal. Sebaliknya, sampai ke hari ini, saya masih seperti kebanyakan orang lain juga. Apa yang saya tahu, saya bekerja dalam bidang lakonan dan saya amat meminati dunia ini.
"Kerja dan minat itu pula saya gabungkan untuk memacu kerjaya ke depan. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang sudi mengasah bakat saya dengan menawarkan watak dalam projek terbitan mereka. Tentunya peluang begitu saya amat hargai dalam memperbaiki mutu lakonan dan persembahan.
"Apabila bercerita mengenai glamor, biarlah ia datang dengan sendiri. Maknanya, menerusi kerja kita yang baik dan berkesan, peminat mula memberikan perhatian. Saya tidak menyertai dunia seni untuk mencari glamor. Biarlah saya bekerja dengan niat yang suci kerana inilah ruang untuk saya mencari rezeki," katanya.
Cuma, kata Wan Sharmila, hanya akhir-akhir ini dia diberikan watak lebih menyerlah menyebabkan peminat turut menyedari kemunculannya dalam industri hiburan.
Terbaru, dia diberikan tanggungjawab menggalas watak utama dalam Tari Tirana yang menemui penonton slot Lestary di TV3, mulai 25 Ogos lalu. Siri yang menghiasi layar kecil selepas berakhirnya La Dolce Amira itu ditayangkan setiap Selasa selama sejam.
"Inilah kali pertama saya diberikan watak utama bagi projek besar-besaran selepas kerap kali menggalas amanah sebagai pelakon pembantu seperti dalam Sindarela dan Rona Roni Makaroni," cerita wanita dari selatan tanah air ini yang beraksi di samping Ammar Alfian, Shaz Jazle, Zaibo, Zaefrul Nordin dan Nadia Aqilah dalam siri komedi cinta arahan Shahrulezad Mohameddin (Ezad) itu.
Bercerita lebih jauh mengenai siri terbabit, Wan Sharmila mengaku cukup seronok memainkan watak Tirana, seorang gadis dari Singapura yang bersikap periang dan amat berminat dalam bidang tarian.
"Kebetulan saya sendiri memang gemar menari dan pernah menari secara serius sejak di bangku sekolah sehinggalah beberapa tahun lalu. Saya pernah menyertai Yayasan Warisan Johor sebagai penari tradisional, menganggotai kumpulan penari Noraniza Idris, selain pernah belajar di bawah guru tari terkenal, Linda Jasmine.
"Watak Tirana memang sukakan tarian, tetapi dia tidak sedar bakat itu ada dalam dirinya. Dia ingin menyertai kumpulan tarian di kolej, tetapi tidak diberikan peluang oleh gadis popular institusi pengajian terbabit. Di samping konflik dengan rakan sebaya, dia turut berdepan dengan konflik keluarga serta cinta," katanya yang mendapat tajaan jenama fesyen Yuan Yuan bagi menjayakan watak berkenaan.
Mendedahkan gaya rambut yang dikenakan hari itu sebenarnya sebahagian imej Tirana, Wan Sharmila bagaimanapun mendakwa dirinya dan watak terbabit langsung tidak mempunyai persamaan, tidak seperti wataknya dalam Kisah Kaisara.
"Cuma, sejak akhir-akhir ini, saya mula suka pada warna pakaian yang sering dikenakan Tirana iaitu warna pudar," ceritanya sambil ketawa.
Bertuah apabila diberikan kepercayaan oleh Ezad, tetapi pada masa yang sama Wan Sharmila keresahan mengenangkan untung nasib siri itu.
"Saya risau sangat apabila diberikan tanggungjawab memegang watak utama. Dalam hati saya bertanya sendiri, ada ke orang yang hendak tengok siri ini nanti? Mampukah saya menarik minat penonton untuk melekat di hadapan kaca TV, menonton cerita kami? Apatah lagi sebelum ini saya bertindak sebagai pelakon pembantu saja. Ia beban yang bukan kecil," katanya.
Walau apa pun natijahnya, pelakon ini amat berhutang budi pada Ezad yang mempercayai bakat miliknya. Apabila TV3 pula menerima dirinya sebagai tunjang utama Tari Tirana, sedikit sebanyak semangatnya turut membara bagi menghasilkan persembahan terbaik, untuk tidak mengecewakan semua pihak yang menaruh harapan padanya.
"Atas alasan itu, saya tidak menerima tawaran berlakon dalam projek lain sehinggalah siri ini tamat penggambarannya, mungkin selepas Aidilfitri nanti," ujarnya.
Elak bicara soal rumah tangga
WALAUPUN dirinya nampak awet muda dan keanak-anakan, tetapi Wan Sharmila sebenarnya sudah bergelar isteri sebelum dia mencipta nama sebagai anak seni. Pelakon ini berkahwin dengan penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom, kira-kira tiga tahun lalu.
"Saya berkahwin sebelum bergelar pelakon, jadi tidak pernah pula saya terfikir apakah kesannya kerjaya seni yang saya ceburi ini terhadap perkahwinan yang kami bina," katanya yang akan terus menghambakan diri pada seni selagi terdaya.
Bagaimanapun, petang itu Wan Sharmila kelihatan seperti ‘ingin mengelak’ apabila topik perbualan menjurus kepada alam rumah tangga yang dilaluinya.
"Kehidupan saya ketika ini biasa saja. Apa-apa benda yang saya dengar, saya buat bodoh saja. Saya tidak ambil pusing sangat dengan benda-benda itu," katanya seakan menyembunyikan sesuatu yang terbuku dalam jiwa.
Amat difahami, kerana mana-mana perkahwinan akan ada saat tenang dan ada juga detik geloranya. Menghormati perasan pelakon ini, topik perkahwinan tidak panjangkan. Sebaliknya perbualan rancak disambung mengenai bulan puasa serta sambutan meriah Aidilfitri di negeri kelahirannya, Johor.
Baru-baru ini, mahligai pelakon ini turut terkena tempias apabila muncul gosip mengatakan perkahwinan mereka goyah akibat kehadiran orang ketiga. Namun bak kata Wan Sharmila, dia masih lagi bergelar isteri, manakala perkahwinan pula tidak pernah menjadi penghalang untuk seseorang artis maju dalam kerjayanya.
Menyentuh mengenai Ramadan yang kian tiba, wanita ini berkata, berpuasa di lokasi sudah menjadi amalan biasanya sejak membabitkan diri dalam seni.
"Cuma, waktu untuk mengadakan persiapan raya agak terbatas sekiranya kita banyak terikat dengan jadual penggambaran sepanjang bulan puasa. Tetapi, ia tetap pengalaman menyeronokkan, terutama apabila dapat berbuka ramai-ramai di lokasi.
"Pada Aidilfitri ini, seperti selalunya saya akan pulang ke Johor Bahru. Sambutan di sana agak meriah, dengan laksa Johor dan sayur lodeh menjadi menu wajib keluarga kami. Begitu juga dengan tart nanas yang menjadi resipi kebanggaan keluarga, yang tidak pernah ketinggalan dijamu untuk santapan semua," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: