Sunday, September 13, 2009

Berkat kena rotan


Bersama adik tersayang, (kiri) Aissa Maryam, 9, pada majlis konvokesyennya di London Julai lalu.


BELIAU terpaksa meninggalkan keluarga dan merantau seorang diri ke London sejak berumur 15 tahun lagi.

Namun, pengorbanan itu berbaloi apabila Adelina Raisa Sufian, 21, memperoleh Anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Kolej Queen Mary, Universiti London, baru-baru ini.

Menariknya, seusai majlis konvokesyen pada Julai lalu, Adelina membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia dan merencana laluan hidupnya di sini.

“Saya tidak boleh terus tinggal di London. Saya terlalu rindukan makanan Malaysia!” ujarnya sambil tersenyum. Malah beliau kini sedang belajar untuk menyediakan asam pedas dan mungkin satu hari nanti, sambal belacannya sendiri.

Namun, perkara utama yang membawanya kembali ke Malaysia ialah didikan ibu dan bapanya yang sentiasa mengingatkannya tentang akar umbi diri.

“Saya juga begitu menghargai kenyataan bahawa saya berasal dari Malaysia. Disebabkan itu saya memilih untuk kembali ke sini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

Impiannya bukan pula hendak menjadi guru bahasa Inggeris dengan kelulusan cemerlang itu. Sebaliknya Adelina mahu menggunakan pencapaian itu sebagai kunci untuk menjadi pakar pelaburan dan perbankan.

“Dahulu memang saya menyangkakan ia hanyalah tentang perakaunan, tetapi apabila saya membaca pelbagai bahan dan berbual tentangnya dengan teman-teman mama, saya dapati ia jauh lebih menarik daripada itu,” ujarnya yang bertekad untuk melengkapkan diri dengan ilmu ekonomi sebaiknya bagi membantu membangunkan lagi Malaysia.

“Bahasa Inggeris sebenarnya dapat membawa Adelina lebih jauh dalam bidang profesional yang dipilih kelak.

“Malah Adelina turut menguasai bahasa Perancis dan bakal mengambil kursus intensif di Beijing, China, untuk menguasai bahasa Mandarin,” kata ibunya, Datin Alissa Fitri.

Malah Adelina juga pernah mengambil kertas Matematik Tambahan di peringkat O-Level atau General Certificate of Secondary Education (GCSE) kerana tidak dapat membuat kata putus tentang jurusan yang ingin diambilnya.

“Disebabkan dia tidak dapat membuat keputusan untuk memilih salah satu laluan khusus, dia sebaliknya memilih untuk mengambil kesemua subjek yang ditawarkan ketika itu sebagai subjek tambahan,” tambah Alissa.

Anak sulung daripada dua adik-beradik itu cukup matang dalam bicaranya. Apatah lagi apabila beliau menjelaskan ketekunannya belajar ialah untuk ‘membayar’ semula segala penat lelah ibu bapanya menyara pengajiannya selama lima tahun itu.

“Rugilah kalau saya mensia-siakan apa yang saya dapat. Bukan semua orang dapat peluang seperti ini,” ujarnya yang merancang untuk memberi perhatian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, khususnya di kawasan pedalaman kelak.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kepulangannya ke Malaysia ialah adiknya, Aissa Mariam, 9.

“Saya sangat rindukan keletahnya yang manja dan sangat menyenangkan. Ketika konvokesyen di London baru-baru ini, dia membuat sebuah poster untuk meraikan kejayaan saya. Kami sangat rapat. Dalam dua minggu ini (sejak pulang ke Malaysia), saya banyak menghabiskan masa membuat kad raya dan kerja-kerja kraf bersamanya,” kata Adelina.


PEMIKIRAN Adelina lebih matang dari usianya.


Dirotan dua kali

Sebagai ibu dan juga wanita yang paling rapat dengan Adelina, Alissa tidak pernah berkompromi dalam mendidik anak gadisnya itu.

Walaupun amat menyayangi Adelina, si ibu mengakui dia pernah merotan anak sulungnya itu seawal usia empat tahun.

“Saya merotan Adelina pada usia empat tahun kerana dia bersikap kurang sopan dengan pembantu rumah. Kali terakhir saya merotannya ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi lima hari selepas itu saya masih sedih kerana terpaksa merotannya.

“Namun, Alhamdulillah, penangan rotan itu banyak mematangkan Adelina. Dia lebih patuh dan lebih berdikari,” katanya.

Bertanya tentang pengalamannya berjauhan dengan anak tatkala Adelina meningkat remaja, Allisa akui naluri keibuannya sering ditebak rindu.

“Saya melepaskan Adelina dengan rasa berat hati, maklumlah ia kali pertama kami berjauhan. Bab risau jangan ceritalah, ibu mana yang tidak risau tentang anak gadisnya yang keseorangan melanjutkan pelajaran di negara orang.

“Pada bulan pertama, boleh dikatakan setiap hari saya menelefon sampaikan anak saya naik rimas,” katanya.

Membesar seperti kanak-kanak normal, potensi Adelina dalam pelajaran dikenal pasti pada usia tiga tahun lagi. Bermula dengan membaca bahan bacaan asas, dia semakin lancar membaca pada usia lima tahun.

“Saya ambil keputusan untuk menghantar Adelina ke sekolah swasta antarabangsa, Alice Smith School di ibu negara kerana dia belum mencapai umur tujuh tahun untuk dihantar ke sekolah biasa.

“Walaupun nampak senang, namun laluan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik bukan mudah. Sebab itu saya tak pernah lupa untuk menasihati Adelina supaya ingat asal-usul kita dan jangan sia-siakan peluang yang ada,” ujar Alissa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: