Saturday, September 19, 2009

Berjuta-juta penduduk balik raya


SEJUMLAH penunggang motosikal di Pelabuhan Gilimanuk, Pulau Bali menunggu giliran untuk menaiki sebuah feri yang menuju ke Pulau Jawa semalam.


JAKARTA - Berjuta-juta penduduk beragama Islam di Indonesia kini dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Fenomena ribuan penunggang motosikal menunggu kedatangan feri dari Pulau Bali pulang ke kampung halaman ke Pulau Jawa mengulangi suasana seperti pada tahun lalu.

Bagaimanapun, ribuan orang terkandas semalam di Pelabuhan Bakaiheni di Lampung kerana tidak terdapat perkhidmatan bas yang mencukupi untuk membawa mereka ke Terminal Rajabasa iaitu hentian paling dekat dengan pelabuhan.

Lebih 83,000 penumpang tiba di pelabuhan itu sejak malam kelmarin termasuk lebih 5,800 motosikal dan 5,300 kereta.

Sementara itu, kesesakan jalan raya berlaku di Nagrek, Bandung semalam yang berlaku akibat deretan kenderaan sepanjang 12 kilometer.

Kebanyakan jalan raya utama dipenuhi dengan kenderaan yang meninggalkan bandar-bandar besar untuk menuju ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama saudara mara.

Agensi berita Antara melaporkan kesesakan sepanjang lapan kilometer berlaku di jalan raya yang menuju ke Bandung.

Kesesakan turut berlaku sepanjang empat kilometer di jalan raya yang menuju ke Tasikmalaya.

Ratusan anggota polis dan pegawai pengangkutan ditempatkan di kawasan tersebut bagi membantu mengawal lalu lintas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: