|
|
“SUNGGUH tenang ketika di sana,” sekilas kata Fara Fauzana mengenai pengalamannya ketika menunaikan umrah bersama keluarganya, baru-baru ini. |
Meskipun dalam kesibukan kerja, pelakon dan penyampai radio Hot FM ini tidak terlepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai orang Islam.
Tambah Fara, sebelum ini dia sering mendengar cerita mengenai ketenangan yang dirasai ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci. Hampir tiga tahun memendam hasrat untuk ke sana, akhirnya rezeki itu datang jua.
“Kini baru saya tahu betapa tenangnya jiwa ketika di sana. Sebelum ini saya sering menggambarkan ketenangan yang diceritakan rakan. Begitupun, perasaan sewaktu menjejakkan kaki sana berlainan dengan apa yang digambarkan.
“Pendek kata, sukar untuk menceritakan perasaan itu. Mungkin perasaan itu kelebihan yang diberi Allah Yang Maha Esa kepada makhluk-Nya di sana,” katanya.
Fara memulakan perjalanannya ke Tanah Suci pada 14 Januari lalu dan kembali ke tanah air 10 hari kemudian. Bercerita mengenai pengalamannya sepanjang di sana, Fara terkejut apabila menyaksikan padang pasir mula ditumbuhi tumbuhan.
“Dalam satu perjalanan yang merentasi padang pasir, dari jauh saya melihat tumbuhan hijau yang tumbuh bagai padang bola. Namun yang memeranjatkan, tumbuhan seperti rumput itu tumbuh di tengah-tengah padang pasir.
“Setahu saya, mana mungkin tumbuhan hijau boleh hidup di padang pasir yang kering kontang. Semua jemaah terkejut melihat situasi itu.
“Namun, mungkin inilah kebesaran Allah yang Maha Kuasa. Mungkin juga, ia menjadi tanda mengenai sesuatu buat kita,” katanya yang masih teruja dengan pengalaman itu.
Sekembali dari sana, Fara terus menyambung tugasnya di konti, tetapi kali ini tanggungjawabnya makin besar. Cita-cita Fara bergelar penerbit kini tercapai.
Selain berlakon dalam telefilem dan siri Gadis Cuci, ia turut menampilkan Fara sebagai penerbit bersama.
Jelas Fara, menjadi penerbit antara cita-citanya dulu. Namun, baru kini apabila Darling Ngasri menerusi syarikat produksinya memberi peluang kepada Fara untuk mempelajari selok-belok tugas belakang tabir.
“Sebelum menjadi penyampai, saya menyimpan impian bergelar penerbit. Begitupun, saya tidak sangka Darling memberi peluang begini kepada saya.
“Sejak bergelar penerbit bersama, saya giat belajar mengenai tugas ini daripada Darling. Sebelum ini saya hanya tahu tugas dan tanggungjawab sebagai pelakon.
“Namun apabila terbabit dengan tugas belakang tabir ini, saya mula mengetahui tugas yang dipikul mereka. Sejak itu saya mula menghargai orang sekeliling, sama ada pelakon atau kru yang bertugas.
“Namun, tugas ini hanya sebagai proses pembelajaran untuk menambah pengetahuan. Untuk fokus kepada bidang ini, mungkin belum tiba masanya. Lagipun, banyak yang perlu saya pelajari,” katanya.
Tambah Fara, dia juga terbabit menjayakan promosi untuk filem Jin Noti yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Memegang watak utama, Fara nyata teruja menantikan filem itu dimainkan di layar perak.
“Dalam filem ini, saya memegang watak anak Jin bernama Noti. Noti adalah jin yang baik hati tetapi ketika di bumi, dia cuba menjadi jahat dengan mengusik dan mengacau manusia.
“Begitupun, apa saja yang dilakukannya menjadi serba tidak kena. Biasalah, bukan mudah untuk buat jahat sedangkan hatinya baik.
“Paling penting, filem ini menjadi sesuatu yang menarik buat saya. Lagipun, bukan selalu saya diberi watak begini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: