Sunday, February 8, 2009

Kelahiran semula Nina


BENAR kata orang, pengalaman mendewasakan kita. Seperti Azharina Azhar hari ini yang dibayangi pelangi bahagia. Biarpun kembali solo, dia menikmati hari-hari dengan lebih bermakna untuk kehidupannya.

Cerita lama tidak ditutup terus. Sesekali dia perlu membelek semula diari lama. Bukan untuk bersedih, tetapi sebagai panduan untuk melangkah lebih yakin. Semua itu bagaikan inkarnasi buat anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini.

“Saya hampir tidak mempercayai lagi institusi rumah tangga kerana kegagalan dulu. Namun bila dikenang kembali, sebenarnya bukan semua yang saya lalui selama tiga tahun bergelar isteri ketiga itu pahit. Ada manisnya, jadi kenapa harus kita mencari yang pahit.

“Dalam hal ini, saya perlu positif. Saya sedar, mana ada perempuan dalam dunia ini yang ingin bermadu dan kalau boleh, saya juga tidak mahu. Mungkin ketika itu saya terlalu muda. Namun saya menerima ketentuan takdir, sebab saya percaya ada rahmat di sebalik kejadian.

“Perkahwinan bukan mudah dihuraikan dengan kata-kata. Mereka yang melaluinya tentu lebih memahami. Yang lepas, biarkan berlalu. Yang penting, perkara akan datang,” katanya yang lebih mesra disapa Nina.

Nina yang kini meletup dengan single Rawan berkata, hidup ini ibarat roda dan sebagai artis, sebaik mungkin dia cuba memberi contoh terbaik kepada masyarakat.

Malah, perceraiannya dengan usahawan, Datuk Shukri Haji Mohamed, Februari lalu, diselesaikan dengan cara baik. Tidak perlu dipanjangkan ke mahkamah.

Kecoh juga apabila tiba-tiba berita perceraiannya dihebahkan, sedangkan selama ini ramai tidak tahu dia bernikah sejak 2006. Pun begitu, kata Nina, tiada niat buruk mengapa dia menyembunyikan statusnya, selain perlu menjaga hati banyak pihak.

Bagaimanapun, keruntuhan perkahwinan itu tidak bermakna dia serik untuk berkahwin lagi, cuma bukan ketika ini. Dia terlalu sibuk dengan urusan karier seni dan bisnes. Nina mengakui dia lebih selesa dengan orang yang jauh lebih tua darinya.

“Saya suka cara golongan ini berfikir. Matang dan mudah untuk saya masuk,” katanya yang berbeza umur 28 tahun dengan bekas suaminya.



Sememangnya sepanjang temubual ini, Nina menampakkan bual bicara lebih bijak berbanding usianya yang belum 24 tahun. Bukan menolak cinta lelaki sebaya, tetapi sukar untuknya ‘seiring’ dalam percakapan dan perbincangan ‘remaja’.



Walaupun tewas dalam rumah tangga, Nina masih menang dalam mencari kebahagiaan. Hati lebih tenang apabila jiwa tidak berkecamuk. Kesibukannya menguruskan Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment (AE) sekurang-kurangnya ‘melarikan’ perhatian Nina daripada kisah lama.

Sibuknya makin menjadi-jadi. Malah untuk sesi fotografi bagi muka depan Selebriti inipun, Nina minta dipercepatkan kerana perlu mempengerusikan satu mesyuarat penting di pejabatnya yang terletak di Puchong, Selangor.

Syarikatnya banyak menerbitkan produksi dokumentari, termasuk kerjasama dengan Filem Negara Malaysia, Perbadanan Pelancongan Malaysia, National Geographic Channel dan badan berkanun lain. AE pula menumpukan kepada penerbitan album dan menguruskan karier seni.

“Memang penat berkejar ke sana ke mari, tetapi saya seronok dengan kehidupan baru. Saya perlu turun padang untuk majukan bisnes ini. Kalau dah OK, mungkin baru saya lepaskan kepada kakitangan uruskan.

“Hidup solo, kenalah kerja kuat. Sebelum ini macam-macam orang kata pasal saya, kononnya mengikis harta orang lain untuk hidup senang. Mereka tidak tahu cerita sebenarnya, tetapi apa boleh saya buat, yang penting saya tahu di mana posisi saya.

“Melalui bisnes, sambil menimba pengalaman, ini juga punca rezeki saya selain menyanyi. Menyanyi tetap menyanyi. Orang kenal saya sebagai artis, jadi saya tetap akan teruskan. Cuma tumpuan lebih kepada bisnes kerana saya sedar, sampai bila orang boleh terima kita sebagai penyanyi,” katanya.

Ceritanya, hampir sembilan bulan dia ‘bercuti’ daripada muncul di media massa. Bukan menyepi 100 peratus kerana undangan menyanyi tetap ditunaikan, cuma persembahan tertutup. Fokusnya ketika itu lebih kepada pembukaan pejabat syarikat.

“Saya bukan orang senang. Banyak yang saya buat sendiri, termasuk mengecat pejabat, pasang permaidani dan cari kerusi meja. Nak upah orang, saya bukan banyak duit.

“Namun alhamdulillah, bekas suami banyak membantu daripada aspek kewangan dan sokongan moral,” katanya yang turut berkongsi perniagaan itu dengan Shukri.

Nina mengakui dunia seni bagaikan batu loncatan untuk memudahkannya menjalankan bisnes. Kata Nina, melalui cabang karier barunya ini juga, dia berdepan golongan masyarakat berbeza. Tidak hanya peminat, tetapi rakan perniagaan.

Janda lawa ini bangga dengan pencapaian yang dikecapi dalam usia muda. Tahun 2009 dirancang lebih bergaya, termasuk pembikinan album solonya yang akan diterbitkannya sendiri.

“Saya tak mahu tergesa-gesa membuat album penuh. Untuk percubaan, saya tampilkan single Rawan dulu. Kalau impaknya baik, insya-Allah saya fikirkan lebih besar daripada itu,” katanya yang bangga dengan penerimaan Rawan yang kini menduduki carta stesen radio di seluruh negara.

PROFIL

NAMA: Azharina Azhar

LAHIR: 11 Mac 1985

ASAL: Kota Kinabalu, Sabah

TINGGI: 157 sentimeter

BERAT: 53 kilogram

SINGLE: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007), Rawan (2009)

PENCAPAIAN: Juara Bintang RTM 2001

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: