Sunday, February 8, 2009

Cinta tunggu dulu...DIANA Danielle




DIANA Danielle Dannye Beeson yang duduk di hadapan saya hari ini semakin matang. Bicaranya jelas. Luahan hatinya tepat. Tidak lagi berbicara seperti anak sekolah dua tahun lalu.

Pada usia 18 tahun, dia cepat membesar, apa lagi apabila status diri sebagai selebriti membuatkan putaran hidupnya bergerak dua kali ganda daripada remaja seusianya.

Lebih-lebih lagi selepas tahun lalu, kisah 'putus cinta' tragisnya dengan Syamsul Datuk Yusof Haslam begitu sensasi. Panas. Sampai perlahan-lahan akuinya, dia tak mahu berteman lagi buat masa sekarang. Penat.

"Namun pada masa mendatang, saya tak tahu bagaimana. Cuma untuk masa ini, bercinta tak masuk dalam diari. Dan saya juga tak mahu bercinta dengan anak orang kaya. Takut," kata gadis yang dilahirkan di Houston, Texas, Amerika Syarikat ini.

Apabila ditanya mengapa, dia tersenyum tanpa jawapan. Hanya tidak mahu saja, ulangnya lagi sambil berkata: "Lagipun saya muda lagi. Tak fikir hal cinta. Mahu fokus kerja."

Menjadi cantik dan 'terdedah' sepertinya bukan hal yang senang untuk mengelak menjadi tumpuan dan buruan lelaki. Lelaki berduit, orang kaya, VIP atau kerabat, banyak yang mengintai.

"Saya tak nafikan itu. Lumrah lelaki memang suka wanita. Tapi saya terlalu muda untuk memikirkan tentang hal ini. Tak sedia," katanya lagi.

Bagaimanapun dia tahu, menjadi anak seni, dikaitkan dengan lelaki atau gosip memang lumrah. Hanya dia selalu mengingatkan diri untuk berwaspada dalam banyak hal bersangkutan lelaki agar tidak ditimpa gosip liar.

Katanya: "Saya faham sangat, jadi artis, risiko terdedah gosip dengan mana-mana lelaki memang mudah. Malah kadang-kadang kita hanya berbual dengan mereka, tetapi disalah anggap.

"Ini sebenarnya bergantung kepada persepsi masing-masing. Untuk saya, asal saya jaga diri, tahu batas dalam pergaulan, saya rasa saya tak perlu takut untuk berkawan dengan lelaki."

Malah dia yang membina nama menerusi drama Air Mata Maria dan Sembilu Kasih ini memberitahu bahagia tidak datang daripada wang ringgit.

"Itu pasti. Bahagia datang kerana kita bahagia, bukan kerana limpahan wang ringgit. Saya tidak perlu," tambahnya lagi sebelum mengajak menukar topik.

Pinjam duit bank beli BMW X5

Kerana dirinya 'hangat', dia diserang gosip dengan lelaki pelbagai status. Tidak cukup itu, dia juga didakwa mendapat tajaan daripada lelaki-lelaki kaya.

Diana yang sedang menanti penggambaran muzikal Magica ketawa sinis. Ibunya, Norsiah menggeleng kepala. Banyak kali dia mengeluh, hatinya cukup terguris. Dia kasihankan Diana apabila terus menerus dilempar fitnah.


DIANA sudah bersedia untuk menyertai PLKN pada 11 Mac depan.





Sehingga untuk isu mewah ini, Norsiah menjawab bagaimana anak daranya itu mampu membeli sebuah kereta BMW X5 warna kelabu bernilai RM250,000 yang didakwa pemberian seorang VIP.

"Diana beli kereta itu pakai duit simpanan dia dan separuh duit lagi merupakan pinjaman daripada bank. Kereta itu juga adalah kereta terpakai.

"Mungkin orang mula fikir bukan-bukan sebab Diana muda dan tiba-tiba beli kereta mewah. Orang pun mesti fikir, Diana baru berlakon berapa buah drama dan filem sahaja, jadi mana datang duit dia banyak-banyak, kalau bukan ada orang taja?

"Tapi pernah tak mereka terfikir bahawa anak saya ini juga merupakan seorang model. Menjadi seorang model komersial selalu tidak mendapat publisiti seperti berlakon.

"Dan dia telah menjadi model untuk pelbagai produk sama ada untuk pasaran tempatan serta antarabangsa. Maka duit dia juga datang dari situ, bukannya ditaja orang," jelas Norsiah panjang lebar mengenai sumber kewangan Diana yang kukuh dan layak memiliki aset yang diingininya.

11 Mac sertai PLKN

Masih lagi isu hangat. Tentang kekecohan Diana dan PLKN. Diana dikatakan enggan memenuhi kursus PLKN selama tiga bulan yang diwajibkan kepada semua lepasan pelajar tingkatan lima.

Ironinya, bukan dia tidak mahu pergi. Hanya belum sempat dia memberi penjelasan tentang isu tersebut, dirinya telah 'diserang hendap' awal-awal lagi.

"Nak pergi sangat. Saya tak sabar nak lakukan pelbagai aktiviti lasak dan kembali menjadi remaja lain. Hanya jadual kerja saya pada waktu itu padat. Jadi saya minta tangguh pada kemasukan kedua.

"Bukannya saya menjadikan status pelakon sebagai alasan melarikan diri," terang Diana mengenai salah faham itu.

Sewaktu surat tawaran PLKN sampai kepadanya, dia terlebih dahulu sudah diikat dengan produksi filem Kecoh Betul. Kerana itu dia meminta penangguhan.

Kini, selepas menyusun semula jadual kerjanya, dia bersedia untuk ikut serta PLKN yang dijadualkan mengambil sesi kedua pada 11 Mac depan.

Ini bermakna Diana akan berehat daripada dunia seni selama tiga bulan sebelum kembali ke persada seni sebagai seorang penyanyi, bukan pelakon.

Ya, menjadi penyanyi adalah cita-cita awalnya sebelum berlakon. Hanya kerana rezeki berlakon datang terlebih dahulu, dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut.

Sekarang, apabila melihat kerjaya lakonannya sudah stabil, dia mahu segera mencapai misi menjadi penyanyi.

Sesiapa yang tidak pernah mendengar Diana mengalunkan vokal gemersiknya, pasti mencemuh - bolehkah gadis ini menyanyi? Sedap? Dan bermacam-macam soalan lagi.

Diana senyum. Dia tidak ambil hati kalau ramai orang yang sangsi dengan kemampuannya menyanyi. "Yelah, saya bermula sebagai pelakon, tiba-tiba nak menyanyi.

"Orang pun tak pernah tengok saya menyanyi, jadi mereka sangsi. Saya tak salahkan mereka. Cuma tunggulah kelahiran album sulung saya nanti.

"Saya mahu buktikan bahawa saya memang boleh menyanyi," ikrar gadis yang mendapatkan khidmat Octave, komposer terkenal Indonesia untuk menggarap album sulungnya.

Album yang turut mendapat sentuhan komposer dari Malaysia dan bakal diedarkan RPM juga diharap mampu menembusi pasaran Indonesia.

Sengaja dia mahu mencipta nama di sana sebagai bukti dan cabaran pada diri sendiri bahawa anak Malaysia juga boleh diterima pasaran republik tersebut yang dianggap tertutup menerima orang luar.

"Untuk memastikan album ini benar-benar diterima di sana, saya akan menetap sekurang-kurang empat bulan di sana untuk tujuan promosi.

"Saya memang mahu menjadi penyanyi yang berjaya kerana ini cita-cita asal saya. Jadi saya akan lakukan yang terbaik untuk sukses," azam Diana yang turut merancang untuk berlakon untuk sebuah filem di negara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: