|
 |
| PADA 1998 dan 1999, rantau Asia pernah dilanda kegawatan ekonomi dan kesan daripada itu ribuan rakyat di negara ini terpaksa menganggur. |
Sepuluh tahun berlalu, berkemungkinan sejarah kembali berulang apabila dunia dijangka mengalami krisis ekonomi yang turut mengheret negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Implikasinya, sudah tentu lebih besar dan bertambah parah daripada apa yang pernah negara lalui 10 tahun lalu.
Industri hiburan, semestinya paling merasai kesan kegawatan ini. Sudahlah masalah sedia ada seperti cetak rompak, kemerosotan penjualan album dan lambakan produk luar negara belum selesai, kini industri seni dibebankan pula dengan isu terbaru ini.
Sedikit masa lalu, kita pernah menyaksikan penubuhan ‘Celebrity Corners’ yang menjadi ruang artis berniaga sekali gus menjana pendapatan mereka tatkala berhadapan dengan masalah kegawatan.
Justeru, apakah langkah dan inisiatif seterusnya yang bakal diambil artis tempatan bagi menghadapi krisis ekonomi global? Tiga artis muda, Fazura, Liyana Jasmay dan Fazli Zainal diajak berkongsi pendapat mereka.
Pelakon jelita dan berbakat besar, Fazura berkata, kesedaran perlu bermula pada diri individu itu sendiri sebelum melihat skop yang lebih meluas.
“Saya sering mengikuti perkembangan semasa dunia. Selain isu hangat berhubung keganasan yang berlaku di Palestin, kegawatan ekonomi dijangka berlaku pertengahan tahun ini antara perkara yang saya kira perlu diberi perhatian.
“Terus terang, saya sudah mula mengamalkan langkah berjaga-jaga dan tidak berbelanja seperti dulu. Barangan yang sering saya belanjakan seperti tas tangan dan kasut, kini saya akan berfikir 10 kali untuk membelinya.
“Saya lebih selesa pakai apa yang ada sebabnya kadang-kadang itu ada barangan yang dibeli tidak dipakai pun dan akhirnya menjadi perhiasan.
“Meskipun pakar ekonomi meramalkan kegawatan akan berlaku dalam masa beberapa bulan lagi, saya kira kesannya sudah mula dirasai sekarang ini apabila tawaran berlakon semakin berkurangan dan pihak produksi penerbitan drama dan filem sendiri mula mengecilkan bajet mereka.
“Justeru, sebagai persediaan saya sedang merancang sesuatu yang lebih menjamin masa depan selain menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.
Fazura berkata, dia juga mengharapkan usaha kerajaan membentangkan ‘bajet mini’ lebih RM7 billion mencakupi pendekatan fiskal dan monetari dalam merangsang ekonomi domestik ekoran krisis kewangan global diharap mencapai matlamat dan objektifnya.
Pelakon remaja sensasi, Liyana Jasmay pula berkata, berjimat-cermat adalah langkah paling bijak dalam menguruskan soal kewangan.
“Sejak kecil lagi saya sudah diajar mengamalkan sikap menabung kerana kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Jarang sekali wang hasil lakonan saya gunakan untuk berbelanja sebaliknya menyimpannya di bank.
“Mengenai kegawatan ekonomi, sebenarnya sejak tahun lepas lagi bapa sudah berpesan supaya berjimat cermat kerana waktu itu saya dan kakak merancang membuka butik. Bagaimanapun, hasrat kami tidak dipersetujui bapa kerana katanya 2009 bukan tahun sesuai untuk membuka perniagaan.
“Kalau ada pun, orang hanya membeli-belah barangan keperluan dan makanan saja. Mengambil saranan bapa itu, saya dan kakak menunda hasrat kami seketika.
“Sebagai persediaan juga, saya membuat banyak pelaburan antaranya menerbit album. Walaupun saya melakukannya demi minat dan menuntut kepuasan diri, namun saya melihatnya sebagai satu cabang seni yang bukan saja boleh mengetengahkan bakat saya malah menjana pendapatan,” katanya.
Penyanyi popular dengan lagu Harapan yang baru saja meluncarkan single terbaru, Kalbu, Fazli Zainal, mengakui, kegawatan ekonomi memberi implikasi yang cukup besar kepada industri hiburan tanah air.
“Hiburan bukan keperluan tetapi kehendak. Jadi, kalau orang ramai rasa mereka tidak perlu membeli album jadi siapa kami untuk menghalang mereka.
“Akibat kegawatan juga, penganjur bukan saja mengurangkan aktiviti persembahan bahkan, menurunkan bajet untuk membayar artis. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan artis itu sendiri apatah lagi sebagai penyanyi dan pelakon kami tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Namun, jika artis mahu ‘survive’ mereka perlu bijak meraih peluang serta bertolak-ansur dengan penganjur berhubung soal bayaran jika tidak mungkin peluang keemasan itu menjadi milik artis lain.
“Yang penting, artis mesti bijak mencatur masa depan misalnya membabitkan diri mereka dengan perniagaan seperti jualan langsung,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: