Wednesday, February 11, 2009

Kemunculan semula Natasha


BIARPUN hanya muncul dengan dua filem, Datin Natasha Liana Hudson atau Tasha masih mampu berbangga dengan pencapaian karier seninya. Filem pertamanya, Chermin yang ditayangkan dua tahun lalu berjaya mengangkat dirinya sebagai Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Ketika itu, Tasha menewaskan dua saingan iaitu Ainul Aishah yang muncul menerusi Nana Tanjung dan Balkisyh Semundur Khan (Diva).

Meniti puncak populariti, Tasha bagaimanapun berhadapan konflik dengan pihak media apabila melarang wartawan hadir pada majlis perkahwinannya bersama usahawan, Datuk Shahrin Zahari yang berlangsung di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Akibat peristiwa itu, Tasha diboikot media hinggalah publisiti mengenai dirinya muncul semula menerusi filem kedua, Tipu Kanan Tipu Kiri yang ditayangkan pada Oktober tahun lalu.

Menyesali perbuatan lalu, kini Tasha berusaha memperbaiki diri agar peristiwa lalu tidak berulang. Tasha yang ditemui pada sidang media pementasan teater muzikal, Ibu Zain musim kedua yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan bersemangat untuk kembali ke pentas lakonan.

Namun, berbeza dengan lakonan menerusi dua filemnya sebelum ini, kali ini dia mencuba nasib menceburi bidang teater.

Teater Ibu Zain yang mengangkat kisah perjuangan dan pendidik bernama Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir menyaksikan Tasha berlakon sebagai Miss Ruth.

Pemilihan Tasha difikirkan sesuai oleh produksi teater berkenaan untuk menggantikan pelakon asal, Catriona Ross yang mempunyai komitmen lain.

Kata Tasha, 26, dia berminat untuk berlakon teater atas dorongan suami. Pembabitan menerusi teater ini dianggap kemunculan semula dirinya selepas diam diri seketika menguruskan rumah tangga bersama anak tersayang, Nessa Halena yang berusia lapan bulan.

"Pada mula ketika menerima tawaran berlakon teater ini, saya tidak pasti sama ada boleh buat atau tidak. Malah, terus terang saya katakan saya tidak tahu sejarah Ibu Zain secara mendalam. Lalu, apabila saya berbincang dengan suami, katanya apa salahnya saya mencuba.



"Selain kembali berlakon, saya melihat lakonan menerusi teater ini mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Sebelum ini, saya banyak meluangkan masa pada suami dan anak.



"Saya percaya teater ini memberi pengalaman baru. Sungguhpun latihan teater ini belum bermula sepenuhnya, jika ada tawaran menarik untuk teater pada masa akan datang, saya berhasrat berlakon lagi," katanya.

Antara pengalaman berlakon menerusi filem, Tasha berpandangan teater lebih mencabar kerana memerlukan dia beraksi secara langsung depan penonton.

Atas cabaran itu, dia turut gementar untuk memberikan persembahan terbaik pada pementasan teater itu nanti yang akan berlangsung pada 13 hingga 22 Mac depan, jam 8.30 malam di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur.

Turut bergandingan bersama pelakon berpengalaman lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Othman, Zuhairi Ibrahim dan penyanyi Nur Fatimah Abdul Wahab menerusi teater ini, dia juga mempunyai minat pada teater muzikal.

"Saya memang meminati teater muzikal kerana ia menggabungkan elemen lakonan, nyanyian dan tarian. Berlakon teater bukan hanya memberi pengetahuan dan pendedahan baru pada diri tetapi ia juga mampu memperbaiki dari aspek lakonan.

"Untuk teater ini, sebenarnya saya berat hati untuk berlakon kerana memikirkan anak yang masih kecil dan menyusu badan. Pada saya, memang susah untuk bekerja jika mempunyai anak masih kecil tetapi apabila berlakon semula, saya perlu menyesuaikan diri untuk meninggalkannya seketika.

"Mengenai pengalaman sebagai ibu, ia adalah satu keindahan pada diri apatah lagi melihat anak membesar depan mata. Antara teater dan filem, saya lebih berminat untuk berlakon filem tetapi perlu lihat dulu masa penggambaran supaya ia tidak terlalu lama berpisah dengan anak.

"Walaupun apabila menjadi ibu, saya terpaksa berkorban dengan bangun awal pagi dan tidak cukup rehar tetapi semua ini berbaloi demi menjaga anak sendiri.

"Ia pengorbanan ibu yang sanggup membesarkan anak. Saya tidak mahu mengeluh dengan kehidupan dilalui kini kerana ia adalah tanggungjawab pada keluarga," katanya.



>Profil

NAMA: Datin Natasha Liana Hudson

NAMA KOMERSIAL: Natasha Hudson

TARIKH LAHIR: 9 September 1982

TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak

STATUS: Berkahwin

ANAK: Nessa Helena

PENDIDIKAN: Sarjana Rekaan Grafik daripada The One Academy, Sunway dan

Performing Arts di Chicago Performing Arts School, Chicago

PROFESION: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku.

PROGRAM TV: Fesyen TV, Girls Club dan Kediaman Idaman.

DRAMA: Pei Pan dan Rahsia Cemara.

FILEM: Chermin dan Tipu Kanan Tipu Kiri.

TEATER: Ibu Zain musim kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: