Wednesday, February 11, 2009

Peserta wanita lebih menonjol


BIARPUN sudah memasuki minggu ke-11, persembahan peserta My Starz LG musim kedua ternyata kurang memberangsangkan. Lima peserta yang masih meneruskan persaingan gagal meyakinkan juri. Malah tetap mengekalkan kesilapan serupa dari segi lontaran suara yang kurang jelas.

Selepas satu demi satu peserta menamatkan cabaran merebut hadiah lumayan, Ahad lalu giliran peserta dari Sabah, Mohd Farouk Jayfiena Ermand, 19, atau Faroq mengakhiri perjuangan apabila diumumkan tersingkir oleh pengacara program, Nazruddin Habibur Rahman (Naz) dan Puteri Andreanna Syigim (Anne).

Juri tetap yang juga penyanyi, Liza Hanim dan Hattan mengakui peserta masih mengekalkan beberapa kesilapan sama ketika tampil menjayakan persembahan tetapi mereka mempunyai potensi tersendiri untuk diketengahkan.

Kata Hattan, apabila berada pada tahap minggu ke-11 usah disebut soal lontaran suara. Jika dinilai persembahan pada malam itu, katanya, mereka pasti mendapat tempat apabila membabitkan diri dalam bidang seni.

"Setiap peserta mempunyai potensi masing-masing. Peserta lelaki contohnya mempunyai nilai komersial seperti Azri dan Nashrin yang mempunyai tarikan tersendiri.

"Pada peringkat ini, sepatutnya masalah dari segi lontaran suara tidak lagi timbul. Kami agak teliti soal vokal peserta. Biarpun mereka mempunyai pakej lengkap, itu semua belum menjamin selepas tamat menyertai pertandingan ini.

"Kami tidak mahu penyertaan mereka dalam program realiti seperti ini hanya sia-sia apabila keluar nanti. Kalau hendak harap rupa semata-mata, buat apa. Biarlah bakat mereka menyerlah dan menampakkan potensi dalam bidang ini.

"Untuk apa mereka menyertai program realiti seperti ini perlu diambil kira. Kami tidak mahu peserta menganggur selepas menyertai pertandingan ini," katanya.

Liza pula berkata, setakat ini peserta wanita lebih menonjol daripada lelaki. Katanya, jika menilai dari segi vokal belum ada lagi peserta yang boleh digelar pelapis dalam dunia seni suara tanah air.

"Kami sentiasa menasihatkan mereka supaya memilih lagu yang sesuai begitupun masalah sama masih berulang. Peserta pula lebih suka memilih lagu santai supaya mudah untuk dinyanyikan dan potensi dikritik agak kurang," katanya.



Turut menilai persembahan peserta, Pengurus A & R Warner Music (M) Sdn Bhd, Mokhtaza Ahmad sebagai juri jemputan. Format pemarkahan berdasarkan 70 peratus juri manakala 30 peratus ditentukan menerusi SMS.



Feroq yang meletakkan sasaran mara ke pusingan akhir hampa selepas diumumkan tersingkir daripada program itu. Begitupun, ia tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan impian dalam bidang seni pada masa hadapan.

"Hendak diikutkan, saya memang meletakkan sasaran untuk mara ke pusingan akhir. Mungkin tiada rezeki saya. Sebelum ini saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak lagi. Ibu bapa dan keluarga sentiasa memberi galakan untuk saya terbabit dalam bidang seni.

"Banyak pengalaman menarik yang saya lalui sepanjang menyertai pertandingan ini. Saya gembira dan bangga kerana dapat menuntut ilmu dengan idola saya sendiri iaitu Lah Ahmad. Melalui didikan dan bimbingannya saya dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dan teknik vokal.

"Biar apa pun penilaian juri terhadap persembahan yang ditampilkan, yang penting saya sudah menunjukkan persembahan terbaik. Walaupun dikritik, saya terima teguran itu secara positif," katanya.

Dia mengakui kelemahan untuk menghayati lagu yang cuba disampaikan sehingga mendorongnya tersingkir pada minggu itu.

Memulakan persembahan dengan tema Medley ialah Hairi menyampaikan lagu Bukti/Pelesit Kota diikuti Wana menerusi lagu rancak, Penasaran/Sekadar Di Pinggiran diikuti persembahan Nashrin (Kau Pergi Jua/Sesuatu Janji).

Sementara Azri menyanyikan lagu yang dipopularkan Ungu dan Estranged, Tercipta Untukku/Aurora manakala Cassie memilih lagu Allahyarham Sudirman dan Rossa, Salam Terakhir/Pudar.

Pertandingan akhir dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 22 Mac ini. Juara bakal membawa pulang hadiah RM100,000 disamping produk LG serta kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: