Friday, February 6, 2009

Pingat bakar semangat


BINTANG kebesaran yang diterima sempena Hari Wilayah suntik semangat Aznil untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dianugerahkan bintang kebesaran Johan Mahkota Wilayah, 1 Februari lalu

PELBAGAI perasaan bercampur baur namun pastinya terselit sedikit rasa bangga kerana sebagai anak jati Kuala Lumpur, sumbangan serta jasanya menaikkan martabat industri hiburan dipandang tinggi hingga dianugerahkan bintang kebesaran, Johan Mahkota Wilayah, 1 Februari lalu.

Anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini bagaimanapun akur, semua itu tidak datang bergolek dengan mudah.

Hampir dua dekad menabur bakti, memerah idea dan keringat untuk menyumbang kepada pembangunan industri penyiaran perjalanannya tidak sepi daripada ujian dan kritikan.

Semua itu mematangkan dirinya dan hari ini, gelaran pengacara nombor satu yang kemas berada dalam genggaman membuktikan pengaruh kuat bapa kepada dua cahaya mata ini di mata masyarakat.

Merendah diri kata Aznil, sukar untuk dia menilai kelebihan sendiri namun dia bersyukur kerana segala usahanya dipandang kerajaan.

AZNIL ditemani kakaknya, Nora ketika hadir menerima anugerah di Istana Negara, baru-baru ini.

“Pelbagai rasa bercampur baur. Saya bangga, gembira dan terharu apatah lagi bintang kebesaran ini disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada acara yang berlangsung di Balai Rong Seri, Istana Negara, 1 Februari lalu,” katanya.

Penganugerahan itu kata pengacara yang juga penyampai radio Era berusia 46 tahun itu, secara tidak langsung menyuntik semangat baru dalam dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Malah, pengorbanan melupakan ijazah Sarjana Muda Ekonomi yang diterima daripada Universiti Malaya dan menumpukan segenap masa kepada dunia penyiaran bukan sesuatu yang sia-sia.

“Dalam apa juga hal, setiap yang saya lakukan saya utamakan kualiti. Jujur ketika mula menceburi bidang seni, saya tidak pernah terfikir mengenai pengiktirafan atau sebagainya.

“Daripada kritikan yang diterima, saya memperbaiki kelemahan dan alhamdulillah, hasil kerja saya dinilai dengan pengiktirafan ini,” katanya.

Aznil berkata, seminggu sebelum upacara penganugerahan berlangsung dia menerima sepucuk surat bertanya adakah dia bersetuju untuk menerima bintang kebesaran itu.

Menghargainya, Aznil bersedia menerima kerana ia menjadi faktor penggerak yang membakar semangat untuk terus berusaha.”

Aznil juga yakin pemilihannya bukan semata-mata kerana dia antara yang terbaik sebaliknya banyak faktor lain yang dinilai sebelum namanya tersenarai dalam barisan penerima pingat dan bintang kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah lalu.

“Alhamdulillah kerana peranan insan seni turut mendapat perhatian kerajaan dan itu bagi saya adalah sesuatu yang cukup membanggakan. Namun anugerah tidak datang begitu saja kerana ia turut hadir bersama tanggungjawab. Selepas ini saya akan menjadi lebih berhati-hati kerana insan seni ialah idola masyarakat,” katanya.

Disebabkan itu, kata Aznil, penganugerahan itu juga mendorong dirinya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat. Malah dengan murah hati, Aznil menawarkan khidmat dan tenaganya jika diperlukan untuk menjalankan segala kempen berkaitan negeri kelahirannya.

“Saya mahu membalas jasa, malah ia juga sebagai tanda terima kasih kepada masyarakat yang terus meletakkan kepercayaan kepada bakat dan kelebihan yang saya miliki,” katanya.

Permulaan 2009 yang manis

IBARAT pelangi yang menyimbah warna ceria, begitu juga perjalanan karier Aznil yang lima kali mempertahankan trofi Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak 2003.

Pencapaian tidak hanya diraihnya dalam negara, bahkan menjangkau sempadan apabila program kendaliannya, Macam-Macam Aznil dinobatkan Rancangan Bual Bicara Terbaik di Asian Television Award 2005, Singapura.

Disember lalu, ketika mengerjakan ibadah haji di Makkah, Aznil mendapat tahu namanya dibariskan dalam senarai Pengacara Hiburan Terbaik Asia.

Pencapaian itu diterima Aznil menerusi program Jangan Lupa Lirik.

“Pada 2003 nama saya tersenarai dalam Top 5 namun tahun lalu, kedudukan saya semakin selesa apabila tersenarai sebagai antara dua pengacara terbaik di Asia.

“Pastinya pengiktirafan itu membuka ruang untuk saya terus melipatgandakan lagi usaha membuatkan saya bertekad mahu menjadi yang terbaik di Asia,” katanya.

Info

Pencapaian Aznil:


  • Pengacara TV Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007)

  • Bual Bicara Terbaik (Anugerah Skrin 2007 Kategori Penerbitan Dalaman) - Macam-Macam Aznil

  • Pengacara TV Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006)

  • Pengacara TV Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005)

  • Rancangan Bual Bicara Terbaik (Asian Television Award 2005, Singapura) - Macam-Macam Aznil

  • Pengacara TV Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 2005)

  • Rancangan Hiburan TV Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 2004) - Macam-Macam Aznil

  • Pengacara TV Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004)

  • Anugerah Khas (Media Hiburan 2004)

  • Pengacara TV Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 2004)

  • Pengacara TV Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003)
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: