|
|
HENDAK diikutkan dalam usia mencecah 33 tahun, lelaki bujang punya nama dan kedudukan seperti Ally Iskandar Mohd Marzi, berhak untuk memilih gadis dirasakan sesuai dijadikan suri hidupnya. |
Bagi membolehkan pilihan dibuat, pengacara rancangan bual bicara Ally yang disiarkan setiap Rabu, jam 11 malam di TV3 itu, perlu berkenalan dengan ramai gadis. Sesekali dia harus keluar bersama rakan wanitanya bagi membolehkan proses mengenali hati budi berjalan dengan lancar.
Begitupun tindakan yang cuba dilakukan Ally itu dijadikan isu oleh sesetengah pihak, apabila gambarnya dengan seorang gadis tidak dikenali sedang menikmati minum petang di kafe terkemuka mula disebarkan menerusi Internet.
Bukan itu saja, keakraban pengacara itu dengan penyanyi Elyana turut hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kurang senang kepada kedua-dua belah pihak.
Apatah lagi, ini bukan kali pertama Ally dikaitkan dengan artis. Sebelum ini dia turut dikatakan pernah menjalin hubungan cinta dengan Misha Omar, Fasha Sandha dan Farah Fauzana. Kerana berhubungan rapat dengan artis popular ini, dia turut digelar pengacara playboy atau kasanova.
Ditemui di sesi rakaman rancangan Ally yang berlangsung kelmarin, pengacara yang mula mencipta nama itu menjelaskan antara dia dan Elyana dan juga gambar bersama wanita berambut panjang itu tiada perkara istimewa berlaku antara mereka.
"Jujur saya katakan selepas hubungan tidak menjadi tahun lalu, saya sudah malas memikirkan soal cinta. Pada saya biarlah saya tumpukan perhatian pada kerja terlebih dulu.
"Kalau ada jodoh saya pada masa depan, saya terima dengan hati terbuka. Namun ingin saya tegaskan saya tiada siapa-siapa sekarang," katanya.
Kata Ally, lagi dia belum melihat gambarnya yang tersebar di Internet tetapi menerusi penjelasan diberikan rakan-rakan dia tahu siapa wanita itu dan tegasnya itu adalah teman baiknya sejak zaman belajar lagi.
"Elyana pula saya mula rapat sewaktu kami sama-sama menjayakan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu. Kisah saya dan Elyana agak kelakar kerana sebelum ini saya ingatkan dia sombong dan dia turut punya pandangan sama terhadap saya.
"Lebih menarik perhatian, saya dan Elyana menuntut di sekolah sama jadi apabila bertemu banyak perkara yang diceritakan. Terutama saya yang sudah lama meninggalkan sekolah banyak mengorek cerita daripadanya yang jauh lebih junior.
"Sejak itu kami selalu bertemu, tetapi apabila perkara itu diketahui umum ia sudah di salah anggap. Saya dan Elyana tidak mempunyai hubungan istimewa selain daripada seorang kawan," katanya.
Bercerita mengenai rancangan Ally yang dikendalikan, kata pengacara rancangan Malaysia Hari Ini dia kini semakin selesa dan sudah memperoleh rentak.
"Lagipun rancangan ini sebenarnya banyak bergantung kepada panel yang dijemput. Kerana apa saja isu ditimbulkan, kami cuba mendapatkan sesuatu yang menarik daripada mereka untuk dikongsi bersama penonton," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: