|
|
SERONOK, tetapi berdebar. Begitulah dirasai pelakon popular Fazira Wan Chek, 35, atau Erra Fazira dan suaminya, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Datuk Engku Zainal Abidin menanti detik kehadiran cahaya mata yang bakal ditimang tidak lama lagi. |
Bagi Erra yang menyambut hari jadinya kelmarin berasakan tiada hadiah lebih berharga diterima selain bakal bergelar ibu dalam masa terdekat.
Keceriaan dirasai Erra berganda apabila kelmarin dia dikejutkan teman rapat apabila mereka mengaturkan satu majlis khas dengan menyiapkan bilik untuk bayi bakal dilahirkan.
Pelbagai hadiah barangan bayi diberikan mereka sebagai hadiah sempena hari jadi Erra ke-35.
Sebagai kejutan rakan artis ini, Umie Aida, Betty Banafe, Zahida Rafik, Jasmin Hamid, Zarina Zainuddin, Noniswara, chef selebriti; Zam, penerbit drama dan filem; Habsah Hassan dan Raja Alawiyah awal-awal lagi dibenarkan masuk ke rumah pelakon itu di Damansara Utama oleh Emran untuk menyiapkan bilik dikhaskan untuk anak mereka.
Sebaik melangkah masuk ke bilik terbabit, Erra berasa sangat terharu dan berterima kasih dengan apa yang dilakukan mereka.
"Sebenarnya saya sudah rasakan ada sesuatu yang dirancang suami apabila sebaik pulang kelihatan banyak kereta rakan-rakan diletak di hadapan rumah.
"Tambahan pula hari ini (kelmarin) saya menyambut hari jadi dan suami sudah memberikan kejutan dengan membawa saya bercuti.
"Sebaik melihat rakan-rakan bersorak 'kejutan' saya rasakan mereka mahu meraikan ulang tahun hari jadi saya saja, tetapi tidak sangka mereka menunjukkan bilik yang bakal didiami anak kami yang siap berhias dengan kelengkapan bayi.
"Kelakar juga saya melihat mereka turut sama memakai baju mengandung dan perut masing-masing 'memboyot'. Rupa-rupanya tema majlis saya hari ini adalah ibu mengandung," katanya yang turut seronok kerana dapat berkumpul selepas sekian lama berehat sebaik kandungan masuk usia enam bulan.
Bercerita lanjut mengenai kandungannya, kata Erra menurut doktor dia dijadualkan melahirkan anak antara 15 hingga 25 Mac depan.
"Doktor sendiri menasihati saya kurangkan makan supaya bayi tidak terlalu besar. Sekarang ini berat bayi 2.2 kilogram (kg) dan jelas doktor bayi yang dikandung tidak boleh melebihi 3.4kg.
"Jika tidak, pembedahan terpaksa dilakukan. Saya sendiri kalau boleh mahu melahirkan anak secara normal," katanya.
Sebagai persiapan, kata Erra atas nasihat mereka yang berpengalaman, dia tidak terlalu sakan membeli barang keperluan kecuali jika ia penting dan perlu.
"Saya sekarang ini banyak bertanya kepada mereka apa jenis barangan yang baik untuk bayi terutama yang tidak memberikan kesan kepada kulit bayi. Maklumlah menimang anak sulung tanpa pengalaman banyak juga perkara yang perlu saya titik beratkan.
"Jika pada awal kehamilan saya banyak membeli buku mengenai menjaga kandungan tetapi sekarang saya banyak membaca mengenai penjagaan bayi. Kalau boleh saya mahu lengkapkan pengetahuan supaya tidak kekok," katanya.
Pada waktu sama, kata Erra lagi sepanjang berpantang dia akan duduk di rumah sendiri bagi memudahkan keluarganya mahupun mentua bertandang sambil mengawasi bayi bakal dilahirkan.
Kata Erra lagi, dia kini sudah mempunyai tiga nama yang akan diberikan kepada bayi perempuan bakal dilahirkan. Jantina bayi sudah diketahui mereka sejak kandungan masuk usia empat bulan.
"Saya ingin tahu jantina anak bagi memudahkan kami membuat persiapan kerana pertama kali menjadi ibu sudah tentu persiapan awal dapat membantu," katanya.
Emran pula yang pada awalnya tidak mahu mengetahui jantina anak bakal dilahirkan berkata, dia terima apa saja rezeki dikurniakan dan lebih menarik doanya mahu menimang cahaya mata perempuan dimakbulkan.
"Hendak diikutkan mengenai jantina ini kalau mahu dirahsiakan ia perlu datang daripada kedua-dua pihak iaitu bakal ibu dan bapa. Tetapi apabila Erra mahu tahu saya reda kerana walaupun cuba mengelak tetapi pasti berita itu akan sampai kepada saya.
"Kelakarnya sewaktu mengetahui jantina anak, belum sempat saya beritahu doktor sudah mengumumkannya lebih awal sebaik rawatan imbasan dibuat," katanya.
Emran turut menafikan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini mengatakan dia tidak mahu wajah anaknya dipaparkan dalam mana-mana media masa sebaik bayinya dilahirkan.
"Sebenarnya yang saya tidak mahu, apabila ada penerbit mahu anak yang dilahirkan ini berlakon dalam drama dibintangi ibunya. Pada saya anak terlalu kecil dan bimbang kalau dibawa ke set penggambaran akan memberi kesan," katanya menjelaskan kedudukan sebenar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: