Saturday, February 7, 2009

"Mas ajak saya kahwin "







MINGGU ini, nama penyanyi Asma Ghani atau Mas, ibu tunggal kepada dua orang anak yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) tiba-tiba menjadi popular.

Bukan kerana kerjaya seninya yang cemerlang tetapi Mas dikatakan kurang waras sehingga dimasukkan ke Wad Psikiatri Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Rabu lalu. Penyanyi berdagu runcing ini dikatakan telah membuat kecoh dan meracau-racau di Balai Polis Pandan Indah selepas membuat satu laporan polis tanpa menandatangani laporan tersebut.

Kononnya tindakan Mas itu ada kaitan dengan masalah album yang asyik tertangguh, tetapi kata penerbit album berkenaan, Joe Wings adalah sesuatu yang mustahil seorang artis boleh jadi 'seteruk' itu hanya semata-mata kerana masalah album.

Rupa-rupanya hubungan cintanya yang bagai retak menanti belah dengan duda beranak tiga yang dipanggil Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd. Shahril, 36, juga menjadi salah satu sebab kenapa emosi Mas terjejas teruk.

Bagi mendapatkan cerita yang lebih jelas perihal Mas dan masalah cinta mereka, Kosmo! menyelami dasar hati Rock yang juga seorang pelakon. Ikuti perbualannya bersama Kosmo! semalam.

Bagaimana berkenalan dan sudah berapa lama hubungan cinta ini terjalin?

Secara tidak sengaja. Pada awal perkenalan saya memang tidak mengenalinya sebagai Mas AF2 kerana saya jarang tengok TV. Saya berkawan dengannya hampir setahun, tetapi cukup untuk saya kenal siapa diri Mas.

Apa yang menarik tentang Mas?

Dia seorang yang jujur dan lurus, malah, saat pertama kali bertemu dengannya saya sudah terpikat dan merasakan dialah wanita pilihan. Percintaan kami bukan seperti pasangan lain, bukanlah jenis 'jiwang-jiwang', tetapi cinta kami cinta rock dan selamba.

Ada yang mendakwa, emosi Mas terjejas teruk kerana keengganan Rock untuk berkahwin dengannya. Betul ke?

Saya sayangkan dia, begitu juga dengan Mas, saya tahu dia terlalu sayangkan saya. Memang Mas ada ajak saya kahwin.

Jadi Mas yang ajak kahwin?

Memang dia hendak menamatkan hubungan kami ke jinjang pelamin. Ikut perancangan Mas mungkin bulan Mac ini dia mahu kahwin.

Apa reaksi Rock?

Saya beritahu dia, biarlah kerja seninya stabil terlebih dahulu. Tujuan utama dia datang Kuala Lumpur pun untuk cari rezeki bagi menyara anak-anak dia di kampung. Lepas ekonomi stabil, baru kami akan memikirkan tentang perkahwinan.

Memandangkan Rock pernah mahu putuskan hubungan dengan dia, apakah Rock sedia terima Mas semula selepas tengok keadaan dia sekarang?

Tentang itu saya tidak boleh jawab.

Kenapa?

Tanyalah Mas. Kalau dia masih mahukan saya dalam hidup dia, okeylah. Saya tidak boleh buat keputusan seorang diri. Apa yang penting dia harus pulang ke Tawau, Sabah, untuk tenangkan diri terlebih dahulu.

Rock sudah jumpa ibu bapa Mas di Tawau?

Belum pernah. Sebab itu, saya tidak berani untuk bercakap tentang perkahwinan kerana saya belum jumpa ahli keluarganya lagi, hanya berbual menerusi telefon saja. Tetapi keluarganya tahu akan hubungan kami. Kalau selepas ini ibu bapanya datang ke Kuala Lumpur untuk melawatnya, saya pasti pergi untuk bertemu mereka.

Rock dilihat lebih banyak bercakap dengan media, secara tidak langsung meraih publisiti secara percuma, adakah Rock senang dengan keadaan ini?

Saya bukannya cari publisiti, sebelum ini tidak ada orang yang kenal saya walaupun saya terlibat dalam industri seni. Memang kawan saya ramai artis, tetapi saya bukannya jenis mencari publisiti murahan. Apa yang saya luahkan hanya luahan isi hati sebagai orang yang rapat dengan Mas bukannya nak tumpang glamor.

Sekarang ini apa harapan Rock terhadap hubungan kalian dan nasib Mas?

Apa yang saya harapkan ialah dia dapat keluar dari wad dan saya berusaha keluarkan dia. Kalau boleh saya ingin berada di sisi Mas supaya dia tahu ada orang yang ambil berat akan dirinya. Saya risau kalau dia jadi teruk kerana keadaan di wad itu. Pada peminatnya, tolong doakan agar kesihatannya pulih dan dia dapat keluar dari wad dengan segera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: