"Kami bagaikan keluarga nomad tetapi ia bukannya satu masalah. Namun, keluarga menjadi teras kepada saya dan Angelina" – BRAD PITT
BRAD PITT mempunyai reputasi sebagai seorang yang periang dan peramah sepanjang tempoh dia memerah kreavititi seninya di lokasi penggambaran naskhah-naskah lakonannya. Namun, kali ini, bayangan hitam kematian telah menghantui set penggambaran filem terbarunya, The Curious Case Of Benjamin Button yang juga telah mengubah cara Brad melihat kehidupannya.
Ibu Angelina Jolie meninggal dunia sebulan selepas penggambaran filem itu bermula. Sebelum itu, ketika dalam penggambaran, bapa pengarah filem itu, David Fincher dan juga ibu kepada penulis filem tersebut, Eric Roth juga meninggal dunia.
Ia mungkin suatu kebetulan tetapi sempat menimbulkan perasaan aneh, khususnya kepada seluruh karyawan filem berkenaan.
Ironinya, di sebalik tiga kematian yang berlaku di alam realiti itu yang mengiringi proses pembikinannya, The Curious Case Of Benjamin Button pula mengangkat tema kontroversi mengenai proses penuaan dan memaksa Brad berdepan dengan isu kematian.
"Saya mula sedar masa itu berlalu pantas. Saya tidak pasti sama ada saya mempunyai masa sehari, 10 hari atau 10 tahun atau 40 tahun untuk hidup lagi.
"Adakah hidup saya kini sudah berada di pertengahan atau sudah menghampiri penghujung? Saya tidak tahu.
"Jadi saya perlu memastikan saya tidak membazirkan memori-memori itu atas alasan yang remeh-temeh atau berduka.
"Hidup saya hanya akan dikelilingi dengan orang yang penting bagi saya. Angelina dan saya boleh hidup bersama kerana kami saling memberikan kegembiraan.
"Saya tidak mahu membazirkan masa kerana saya ditemani orang yang saya cintai," kata pemilik nama sebenar William Bradley Pitt itu.
Di sebalik kemunculan dalam filem yang menyelusuri erti kematian, di alam realiti pula, Brad dan cinta hatinya, Angelina sebaliknya berusaha melebarkan empayar kehidupan mereka.
Selain Angelina Jolie, hidup Brad kini lebih bermakna dengan kehadiran tiga orang anak angkatnya, Maddox, 7, Pax, 5, Zahara, 3 dan anak kandungnya, Shiloh, 2, pasangan kembar Knox dan Vivienne yang dilahirkan Julai lalu.
Bagi menjadikan kehidupan lebih bermakna, Brad dan Angelina telah bercadang untuk menambah jumlah anak dalam keluarga mereka.
"Kami belum menemui sebarang alasan untuk berhenti mengembangkan ahli keluarga. Memang ada kalanya ia amat memeningkan tetapi semua itu membawa kegembiraan dalam rumah kami.
"Lihat sahaja anak lelaki kami dari Vietnam dan Kemboja, anak perempuan dari Ethiopia dan Shiloh yang dilahirkan di Namibia.
"Mereka adalah adik-beradik dan hubungan itu amat indah. Kami mampu untuk memberikan seorang kanak-kanak sebuah rumah dan balasannya amat mengagumkan," kata Brad dalam senyuman.
Istilah kembar pula baginya bermaksud kegembiraan berganda. "Seorang mungkin kelihatan ringkas tetapi dua orang pula menyeronokkan. Ia amat mengejutkan bagaimana personaliti mereka mula menonjol.
"Namun, apa yang penting adalah semua orang mempunyai masa peribadi di samping bersama adik-beradik lain.
"Kami hanya hidup berempat sebelum ini tetapi ia mula menambah. Apabila ada anggota baru menyertai keluarga kami, keadaan akan menjadi kelam-kabut. Tapi itu hanya untuk seketika sahaja. Semua orang dilihat berhubung dengan baik dan ini bukannya kali pertama ada anggota baru memasuki keluarga kami."
Menetap di Berlin bersama keluarganya, Brad menerima pencalonan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam anugerah Golden Globe 2009 yang berlangsung 11 Januari lalu menerusi filem The Curious Case of Benjamin Button.
Dalam naskhah itu, dia memainkan watak sebagai lelaki, Benjamin Button yang dilahirkan dalam keadaan tua dan berkedut tetapi akan menjadi semakin muda. Semasa berusia 50 tahun, dia telah jatuh cinta dengan Daisy (Cate Blanchett) yang ketika itu berusia 30 tahun.
|
|
Mereka sedar bahawa hubungan mereka tidak akan berjaya kerana perjalanan usia pasangan ini adalah bertentangan. "Filem ini adalah mengenai melihat kembali saat-saat indah dalam hidup anda," tambah Brad.
Cerita dalam filem itu dan kematian orang rapat di sekelilingnya semasa penggambaran telah membuatkan dia berfikir mengenai kedukaan dan kehilangan.
"Saya mempunyai seorang kawan yang bekerja di hospital. Dia telah memberitahu saya bahawa mereka yang bakal meninggal dunia tidak bercerita mengenai kejayaan, anugerah atau buku apa yang mereka tulis. Mereka cuma bercakap mengenai orang yang dicintai dan kekesalan hidup. Itulah impak yang saya perolehi dari naskhah ini," ujar Brad, 45.
Sungguhpun begitu, jejaka kacak itu belum berpeluang untuk berbicara mengenai isu kehidupan dan kematian bersama anak-anaknya.
"Anak tertua kami hanya berusia tujuh tahun. Namun, dia ada bertanya soalan mengenai isu kematian. Yang lain masih terlalu muda untuk memahami.
"Ia amat sukar untuk membantu mereka menghadam isu itu dan saya tidak pasti sama ada mereka sudah bersedia. Apa pun, ia satu isu besar," tambah aktor kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat.
Jadual penggambaran dan kerja amal telah membawa Brad dan Angelina mengembara ke seluruh dunia dan anak-anak mereka menghadiri sekolah di negara ibu bapa mereka berada ketika itu.
"Kami bagaikan keluarga nomad tetapi ia bukannya satu masalah. Namun, keluarga menjadi teras kepada saya dan Angelina. Anak-anak kami mungkin tidak mengenali tempat yang mereka lihat semasa muda tetapi saya pasti mereka akan mempelajari sesuatu.
"Kami perlu sentiasa berfikir mengenai pendidikan dan terlibat dengan program antarabangsa. Jadi tidak kira ke mana kami pergi, mereka akan menyertai kokurikulum yang sama," katanya yang sedang menjalankan penggambaran filem Inglourious Basterds.
Walaupun penggambaran membuatkan dia sentiasa sibuk tetapi sebenarnya kerja amal yang dilakukan mengambil lebih banyak masa dalam hidupnya. Seperti Angelina, dia telah mempelajari untuk menggunakan sebaik mungkin statusnya sebagai selebriti untuk mempromosikan kerja amal.
|
|
Membantu menangani kemiskinan dan kebuluran di negara-negara dunia ketiga, Brad yang pernah mempelajari seni bina juga telah menggunakan wang serta ilmunya untuk membantu membina semula kawasan New Orleans yang musnah akibat ribut taufan Katrina.
Dia yang pernah berlakon dalam lebih 60 buah filem memberitahu: "Kami mahu membantu untuk membangunkan bandar itu. Namun, kami mahukan bandar yang mesra alam dan dalam masa setahun lagi, lebih 100 buah rumah akan dibina di kawasan itu."
Brad sedar akan tanggungjawab dia sebagai teman, ayah, pembikin filem, pelakon dan penderma. "Apa yang berharga bagi saya menjadi lebih jelas apabila usia saya semakin meningkat. Bagi saya, ia adalah mengenai nilai masa dan siapa saya habiskan masa bersama.
"Jadi jika saya hendak keluar bekerja, ia perlu menjadi sesuatu yang berbaloi. Kini saya lebih berpengalaman dan boleh membuat keputusan filem mana yang patut diambil. Ini supaya anak-anak saya yang melihat lakonan saya boleh berbangga dengan hasilnya," katanya yang mula bercinta dengan Angelina semenjak tahun 2005.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: