Friday, February 6, 2009

Linda kikis rasa kecewa


DITUKARKAN ke Sinar FM sejak 15 Disember lalu, Linda kini sudah selesa bertugas di tempat barunya itu.


"MINAT atau tidak, itu saya tolak ketepi. Apa yang penting, komitmen terhadap kerja.''

Itu tegas Linda Onn saat diaju soalan tentang suasana kerjanya di tempat baru iaitu Sinar FM selepas ditukarkan dari stesen radio ERA.

Memulakan tugas sebagai penyampai radio di Sinar FM sejak 15 Disember lalu, kini, selepas hampir dua bulan berlalu, Linda bagaikan enggan untuk menoleh ke belakang.

Bagi Linda, meski pada awalnya agak kecewa atas pertukaran itu, semua perasaan negatif tersebut dilontarnya sejauh mungkin lantaran memperoleh sokongan kuat daripada pendengar setianya yang mula mengalih perhatian kepada Sinar FM.

"Memanglah mula-mula dahulu sukar untuk saya menerimanya (pertukaran dari ERA ke Sinar FM). Namun, saya amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk pendengar setia saya sewaktu di ERA yang banyak memberikan sokongan.

"Masih kecewa dengan pertukaran?. Tidaklah,'' katanya ketika ditemui di Karnival Doa Buat Palestin di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Karnival untuk mengisi tabung bantuan Palestin itu dianjurkan oleh Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang dikelolakan Erma Fatima.

Pada 15 Disember lalu, Linda memulakan tugas di Sinar FM selepas 10 tahun berkhidmat untuk ERA.

Apa yang berlaku ke atas Linda bagaikan menyamai nasib yang menimpa Khairil Rashid apabila 'dicampakkan' ke Xfresh FM serta kemudiannya Sinar FM.

Sedih dengan pertukaran tersebut, Linda pada ketika itu mengakui jiwanya bukan berjiwa Sinar FM yang lebih kepada elemen retro.

Di Sinar FM, Linda mengendalikan slot antara pukul 2 hingga 6 petang sedangkan sebelum ini Linda merupakan antara deejay pelopor di ERA.

Menyambung bicara, Linda memberitahu, selepas hampir dua bulan, dia kini sudah dapat menerima segala alasan pertukaran dan semakin selesa bertugas di Sinar FM.

Ditanya tentang gaya penyampaiannya sebaik ditukarkan ke Sinar FM, Linda berkata : "Linda tetap Linda yang dahulu.''

Jelasnya, walaupun berada di Sinar FM, gaya penyampaiannya tetap sama dan perkara itu adalah sukar baginya untuk diubah.

"Saya tetap kekalkan gaya saya sendiri seperti mana sewaktu bertugas di ERA. Mana boleh tukar,'' katanya.

Luahan Linda terhadap kekejaman Israel

Sementara itu, tatkala diajukan soalan mengenai Karnival Doa Buat Palestin yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Februari, Linda berkata, kehadirannya dalam karnival itu adalah sebagai tanda sokongan untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat keganasan Israel.

Ujarnya, My Mom's Chicken Rice turut mengambil bahagian dengan membuka gerai dalam karnival itu dan sebahagian hasil jualan akan dihulurkan kepada tabung bantuan Palestin.

Menurut Linda, dengan adanya karnival seperti ini, bukan sahaja dirinya tetapi sesiapa sahaja dapat memberikan bantuan di samping meluahkan rasa benci terhadap kekejaman Israel.

"Mereka (Israel) memang cukup kejam dan tidak ada langsung perikemanusiaan. Mereka adalah binatang.

"Tatkala melihat berita kekejaman Israel di televisyen mahupun akhbar, saya tidak dapat menahan air mata serta kasihan kepada anak-anak kecil Palestin yang menderita,'' jelasnya.

Katanya, di sebalik beberapa negara Islam 'lemah' dalam bertindak terhadap Israel, dia cukup bangga dengan tindakan berani Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mengecam Presiden Israel, Shimon Peres berhubung pembunuhan penduduk awam Palestin di Genting Gaza ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

"Saya harap akan ada lagi pemimpin dunia yang berani menentang Israel selepas ini. Tindakan Erdogan adalah tindakan yang cukup bagus,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: