|
|
SELEPAS berjaya menjadi artis Malaysia pertama melayakkan diri ke peringkat Grand Final World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat (AS), tahun lalu, 'nilai' Noryn Aziz semakin tinggi di persada muzik tanah air.
Memiliki kualiti suara yang baik di samping berdisiplin membuatkan namanya sering kali berada di kelompok atas dalam 'carta' artis yang diutamakan untuk diundang menjayakan pelbagai persembahan.
Bukan sahaja di dalam negara dan yang terbaru penyanyi yang popular menerusi lagu Alam Maya ini telah pun menerima undangan untuk menjayakan tiga persembahan di luar negara.
Meski semuanya adalah undangan kecil yang hadir daripada tiga pihak berbeza dari dalam negara, Noryn tidak mengambil 'enteng' tentang soal persembahan.
Tiga undangan itu adalah menjayakan persembahan pentas sempena Festival Makanan dan Kebudayaan Malaysia di New York oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bermula 15 hingga 21 Februari ini.
Bukan sahaja Noryn, ia turut disertai rakan-rakan seperjuangannya yang telah berjaya mencipta nama dalam WCOPA tahun lalu.
Sebaik pulang ke tanah air, Noryn kemudiannya akan terbang pula ke London atas undangan AirAsia yang mempromosikan penerbangan sulung Kuala Lumpur- London pada 11 Mac depan.
Menariknya dalam persembahan di Hotel Marriott, London nanti, selain bersama artis tempatan, Noryn juga akan berkongsi pentas bersama artis-artis antarabangsa terkenal yang lain.
Namun sebelum itu, Noryn terlebih dahulu terlibat dalam persembahan sempena pelancaran portal hiburan jomstar.com versi Indonesia di Jakarta pada 3 hingga 5 Mac ini.
Selain Noryn, artis-artis lain yang terlibat adalah Atilia dan Jaclyn Victor.
Perbelanjaan
Melihatkan jadual persembahannya itu, andai betul langkah yang diatur, mungkin satu hari nanti Noryn pasti akan dapat melebarkan sayapnya ke luar negara.
"Alhamdulillah. Sekarang ini saya banyak mendapat undangan mengadakan show.
"Walaupun sibuk dengan pembikinan album baru, show kena cari juga. Perbelanjaan pun semakin meningkat,'' bicara Noryn ringkas ketika ditemui di Karnival Doa Buat Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin di Istana Budaya, baru-baru ini.
Noryn sebenarnya sudah pun dikenali di Indonesia sebaik terlibat dalam konsert 3 Diva yang menampilkan Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, Mac 2007.
Kehebatan vokalnya pada konsert berkenaan sudah menjadi 'buah mulut' di negara seberang itu.
Namanya semakin kukuh tatkala beraksi di WCOPA.
Dalam pertandingan itu, selain layak ke peringkat Grand Final, Noryn turut memenangi tiga pingat emas serta satu perak dalam lima kategori yang disertainya.
Tiga emas yang dimenanginya adalah menerusi lagu One Moment In Time yang dipertandingkan dalam kategori pop, At Last (R&B Jazz) dan I'm Alright (Komposisi Asli), manakala pingat perak pula adalah untuk lagu Big Spender yang dipertaruhkan bagi kategori Broadway.
Menyambung bicara tentang soal kariernya, Noryn memberitahu bahawa dia kini dalam proses menghasilkan album baru berjudul Selamanya yang akan dipasarkan Jun ini.
Memuatkan 10 buah lagu baru, pembikinan album itu kebanyakannya menggunakan idea kreatifnya sendiri.
"Sebanyak 50 hingga 60 peratus lagu-lagu dalam album itu adalah ciptaan saya. Album kali ini akan bercirikan kemelayuan.
"Selebihnya lagi, saya bercadang untuk mendapatkan khidmat komposer-komposer dan penulis lirik muda,'' jelasnya yang ditemani pengurusnya, Sam Kassim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: