|
|
PENDAKWAH yang bijak akan melakukan apa juga cara bagi menyampaikan ajaran Islam termasuklah dengan menggunakan lagu-lagu nasyid popular sewaktu mereka berdakwah kepada masyarakat.
Abdullah Gymnastiar, pendakwah terkenal dari Indonesia juga menggunakan pendekatan yang sama, antaranya dengan menyampaikan lagu popular bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani berjudul Mengemis Cinta.
Menurut pendakwah berusia 47 tahun ini, lagu itu bukan sahaja menampilkan bait-bait lirik yang mampu menyentuh hati dan kesedaran para pendengar, tetapi ia juga mengetengahkan melodi yang mendamaikan untuk halwa telinga.
"Saya akui tentang keindahan lagu itu dan saya telah meminta kebenaran dan meminjam lagu itu daripada Nazrey untuk menyampaikannya pada ceramah-ceramah agama yang saya adakan di merata-rata tempat.
"Apatah lagi Nazrey merupakan sahabat baik saya sejak enam tahun lalu. Dia memberi kebenaran kepada saya menyanyikan lagu itu sebagai satu alat untuk berdakwah," katanya ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Jelas Abdullah atau nama sebenarnya Yan Gymnastiar dan lebih dikenali sebagai Aa Gym itu, beliau cukup tertarik bukan sahaja kepada lagu tersebut, malah gaya penyampaian Nazrey juga amat dikaguminya.
Ini kerana, katanya, sebagai pendakwah dan juga bekas penyanyi, beliau begitu mementingkan soal penghayatan sama ada ketika berdakwah ataupun menyanyi kerana ia mampu untuk mempengaruhi para pendengar yang menghayatinya.
"Nazrey selalu datang ke Pondok Pesantren (madrasah) saya di Daarut Tauhid di Bandung dan menyanyikan lagu-lagunya termasuklah lagu Mengemis Cinta.
"Saya dapati dia menyanyikan lagu itu dengan penuh penghayatan dan keluar terus dari lubuk hatinya menyebabkan ramai hadirin yang menyaksikannya menitiskan air mata sebagai tanda keinsafan," ujarnya.
Bapa kepada 11 anak ini bersyukur kerana bakatnya sebagai penyanyi telah digunakan untuk tujuan berdakwah bukan setakat di Indonesia tetapi turut merentasi pelbagai negara seperti Australia, Jepun dan United Kingdom.
Kata Abdullah, sebelum menjadi pendakwah dan ahli perniagaan sepenuh masa, beliau lebih banyak menumpukan kerjayanya dalam bidang kejuruteraan elektrik tetapi hatinya tidak pernah tenang.
"Bagaimanapun, Tuhan memberi jalan kepada saya apabila melihat adik lelaki saya yang lumpuh tetapi lebih bahagia hatinya berbanding saya.
"Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mendalami ilmu agama Islam di merata-rata tempat seperti di Pesantren Miftahul Huda dan berguru dengan Ajengan Junaidi iaitu seorang ulama tersohor di daerah Garut.
"Selepas 23 tahun mendalami ilmu-ilmu agama dan berdakwah barulah saya mendapat ketenangan hati," katanya yang merupakan lulusan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Fakultas Teknik Universitas Jenderal Ahmad Yani yang pernah muncul dengan album berjudul Jagalah Hati pada 2005.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: