|
|
HADIR ke ibu kota dengan sejuta harapan memburu impian untuk menjadi bintang, namun malang yang datang. Selepas keluar daripada program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2) hampir empat tahun lalu, tiada sinar yang menerangi kerjaya seni Mas atau Asma Ghani, 27. |
Kehadirannya dalam persada seni sebentar cuma. Dengan kemunculan ramai bakat baru yang dilahirkan menerusi AF setiap tahun, khabar beritanya jarang kedengaran. Kehadiran Mas dalam persada seni tanah air tidak memberi impak kepada peminat seni suara.
Apatah lagi sejak dalam AF prestasi Mas kurang memberangsangkan sehingga pernah pengetuanya ketika itu, Ramli MS membaling pen kepadanya. Mas suka bersikap sambil lewa dan tidak acuh.
Pun begitu, gimik Mas yang dipertemukan dengan dua anak dan ibu bapanya yang diterbangkan khas dari Tawau, Sabah, ‘menjadi’.
Pertemuan anak beranak itu berjaya mengundang simpati penonton. Namun selepas tamatnya AF2, bintangnya terus tenggelam di sebalik sirna.
Sesekali beritanya muncul di media, namun apabila tiada berita terbaru untuk dikongsi bersama peminat, kelibatnya beransur hilang. Kebanyakan rakan seangkatannya dalam AF2 cuba menjadi pelakon, namun bakat Mas dalam bidang seni bagaikan tenggelam.
Tiba-tiba minggu lalu nama Mas kembali menjadi sebutan apabila dia dikatakan berang apabila teman lelakinya disaman polis trafik.
Namanya menjadi bualan hangat apabila anggota Balai Polis Pandan Indah terpaksa menghantarnya menjalani pemeriksaan di Wad Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dia dikatakan tidak puas hati terhadap satu laporan polis yang dibuatnya.
Dia ke balai itu untuk membuat laporan mendakwa mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu seseorang. Kini Mas ditahan di Wad Psikiatrik HKL akibat tekanan perasaan dialaminya.
Antara isu yang ditimbulkan, kemungkinan dia tertekan kerana ketiadaan album dan hidup berjauhan daripada keluarga yang kini menetap semula di Tawau.
Ada pihak juga mengaitkan ‘ketidakwarasan’ Mas berpunca daripada hubungan cintanya dengan teman lelaki, Rock atau Shahrul Azman Mohd Sharif, 36.
Bagaimanapun, Rock menafikan mereka bergaduh sehingga membuatkan fikiran Mas terganggu. Pada pertemuan dengannya di HKL, Khamis lalu, Rock menegaskan hubungan mereka masih baik. Apapun yang terjadi di antara mereka, Rock menunjukkan rasa tanggungjawabnya terhadap apa yang berlaku pada Mas.
Simpati dengan nasib ibu tunggal itu yang tinggal bersendirian di ibu kota, Rock bercadang membawa Mas pulang ke kampung halamannya supaya perasaannya kembali tenang apabila dapat bersama keluarga.
“Selepas keluarganya berpindah semula ke Tawau, bapanya mahu saya menjaga Mas tetapi saya yakin Mas sangat memerlukan keluarganya.
“Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati kerana pihak hospital tidak membenarkan saya berjumpa Mas dan mereka juga tidak menjelaskan apa sebenarnya berlaku padanya.
“Saya tahu Mas tidak apa-apa dan tentu dia hairan kenapa dia ditahan di wad itu,” katanya.
Dalam pada itu, ada yang berandaian albumnya yang belum siap itu bukan sebab utama Mas bertindak di luar kawalan kerana album terbitan Joe Wings itu akan siap seminggu lagi. Hanya satu lagu belum dimasukkan vokal iaitu lagu duetnya bersama artis lelaki.
Album itu mula menjalani proses rakaman sejak 2007. Daripada penjelasan Joe, sukar untuk Mas memasukkan vokalnya, menyebabkan proses pembikinan album sangat perlahan. Sehingga sampai pada satu tahap Joe mencadangkan dia masuk kelas vokal.
Imbas kembali ketika Mas di akademi dulu, dia bukan pelajar cemerlang dan jarang menumpukan perhatian dalam kelas, tetapi ada sesuatu pada dirinya yang boleh dijadikan gimik.
Faktor itulah yang diperlukan AF untuk menarik penonton. Namun dengan apa yang terjadi begini, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa.
Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management, Freddie Fernandez yang juga Presiden Karyawan Malaysia, juga mengakui Mas antara bakat AF yang sukar ‘dijual’. Pernah Maestro ingin ‘melepaskannya’ untuk bergerak sendiri tetapi Mas enggan. Barangkali Mas tahu keupayaan dirinya yang terbatas, sebab itu dia berdegil ingin terus bersama Maestro.
Kasihan kepada Mas, Maestro menerimanya semula dan berjanji untuk menerbitkan albumnya. Disebabkan keadaan pasaran yang kurang bagus, hanya album mini dihasilkan. Namun kemusykilan yang timbul, tak mungkin Mas bertindak seperti orang tidak waras kerana masalah kelewatan albumnya.
Hanya seminggu lagi album itu akan dipasarkan. Jika dia boleh tunggu selama dua tahun untuk album itu siap, takkan seminggu lagi terlalu sukar baginya.
Justeru, tidak kurang membuat spekulasi fikirannya terganggu kerana masalah cinta dengan Rock. Barangkali juga ketika Mas memasang angan-angan menjadi bintang terkenal, tidak terlintas olehnya betapa bukan semua orang bernasib baik.
Mungkin ketika Mas tergapai-gapai memburu impian, tiada siapa membimbingnya. Kerlipan dunia seni tidak selalunya menjanjikan keindahan. Ada benarnya juga kegagalan mengejar cita-cita dan cinta membuatkan manusia mudah hilang pertimbangan.
Mas menjadi ibu tunggal dalam usia terlalu muda dan bukan berasal daripada keluarga senang. Besar sekali harapannya untuk memberi kesenangan kepada orang tua dan anaknya. Kalau tidak, masakan Mas sanggup membawa keluarganya pindah ke Kuala Lumpur.
Murni sungguh cita-cita Mas, tetapi sayang sekali nasib tidak menyebelahinya. Bertahun-tahun menanti, namun kerjaya seninya tidak ke mana, menyebabkan ibu bapanya terpaksa balik ke kampung halaman.
Sebaik keluar AF, Mas khabarnya berniaga sate. Juga tidak bertahan lama. Pasti setiap kegagalan yang dilalui membuatkan fikirannya bercelaru. Daripada menjadi perhatian ramai, langsung tiada yang mengambil tahu mengenainya kini.
Atau adakah apa yang dilakukan menjadi gimik untuk melariskan albumnya yang bakal keluar atau ingin meraih perhatian masyarakat terhadapnya semula?
Selagi tidak bertemu Mas dan mendengar sendiri isi hatinya, sukar sekali untuk menelah cerita sebenar. Siapa tahu, di sebalik tragedi yang menimpa Mas bakal merubah kehidupannya.
Menyelak semula sejarah silam beberapa artis ternama yang dulunya dilimpahi kemasyhuran dan perhatian, akhirnya menjelang usia tua mereka hidup dalam kesepian. Moga Mas tidak jadi begitu kerana perjalanan hidupnya masih panjang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: