Tuesday, February 10, 2009

Kejayaan kedua Carrie


MEMASUKI edisi ke-51, penganjuran Anugerah Grammy yang memberi pengiktirafan pada karya muzik dari seluruh dunia terus menarik perhatian ramai. Biarpun penguasaan pencalonan Anugerah Grammy kali ini menyaksikan karyawan muzik dari Britain menonjol termasuk kumpulan alternatif popular Coldplay yang bersaing untuk kategori utama iaitu Album, Lagu, Rakaman dan Album Rock Terbaik, gandingan Robert Plant dan Alison Krauss memberikan kejutan.

Plant yang dikenali sebagai penyanyi kumpulan Led Zeppelin bersama penyanyi country, Alison berjaya menguasai lima anugerah Grammy kali ini. Kemenangan tertinggi untuk kategori Album Terbaik menerusi album Raising Sand menewaskan Coldplay yang mencalonkan album Viva La Vida.

Mereka turut mencuri tumpuan ramai apabila menang anugerah Rakaman Terbaik menerusi album Please Read The Letter diikuti kategori Album Kontemporari Tempatan/Amerika Terbaik menerusi album Raising Sand, Lagu Pop Kolaborasi Bersama Vokal untuk Rich Woman manakala Killing The Blues pula memenangi kategori Lagu Country Kolaborasi Bersama Vokal Terbaik.

Pastinya, kemenangan bersama antara Plant dan Alison memberi makna yang mendalam pada perjuangan muzik mereka berdua. Plant, 60, bermula dengan pelbagai genre muzik seperti hard rock, heavy metal dan world music sejak 1966 pernah mencipta nama bersama kumpulan rock Led Zeppelin pada 1968 sebelum anggota kumpulan ini berpecah pada 1980.

"Kami mempunyai latar belakang muzik yang berbeza tetapi ia bukan halangan untuk menceriakan hidup sebagai pemuzik. Sebelum ini, Alison memberikan pendedahan kepada saya mengenai muzik Amerika dan banyak lagu berada di pasaran.

"Namun, rakyat Amerika mahu tahu apakah lagu mereka yang ingin diketengahkan dan kami bertanggungjawab mengembangkannya," katanya.

Bagi Alison, 37, kemenangan kali ini mencipta sejarah peribadi buatnya yang memenangi jumlah keseluruhan 26 Anugerah Grammy sepanjang karier seni sejak 1983. Dia juga berbakat sebagai penulis lirik, bermain biola dan produser album muncul penghibur wanita yang paling banyak menerima anugerah dalam sejarah majlis Anugerah Grammy selepas George Solti dengan 31 anugerah dan Quincy Jones (27).

"Kerjasama kami untuk album kali ini begitu mencabar. Kami berterima kasih kepada mereka yang terhibur menerusi album ini. Kemenangan ini adalah kenangan manis buat kami berdua," katanya.

Bagaimanapun, Coldplay tidak mengecewakan peminatnya sebaik menerima tiga trofi untuk anugerah Lagu Terbaik termasuk Album Rock Terbaik dan Persembahan Pop Terbaik (Duo/Kumpulan Bersama Vokal). Pada majlis Anugerah Grammy kali ini yang berlangsung di Staples Center, Los Angeles, pagi semalam (waktu Malaysia) turut menyaksikan dua bekas peserta program realiti, American Idol mencatat kejayaan peribadi masing-masing.

Carrie Underwood yang juga juara musim keempat, menang kategori anugerah Persembahan Country Vokal Terbaik (Wanita) manakala rakannya, Jennifer Hudson berjaya menerusi anugerah Album R&B Terbaik. Ini adalah kejayaan kali kedua Carrie selepas menang anugerah yang sama pada tahun lalu menerusi lagu Before He Cheats.



Jennifer, 27, yang menerima anugerah Grammy pertama menyampaikan ucapan dengan emosi selepas melalui pengalaman pahit kematian ibu, adik dan anak saudaranya yang dibunuh pada Oktober tahun lalu. Dia yang menampilkan album debutnya menggunakan nama sendiri kemudian tampil membuat persembahan lagu You Pulled Me Through.



"Terlebih dulu, saya bersyukur kepada Tuhan kerana membawa hingga ke tahap ini. Saya juga berterima kasih kepada keluarga dan mereka yang berada di sisi saya ketika ini," katanya.

Berkongsi kenangan manis pada majlis itu, penyanyi rap, Lil Wayne berjaya menguasai empat Anugerah Grammy daripada lapan pencalonannya. Wayne yang muncul dengan album terbaru, The Carter III pada tahun lalu berjaya menangi anugerah Album Rap Terbaik. Dia juga menang kategori Persembahan Rap Terbaik untuk solo dan berkumpulan (bersama Kanye West, Jay-Z dan T I) manakala lagu Lollipop diumumkan Lagu Rap Terbaik.

Bakat baru, Adele, 20, yang bersaing menerusi Rakaman Terbaik untuk album Chasing Pavements masih mampu tersenyum apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Artis Baru Terbaik. Dia berjaya mengalahkan empat penyanyi lain iaitu Duffy, Jonas Brothers, Lady Antebellum dan Jazmine Sullivan. Bagaimanapun, kekecewaan Duffy terubat apabila anugerah Album Pop Terbaik diberikan padanya.

Turut mencuri tumpuan, penyanyi John Mayer yang berjaya dengan dua anugerah iaitu Persembahan Pop Vokal Lelaki Terbaik dan Persembahan Rock Vokal Solo Terbaik. Enam tahun lalu, Mayer pernah menang Anugerah Grammy kategori Persembahan Pop Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Your Body Is A Wonderland.

Selain keputusan pemenang menjadi tumpuan pada majlis anugerah kali ini, khalayak juga dikejutkan dengan berita pasangan Chris Brown dan Rihanna yang menarik diri pada saat akhir untuk mengadakan persembahan nyanyian. Brown yang turut tercalon terbabit dengan penyiasatan mengenai kes menyerang seorang wanita.

Ketiadaan mereka memaksa penganjur menggantikan persembahan dengan Justin Timberlake, Boyz II Men, Al Green dan Keith Urban. Turut membuat persembahan adalah Paul McCartney, Jennifer Hudson, Jay-Z, Kanye West, Rubin Thincke, Lil Wayne, kumpulan U2, Radiohead dan Sugarland.



Keputusan pemenang Anugerah Grammy ke-51:

1. Album Terbaik: Raising Sand (Robert Plant dan Alison Krauss)

2. Lagu Terbaik: Viva La Vida (Coldplay)

3. Rakaman Terbaik: Please Read The Letter (Robert Plant dan Alison Krauss)

4. Album Pop Terbaik: Rockferry (Duffy)

5. Album R&B Terbaik: Jennifer Hudson (Jennifer Hudson)

6. Album Rock Terbaik: Viva La Vida Or Death And All His Friends (Coldplay)

7. Album Kontemporari R&B Terbaik: Growing Pains (Mary J Blige)

8. Album Alternatif Terbaik: In Rainbows (Radiohead)

9. Album Country Terbaik: Troubadour (George Strait)

10. Album Rap Terbaik: Tha Carter III (Lil Wayne)

11. Album Kontemporari Tempatan/Amerika Terbaik: Raising Sand (Robert Plant dan Alison Krauss)

12. Lagu Rock Terbaik: Girls In Their Summer Clothes (Bruce Springsteen)

13. Lagu Rap Terbaik: Lollipop (Dwayne Carter, Darius Harrison, James Scheffer, Stephen Garrett dan Rex Zamor)

14. Lagu Country Terbaik: Stay (Jennifer Nettles)

15. Lagu R&B Terbaik: Miss Independent (Mikkel S Eriksen, Tor Erik Hermansen dan Shaffer Smith)

16. Lagu Pop Kolaborasi Bersama Vokal: Rich Woman (Robert Plant dan Alison Krauss)

17. Lagu Country Kolaborasi Bersama Vokal Terbaik: Killing The Blues (Robert Plant dan Alison Krauss)

18. Artis Baru Terbaik: Adele

19. Persembahan Pop Vokal Terbaik (Wanita): Chasing Pavements (Adele)

20. Persembahan Pop Vokal Terbaik (Lelaki): Say (John Mayer)

21. Persembahan Pop Instrumental Terbaik: I Dreamed There Was No War (Eagles)

22. Persembahan Pop Terbaik (Duo/Kumpulan Bersama Vokal): Viva La Vida (Coldplay)

23. Persembahan Rock Terbaik (Duo/Kumpulan Bersama Vokal): Sex On Fire (Kings Of Leon)

24. Persembahan Hard Rock Terbaik: Wax Simulacra (The Mars Volta)

25. Persembahan Metal Terbaik: My Apocalypse (Metallica)

26. Persembahan Instrumental Rock Terbaik: Peaches En Regalia (Zappa)

27. Persembahan Rock Vokal Solo Terbaik: Gravity (John Mayer)

28. Persembahan Rap Solo Terbaik: A Milli (Lil Wayne)

29. Persembahan Rap Terbaik (Duo/Kumpulan): Swagga Like Us (Jay-Z bersama T.I, Kanye West dan Lil Wayne)

30. Persembahan Country Vokal Terbaik (Wanita): Last Name (Carrie Underwood)

31. Producer Terbaik (Bukan Klasik): Rick Rubin

32. Producer Terbaik (Klasik): David Frost

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: