Tuesday, February 10, 2009

Atrtis ternama, indie satu hati luah simpati


MENITIS air mata Hattan tatkala menghayati bait lagu Palestine Jangan Kau Menangis pada Konsert Unplugged Prihatin Palestin di Wisma TV, Angkasapuri, Sabtu lalu. Tersedu sedan Hattan untuk menyambung semula nyanyiannya mengenang tragedi yang menimpa masyarakat Islam negara itu.

Tiada apa yang tinggal lagi di sana melainkan cucuran air mata meratap kematian setiap hari, rumah yang hanya tinggal tapak dan sisa kenangan bersama insan tersayang.

Pelbagai cara simpati ditunjukkan rakyat negara ini terhadap keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestie di Tebing Gaza, bermula Disember lalu dan tidak berhenti sehingga kini.

Pada setiap kesempatan yang ada, begitu banyak acara diadakan termasuk mengumpul seberapa banyak dana daripada hasil jualan amal dan lelongan. Memang apa yang dilakukan itu tidak sehebat mereka yang mengangkat senjata di medan perang namun usaha dan simpati yang tidak berhenti itu satu daripada cara untuk meringankan beban penderitaan mangsa peperangan itu.

Apa yang penting niat ikhlas kita untuk membantu. Justeru, konsert yang diilhamkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek itu diharapkan dapat membangkitkan kesedaran masyarakat negara ini betapa dalam kita meniti hidup penuh kebahagiaan bersama keluarga tercinta, rakyat Palestine meratap hiba penuh azab.

Konsert malam itu menggabungkan artis lama dan baru dengan berkongsi satu rasa serta mengharapkan bumi Gaza kembali aman. Masing-masing meluahkan simpati dan juga doa menerusi lagu. Selain Hattan yang menyanyikan dia lagu malam itu, Palestin Jangan Menangis, Suara Biasa, tampil sama menyemarakkan semangat penonton malam itu, M Nasir dengan lagu Masirah dan Di Balik Cermin Mimpi, Kopratasa (Tragedi Di Utara, Mesti Berani), Izzy Mohd (Never Fade Away), Tony Leo Selvaraj (Liberty), Mili'z (It's In You) dan Azmyl Yunor (Senja).

Mereka yang lain, Rendra Zawawi (No Mask), Pete Teo (Shine), Najwa Mahiaddin (Innocent Soul), The Snow Symphony (Free), Khadijah Ibrahim (Rintihan Dari Palestin), Dr Wan Zawawi (Anak Dunia, Mencari Amerika) dan gabungan artis menyanyikan lagu Knocking On The Heaven's Door.

Terasa sinis mendengar lirik lagu Mencari Amerika yang antaranya menggambarkan 'Amerika' ada di mana saja di dunia ini. Apa yang dimaksudkan adalah produk mereka yang menguasai sebahagian besar pasaran dunia termasuk makanan dan minuman.

Wang daripada hasil eksport itu yang digunakan untuk membiayai rejim Zionis menghancurkan Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita jangan terlalu taksub dengan produk dari negara itu.

Dr Wan Zawawi adalah profesor dan antropologis di Fakulti Sastera dan Sains, Universiti Malaya, antara pejuang lagu puisi yang banyak menceritakan perjalanan hidup manusia dan alam.



Kepada peminatnya, kini beliau kembali membuat persembahan sebagai 'indie' bersama kumpulan pemuziknya di Groove Junction dan No Black Tie, Kuala Lumpur.



Artis generasi muda juga menyuarakan harapan untuk melihat Gaza aman semula menerusi lagu yang dinyanyikan dengan nada mendayu dan pilu. Apa yang mereka lakukan malam itu semata-mata untuk membela nasib rakyat Palestin. Atas rasa keperimanusiaan, simpati itu datang daripada segenap lapisan masyarakat. Tiada lagi batas agama dan budaya kerana yang paling utama selamatkan mereka yang menjadi mangsa penganiayaan.

Di samping persembahan artis, konsert itu sarat dengan pengisian visual dan klip video yang diselangselikan dengan persembahan artis. Bermula dengan segmen 1 (Peluru Setan Dunia) memaparkan klip video serangan Amerika Syarikat di Iraq, klip serangan Israel di Lebanon dan klip serangan Israel di Palestin. Ia kemudiannya diteruskan dengan segmen 2 (Neraka Ciptaan Zionis) yang mengetengahkan klip mangsa peperangan di Iraq, Lebanon dan Palestin.

Diikuti segmen 3 memaparkan klip video tunjuk perasaan di Eropah, Asia Tengah dan dunia Arab. Seterusnya penonton dapat menyaksikan paparan segmen 4 (Sebuah Renungan Pahit) iaitu klip wajah anak kecil yang luka parah, tiada arah dan cacat anggota sebelum diakhiri dengan segmen 5 (Biarkan Merpati Terbang) yang pastinya dapat memberikan gambaran sebenar kepada penonton mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap mereka yang tidak berdosa.

Memetik kata Shabery, dalam siaran akhbar kerana beliau tidak dapat hadir pada malam itu, "konsert itu adalah luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dunia dan kemanusiaan di mana Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggabungkan keprihatinan yang lahir dalam diri setiap anak seni veteran dan anak muda indies pelbagai kaum di negara ini.

"Ada antara artis indies itu tidak pernah dikenali di pentas arus perdana tetapi mereka hadir bersama menjayakan konsert ini demi simpati terhadap sesama manusia. Semoga dengan pembabitan itu artis tanah air tidak hanya dianggap sebagai penghibur semata-mata tetapi juga sentiasa peka dengan isu yang menyentuh nilai kemanusiaan pada zaman global ini. "RTM berharap dengan penerbitan konsert ini, dapat melahirkan keinsafan rakyat negara ini terhadap keganasan yang melanda Palestin menuntut keadilan dan rasa simpati dapat dikongsi menerusi lagu persembahan artis.

"Secara tidak langsung rakyat patut meluahkan syukur betapa bertuahnya hidup berbilang bangsa dan agama di negara ini. Rancangan ini berkonsep hiburan bermaklumat secara santai.

"Kami sengaja memilih konsert pada malam ini dibuat secara unplugged untuk menjadikan iramanya lebih sayu dan ringan dalam penyampaian semua lagu. Bagi menghayati lagi konsert itu, RTM menggunakan kesan lampu yang tidak keterlaluan dan mood lampu bersesuaian mood persembahan lagu," katanya.

Konsert selama satu setengah jam itu dapat dihayati sepenuhnya tanpa pengacara.

Ketiadaan Shabery pada konsert itu diwakili isterinya, Datin Seri Sharifah Ismail. Sebaik tamat acara, Golden Heritage Sdn Bhd menyerahkan replika cek RM10,000 kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: