'Happy' buah tangan terbaru Amy Mastura untuk peminat bagaikan kena dengan dirinya
TAHUN ini masuk 16 tahun artis bertubuh kecil molek, Amy Mastura melayari hidup sebagai selebriti. Merenung dan menyelak laluan panjang ibu kepada dua anak ini, ternyata Amy masih bertahan merentasi graf naik turun dalam dunia yang penuh cabaran.
Amy antara penyanyi yang kalis gosip liar dan kontroversi, malah setiap hayunan langkahnya masih kemas dan tiada sangsi dek pemerhati di luar sana.
Isteri kepada Alvin Tham Sufian hadir ke Balai Berita dengan gaya sederhana namun ada aura menawan yang dapat disingkap. Sikap rendah diri dan sisi humornya masih tebal hingga mampu membuatkan sesiapa yang mendekati atau mengenalinya, mampu tersenyum gembira. Bagaikan kena dengan judul album ketujuhnya berkonsepkan pop, Happy menjadi buah tangan baru dijangka berada di pasaran Februari ini.
Cuba memanfaatkan kipas meja yang kebetulan ada di dalam studio, pelbagai aksi dan mimik muka cuba dilakukan penyanyi yang dikenali dengan lagu Jawapan Kasih dan Meniti Hari ini. Semudah bacaan A hingga Z dan seiring dengan pengalamannya, namakan saja gaya yang diingini, Amy mampu merealisasikan dengan rambutnya mengerbang cantik dihembus angin. Riuh studio gara-gara ketawa pengacara Apa-Apa Aje musim terbaru di TV3 ini menggantikan pengacara asal, Sheila Rusly.
2009 menjadi permulaan yang baik kepada wanita kelahiran Ipoh ini apabila rezeki tidak pernah putus singgah ke dalam diari hidupnya. Dia antara penyanyi wanita era 90-an yang masih dianggap mekar di hati peminat, malah ada saja perkembangan terbaru yang ingin dikongsinya, tidak kira sama ada dalam bentuk lakonan, pengacaraan TV dan lakonan. Menyentuh mengenai lakonan, drama terbaru lakonannya, Kasut Tumit Tinggi sudah mula disiarkan di Astro Prima (saluran 105) sejak 22 Januari lalu.
WAJAH ceria Amy terus melekat di hati peminat. |
Drama 13 episod bergenre komedi romantik dan diarahkan Low Ngai Yuen (bekas pengacara program 3R) menggandingkan Amy dengan pelakon hebat seperti Norish Karman dan Nanu Baharudin termasuk bakat baru, Juliana Evans. Terbabit sama di dalam drama yang memakan masa tidak sampai sebulan itu, menjadi satu pengalaman berharga buatnya.
“Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahan Low Ngai Yuen dan produksi Double Vision. Menimba pengalaman di produksi berbeza membolehkan saya mengutip banyak ilmu buat bekalan di dada. Apa yang saya dapat katakan satu kelainan dapat berlakon di dalam produksi ini. Saya juga tidak berdepan dengan masalah, malah komitmen pelakon yang terbabit juga menyenangkan.
“Bekerja dengan pengarah (Low Ngai Yuen), dia jenis yang pantas bekerja, tegas dan dia tahu apa yang inginkan. Dia bijak mengawal tahap lakonan setiap pelakon dan memudahkan kepada kita sebagai pelakon untuk memberikan apa yang diingininya. Paling menyeronokkan lagu single pertama saya Langkah Di Hatimu,” katanya ringkas dan drama 13 episod ini boleh ditonton pada setiap Khamis jam 10 malam.
Bakal menginjak usia 38 tahun pada 10 Mei ini, bidang nyanyian kini bukan lagi keutamaan sebaliknya ia diseimbangkan dengan apa saja punca rezeki yang boleh diusahakannya. Kalau dulu sewaktu berjaya muncul dengan album sulung, memang iya, dunia nyanyian sudah memadai buatnya. Namun seiring dengan peredaran masa dan peningkatan kos sara hidup, dia perlu bijak mencuri peluang yang ada di depan mata.
Bersyukur dengan apa yang dilalui
KATA Amy, apa yang diceburinya kini dilakukan atas paksi minat dan suka. Pada tahapnya kini, elemen populariti mungkin bukan segala-galanya, sebalik ia adalah bonus jika masih ada pihak yang menghargai bakat seninya. Katanya lagi, apa yang dilakukan kini atas dasar tanggungjawab dan sumber mata pencarian.
“Saya bersyukur dengan apa yang saya lalui. Kalau ada peluang baru di depan mata, kenapa tidak saya mencabar diri mencubanya. Apa yang bakal berlaku di kemudian hari, tiada di dalam gambaran mata kasar saya. Semuanya sudah ditetap Yang Maha Esa. Begitu juga kisahnya, sewaktu saya diberi peluang mengacarakan Apa Apa Aje bersama Shamsul Ghau Ghau. Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan TV3 yang menawarkan tugas ini.
“Ia adalah satu cabaran besar apabila diberi tanggungjawab mengambil alih daripada hos asal Sheila Rusly yang memang diakui cukup bagus orangnya. Saya berharap tidak dibandingkan dengannya, Sheila ada caranya tersendiri dan begitu juga dengan saya. Selagi orang memberi kepercayaan untuk kita melakukan kerja, saya akan cuba melakukan sebaik mungkin.
“Di zaman ini juga banyak tawaran berlakon yang kunjung tiba kepada saya. Syarikat produksi juga semakin berkembang dan stesen TV banyak memberi peluang kepada saya. Sama halnya, apabila pihak Sony BMG Music masih berminat untuk membikin dan mengedar album terbaru saya. Ia umpama rahmat bermakna untuk saya terus mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan,” katanya yang bakal muncul dengan filem Hopperz dijangka pada tahun ini.
Membelek episod rumah tangganya di samping suami dan dua anak, Adriana dan Adalia, alhamdulillah bahagia masih erat mendakap kehidupannya. Diusik pertanyaan mengenai hasrat menambah bilangan anak, pintas Amy Mastura sambil berseloroh, anak ketiga belum ada di dalam senarai carta. Masih comel di usia yang hampir larut, Amy tidak mempunyai petua tertentu sebaliknya melalui aturan hidup ini sebagaimana yang sudah ditentukan Tuhan.
“Tiada apa-apa rahsia, mungkin apa yang saya hanya terus bergembira seadanya. Semua manusia di dalam dunia ini akan jadi tua juga pada akhirnya. Itu pasti dan tidak boleh dielak. Ia satu ketetapan yang pasti.
“Gaduh-gaduh manja itu biasalah dalam kehidupan berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita manusia biasa Alhamdulillah, sesibuk mana saya sekalipun, masa dengan anak-anak tetap ada. Setidak-tidaknya kalau saya dapat hantar Adriana ke sekolah, sudah memadai dan menyejukkan hati saya,” katanya yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran bakat baru sekali gus memeriahkan persada seni.
SEPINTAS: Amy Mastura
PROFIL:Amy Mastura
Kejayaan:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: