Monday, January 5, 2009

"Ukur Baju Di Badan Sendiri" - Aznil


IMEJ baru Aznil selepas pulang dari menunaikan fardu haji.


RANCANGAN Tom Tom Bak yang disiarkan di saluran Ceria (saluran 611, Astro) tidak dinafikan mempunyai pengikut yang setia terutama dari golongan kanak-kanak dan juga ibu bapa.

Apatah lagi, dengan menampilkan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi yang ternyata menjadi idola dan ikon kanak-kanak menjadikan rancangan berkenaan terus diminati dan digilai.

Selama tiga musim bersiaran dengan jayanya, Tom Tom Bak juga sebenarnya tidak terlepas daripada kritikan dan cemuhan segelintir pihak yang dilihat seperti tidak senang dengan Tom Tom Bak.

Kata mereka, Tom Tom Bak saling tidak ubah seperti sebuah rancangan untuk mengeksploitasi kanak-kanak dengan menampilkan mereka dengan berpakaian seksi serta menunjukkan aksi-aksi yang tidak sepatutnya didedahkan kepad umum.

Tidak kurang dengan itu, ada juga yang mengatakan Tom Tom Bak seperti sengaja mahu memperbodohkan kanak-kanak di khalayak menerusi televisyen.

Saat ditemui pada rakaman musim keempat Tom Tom Bak di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu, Aznil menjelaskan, apa yang ditampilkan dalam tiga musim terdahulu adalah di luar bidang kuasanya.

Malah, Astro sebagai stesen penyiar juga tidak mempunyai kuasa seandainya apa yang telah ditonjolkan dalam rancangan itu telah mengundang perasaan kurang senang kepada segelintir pihak.

"Kalau apa yang ditampilkan sebelum ini memberikan gambaran yang kurang enak terhadap kanak-kanak, saya rasa itu bukanlah disengajakan.

"Astro tidak pernah menyuruh mahupun mengarahkan kanak-kanak untuk berpakaian atau bersikap demikian. Ada kalanya, ibu bapa sendiri yang mahukan anak-anak mereka begitu hanya kerana akan muncul di kaca televisyen," kata Aznil membuka bicara.

Tambahnya, kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun tidak seharusnya dibebankan dengan topik mahupun perbincangan berat sehingga mereka sendiri tidak tahu apa yang perlu dikatakan.

"Apa sahaja yang kita lakukan perlulah ukur baju di badan sendiri. Mereka di luar sana boleh berkata apa sahaja tetapi ada kalanya, orang dewasa sendiri tidak tahu tentang apa yang berlaku dewasa ini.

"Kanak-kanak seharusnya dibiarkan dengan dunia mereka. Apa yang berlaku di sekeliling mereka itulah taman permainan mereka dan itulah yang suka dibicarakan mereka.

"Untuk itu juga, ia mampu untuk mendekatkan diri lagi dengan kanak-kanak sebaya mereka yang menonton menerusi televisyen," jelasnya lagi.

Kata bapa tunggal kepada dua orang cahaya mata ini lagi, Tom Tom Bak tidak hanya ditonton oleh kaum Melayu sahaja tetapi sebaliknya, ia diminati oleh kaum lain di Malaysia.

"Disebabkan itu juga, kita perlu mengambil kira pelbagai aspek untuk diketengahkan dalam Tom Tom Bak seperti pakaian, budaya dan lagu popular kaum lain.

Lebih petah dan berbakat

"Namun, saya mahu mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan penonton dan masyarakat terhadap Tom Tom Bak. Untuk itu, saya dan pihak Astro telah berbincang dan mencapai satu resolusi untuk menjadikan rancangan ini lebih baik lagi dalam musim terbaru ini," ujarnya yang baru sahaja pulang dari mengerjakan haji pada 16 Disember lalu.

Untuk itu, jelas Aznil, musim keempat ini kanak-kanak tidak akan lagi didedahkan dengan lagu-lagu cinta dan popular untuk segmen Ada Bakat Ke?

Sebaliknya, lagu-lagu rakyat dan tradisional diperkenalkan demi memastikan lagu-lagu warisan itu tidak akan pupus serta dilupakan oleh generasi muda.

"Begitu juga dari aspek pakaian juga kami titik beratkan kali ini dan ini semua adalah daripada hasil maklum balas yang diterima semata-mata untuk menjadikan Tom Tom Bak kali ini lebih bervisi dan penuh dengan pengisian yang bermakna.

"Kerana itu, ada juga ibu bapa yang menarik diri di saat-saat akhir kerana tidak dapat menerima perubahan yang kami lakukan ini dan ia sesekali tidak mematahkan semangat kami," kata pengacara berusia 46 tahun ini lagi.

Selain itu, musim terbaru ini juga menyaksikan ketiadaan segmen Siapa Dia dan sebagai ganti, segmen Anmun Essential Eja diperkenalkan yang boleh diibaratkan seperti spelling bee yang cukup popular di negara Barat.

"Apa yang membanggakan dan menggembirakan saya adalah apabila kanak-kanak yang hadir untuk uji bakat bagi segmen Jom Borak ternyata lebih petah dan berbakat daripada yang sebelumnya.

"Ini telah banyak menyenangkan kerja kami dan saya percaya ini semua adalah impak tiga musim Tom Tom Bak sebelum ini yang banyak mempengaruhi mereka untuk menjadi lebih berani ketika berbicara mahupun menyuarakan pendapat," jelasnya yang juga penyampai radio Era ini lagi.

Untuk segmen Jom Borak, ia diserikan lagi dengan kehadiran boneka bernama Kicap yang disuarakan oleh Din Beramboi dan juga Ayma sebagai pengacara sampingan.

Tom Tom Bak musim keempat ini diterbitkan oleh Lydia Emilya Ishak sebanyak 26 episod dan ia akan mula ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 31 Mei depan secara eksklusif di saluran Ceria (saluran 611, Astro).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: