Monday, January 5, 2009

Akreditasi Peluang Artis Mendapat kerja


FREDDIE FERNANDEZ (empat dari kanan) bersama ahli-ahli Karyawan pada sidang media taklimat program akreditasi baru-baru ini.


APABILA Program Akreditasi Penyanyi dan Pemuzik dilaksanakan dalam waktu terdekat ini, dipercayai masalah pengangguran golongan tersebut di kelab-kelab malam dan hotel-hotel seluruh negara dapat diatasi.

Ini kerana, menerusi program yang ditaja oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu suatu latihan khusus akan diadakan untuk melatih golongan tersebut.

Menurut Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, program akreditasi itu juga diadakan bagi mempertingkatkan lagi mutu persembahan artis-artis tempatan, selain memberi lebih daya saing kepada artis-artis dari luar negara.

"Selama 28 tahun saya memperjuangkan isu ini saya telah lihat pelbagai perubahan termasuklah menteri di kementerian terbabit (KPKKW) yang sudah beberapa kali bertukar ganti tetapi masalah ini masih belum juga selesai.

"Bagaimanapun, sejak tiga tahun kebelakangan ini sudah ada perubahan dan kementerian sudah mula mengambil berat hal ini," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Menerusi program akreditasi itu, seramai 30 tenaga pengajar akan melatih para penyanyi dan pemuzik tanah air dan kursus dua minggu itu akan dibiayai oleh KPKKW.

Difahamkan setakat ini kementerian di bawah Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu sudahpun meluluskan peruntukan berjumlah kira-kira RM420,000 bagi melaksanakan program akreditasi tersebut.

Jelas, Freddie, akreditasi berbentuk sijil itu akan dibahagikan kepada gred A, B, dan C berdasarkan markah yang diberi oleh barisan tenaga pengajar hasil daripada bakat, komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh peserta terbabit.

Tambah Freddie, gred yang diperoleh oleh peserta amat penting dalam menentukan kelayakan mereka atau gred gaji yang akan mereka minta apabila memohon untuk mengadakan persembahan di hotel-hotel dan kelab-kelab malam kelak.

"Segala modul dan program latihan akan sediakan oleh Karyawan. Setakat ini, Karyawan ada seramai lebih 800 ahli yang terbabit dalam bidang ini. Antara yang akan diajar ialah soal pemilihan lagu, vokal, keterampilan imej, komunikasi dan disiplin.

"Program akreditasi ini diadakan supaya artis-artis kita lebih bersedia sebelum diambil bekerja atau mengadakan persembahan," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika mengulas tentang sikap dan penerimaan pihak-pihak hotel dan kelab malam di negara ini kata Freddie, pihak-pihak terbabit setakat ini memberi maklum balas yang positif.

Program seperti itu bukan setakat boleh memberi manfaat kepada para artis tempatan tetapi ia juga dapat mengurangkan masalah yang sering menimpa di kalangan pengusaha hotel dan kelab malam di negara ini.

"Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan hotel dan kelab malam dan mereka memberikan sokongan.

""Justeru, apabila sudah ada akreditasi, jika pihak hotel dan kelab malam tidak mahu juga mengambil artis-artis kita bekerja dengan mereka tindakan undang-undang boleh diambil.

Sebagai permulaan, sesi taklimat program akreditasi itu akan diadakan di Bilik Johor dan Kedah, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 6 Januari ini pukul 3 petang.

Semua artis terutama penyanyi dan pemuzik kelab malam dijemput hadir bagi mendengar taklimat serta berdaftar bagi mengikuti program yang akan diadakan secara percuma itu kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: