|
|
DUA tahun hidup keseorangan selepas bercerai dengan penyanyi Noraniza Idris, Mohd. Fauzi Tajudin, 45, atau Fareez, akhirnya menamatkan zaman duda apabila melangsungkan perkahwinan bersama Mazlin Abdul Samad, 24.
Bertarikh 19 Disember lalu di Masjid al-Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur, dua hati ini disatukan dengan ikatan pernikahan yang membawa sinar baru kepada Fareez dan juga Mazlin.
Kali kedua mendaki tangga pelamin, Fareez bersyukur kerana perkahwinannya dengan Mazlin mendapat restu dua anak teruna hasil perkongsian hidupnya bersama Noraniza iaitu Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15.
Di majlis pernikahan, Mazlin menerima wang hantaran sebanyak RM12,000 serta RM80 untuk mas kahwin.
Pada majlis itu, Mazlin membalas 11 dulang hantaran selepas menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak Fareez.
“Orang pertama yang saya ajukan persoalan mengenai hasrat untuk mengahwini Mazlin adalah Alif dan Alfeq.
“Mereka telah saya bawa bertemu Mazlin terlebih dahulu. Maklum balas anak-anak cukup baik dan mereka memanggil Mazlin dengan panggilan ummi,’’ jelas Fareez ketika ditemui pada majlis persandingan pihak lelaki yang diadakan di kediaman Fareez di Bandar Tun Razak, Cheras, minggu lalu.
Berlangsung penuh ringkas, kedua mempelai begitu anggun dengan busana pengantin berwarna putih.
Mazlin merupakan anak seorang anggota polis dan kini bertugas di salah sebuah firma guaman di ibu negara.
Fareez pula merupakan bekas penyanyi yang cukup popular dalam rancangan hiburan Mekar Sejambak era 1980-an.
Artis popular itu bercerai dengan Noraniza pada 2006 selepas mengharungi hidup bersama 18 tahun.
Kedua-dua mereka bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Alif dan Alfeq.
Menurut Fareez, kisah pertemuan antara dirinya dan Mazlin bermula sekitar 2007.
Ketika itu, jelasnya, dia sedang menunggu untuk bertemu dengan seorang rakannya di KLCC.
“Tanpa disangka, kawan saya turut membawa sekali Mazlin. Maka bermulalah perkenalan antara saya dan dia (Mazlin). Ambil masa jugalah hendak mengenali hatinya.
“Mula-mula dia memang tidak mahu berkawan dengan saya,’’ katanya sambil ketawa besar.
Ujar Fareez, keseriusan dirinya untuk melamar Mazlin bermula apabila dia bertindak menemui ibu bapa wanita pujaan hatinya itu.
“Bila anak-anak setuju dan memberi sokongan, Alhamdulillah, kami bernikah jua akhirnya,’’ jelasnya.
Ditanya mengenai bulan madu, Fareez berkata, semuanya masih dalam perancangan.
“Buat masa ini, saya pun sibuk dengan bisnes dan urusan persekolahan Alfeq. Tunggulah nanti,’’ katanya.
Sementara itu, kepada satu persoalan sama ada Noraniza diundang ke majlis perkahwinannya, Fareez dengan ringkas berkata : “Barang yang lepas, usahlah dikenang, sudah menjadi hak orang lain.’’
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: