LANGKAH kakinya dihayun dengan perlahan dan terserlah sedikit kesakitan pada wajah yang sukar dibendung, namun penyanyi terkenal Deja Moss tetap menggagahkan diri untuk meneruskan majlis resepsi perkahwinannya bersama suami, Azfendy Datuk Azzuddin.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana majlis resepsi ini berjalan lancar walaupun sebelum ini saya berdepan dengan ujian yang cukup berat," jelas pemilik nama penuh Sharifah Khadijah Wan Moss ini semasa ditemui selepas majlis berkenaan di Dewan Felda Perdana, Jalan Semarak, Kuala Lumpur kelmarin.
Wanita berusia 35 tahun ini menjelaskan, dia kelihatan tidak sihat disebabkan baru sahaja menjalani pembedahan setelah disahkan mengandung luar rahim kira-kira sembilan hari sebelum majlis resepsi itu berlangsung.
Deja yang bergelar isteri sah kepada Azfendy sejak 30 Ogos lalu pada mulanya mengalami sakit perut di sebelah kiri serta mengalami pendarahan pada 21 Disember lepas.
"Risau dengan keadaan itu, saya dan suami terus berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan, namun doktor itu memberitahu saya mengandung, tetapi tidak mengesan apa-apa masalah lain.
"Pendarahan bagaimanapun berterusan. Nasib baik rakan saya mencadangkan saya agar berjumpa doktor pakar dari Hospital Gleneagles, Ampang pada keesokan harinya.
"Hasil pemeriksaan rapi, doktor pakar itu mengesahkan saya mengandung di luar rahim dan diminta menjalani pembedahan dengan segera.
"Pembedahan itu perlu dibuat bagi membuang saluran tiub fallopia di sebelah kiri kerana kandungan saya melekat di saluran itu," katanya yang kelihatan menawan apabila menyarungkan baju pengantin sedondon dengan Azfendy rekaan Butik Cosry.
Deja menambah, dia dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan pada 23 Disember lalu di hospital tersebut.
"Pembedahan untuk mengeluarkan tiub fallopia itu mengambil masa selama dua jam 45 minit dan saya hanya dibenarkan keluar wad pada 27 Disember lepas.
"Doktor pakar menjelaskan bahawa kandungan saya sudah mencecah enam minggu. Jika saya lewat tiga hari menjalani pembedahan, kandungan itu akan pecah dan menyerang paru-paru sekali gus membahayakan nyawa saya," ungkapnya menerangkan situasi sebenar.
Enggan menyalahkan takdir yang tertulis buatnya, Deja dan suami reda menerima ujian yang diturunkan Tuhan.
"Saya bersyukur sangat kepada Tuhan kerana proses pembedahan itu berjalan lancar. Sekalipun saya kini hanya memiliki satu tiub fallopia, tetapi peluang mengandung lagi masih ada," jawab Deja dalam getaran suara perlahan.
Bercerita lebih lanjut tentang 'penderitaan' yang dialami pada malam resepsinya, penyanyi kelahiran Sarawak itu sendiri mengakui berdepan dengan beberapa kesulitan.
"Saya risau juga dengan tahap kesihatan semasa majlis ini, namun saya tidaklah menghadapi banyak masalah sehingga menjejaskan upacara persandingan ini.
"Cuma semasa hendak menaiki tangga untuk ke pelamin, saya kena berhati-hati sedikit. Memang susah sebab ada jahitan akibat pembedahan itu.
"Sebab itulah saya perlu berhati-hati dan dipimpin suami agar bekas jahitan itu tidak mengalami sebarang kecederaan teruk," jelas Deja sambil tersenyum manis kerana dapat berkongsi keseronokan bersama 800 orang hadirin pada upacara tersebut.
Antara rakan artis yang turut hadir pada malam itu ialah Noniswara, Misha Omar, Farhan AF4, Rem, Sharifah Zarina, Anuar Zain dan Bob AF2.
Sambil menjelaskan kes mengandung di luar rahim tidak berlaku dalam sejarah keluarganya, Deja hanya pasrah dengan dugaan yang mendatang itu.
"Sepanjang pengetahuan saya, dalam famili saya tiada sesiapa yang mengalami masalah sama. Lagipun saya tidak boleh menyalahkan ketentuan yang datang daripada pencipta-Nya.
"Nasib baiklah suami cukup memahami keadaan saya, malah semasa doktor memberi pilihan sama ada mahu meneruskan kandungan yang menjangkau usia melebihi sebulan itu atau menggugurkannya, kami berdua berbincang terlebih dahulu.
"Sudah pastilah suami begitu mengambil berat soal keselamatan dan kesihatan saya. Lantaran itu, kami sekadar bersetuju dengan keputusan yang mampu memberi kebaikan kelak.
"Lagipun, mungkin rezeki saya dan suami untuk punya cahaya mata dalam tempoh terdekat ini masih belum mendapat keizinan daripada Allah," tambah Deja yang sentiasa meraih sokongan padu daripada si suami yang sedia setia hingga ke akhir hayat.
Dalam pada itu, majlis resepsi persandingan itu tidak mungkin dapat belayar dengan sempurna, andai tidak mendapat bantuan daripada keluarga Azfendy.
Deja benar-benar terhutang budi dengan keluarga sebelah suami yang sanggup berhempas pulas mengadakan sambutan untuk upacara itu.
Majlis tersebut menjadi persandingan buat kali kedua kepada Deja bersama Azfendy setelah persandingan diadakan 16 November lepas bertempat di Kuching, Sarawak.
Pasangan ibarat merpati dua sejoli itu selamat diijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
"Saya anggap pembedahan ini macam rintangan untuk saya sekali gus berharap dapat melayari bahtera rumah tangga bersama suami dengan lebih sempurna selepas ini.
"Setelah dibedah, saya harus berpantang selama 44 hari macam orang bersalin. Saya kena menjaga kesihatan dengan sebaik-baiknya supaya tidak alami kesulitan pada kemudian hari.
"Pembedahan yang dijalani itu melibatkan ovari, jadi saya tidak boleh melakukan kerja berat ataupun menggunakan terlampau banyak tenaga dalam kehidupan seharian.
"Doktor menasihati saya agar dalam masa enam bulan ini saya tidak aktif melakukan aktiviti seni dan banyakkan berehat di rumah.
"Malah dalam waktu sama saya juga tidak dibenarkan mengandung semula untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini," terang Deja yang bergenang air mata.
Selang empat bulan selepas dinikahkan, Deja dan suami mengambil masa agak lama bagi mengadakan majlis resepsi di ibu negara.
Mengakui bukan sengaja dilengah-lengahkan, Deja menjelaskan, keluarga sebelah suaminya tidak dapat mencari tempat bersesuaian untuk melangsungkan upacara terbabit.
"Sebenarnya sudah lama saya dan famili Azfendy cari tempat untuk mengadakan majlis persandingan ini, namun kami dapati banyak tempat yang telah ditempah hingga akhir tahun lalu.
"Kalau sudah dapat lokasi, dewan pula tidak mencukupi untuk menempatkan tetamu yang dijemput.
"Maka, 1 Januari 2009 akhirnya menjadi tarikh upacara resepsi perkahwinan kami. Bukanlah kami sengaja hendak menjalankan majlis ini sempena Tahun Baru 2009.
"Tempat sudah tersedia, jadi keluarga sebelah suami pantas mengambil keputusan untuk buat majlis ini pada awal tahun baru," kata Deja.
Nekad enggan rancang keluarga
AZFENDY AZZUDDIN, 29, yang asyik memerhatikan isteri tercinta berbicara bersama pihak media mulai meluah bicara tentang musibah kecil yang melanda Deja Moss apabila isterinya itu habis bercerita.
“Pada awalannya saya risau juga mengenai upacara resepsi ini apatah lagi dengan tahap kesihatan isteri saya masih belum pulih sepenuhnya setelah menjalani pembedahan seminggu lepas.
“Namun kebimbangan itu mulai hilang setelah melihat Deja hampir pulih selepas menjalani pembedahan. Lagipun persiapan boleh dikatakan hampir siap sepenuhnya.
“Dewan telah ditempah, malah kad jemputan juga sudah diedarkan kepada tetamu. Jadi setelah berbincang dengan keluarga dan Deja, malah mendapat nasihat doktor pakar, kami bersepakat untuk meneruskan majlis ini.
“Enggan memburukkan keadaan, saya dan famili tidak memberi kebenaran kepada Deja untuk terlibat sama dalam membuat persiapan persandingan ini kerana khuatir dengan tahap kesihatannya.
“Sebaliknya macam menjadi lumrah, Deja yang saya kenali memang tidak boleh duduk berdiam diri tanpa melakukan sebarang kerja lebih-lebih lagi majlis kami semakin hampir.
“Deja merupakan wanita yang bersemangat kuat apabila berdepan dengan situasi genting.
“Dengan perasaan cukup bangga untuk diluahkan, saya amat mengagumi sikap optimistik Deja yang tidak berputus harap walaupun diuji dengan bermacam dugaan,” jelas Azfendy mengenai personaliti si isteri yang memukau jiwanya.
Tidak dinafikan Azfendy pada mula memperlihatkan keterujaan apabila Deja dikhabarkan hamil sebelum mengetahui isterinya mengandung di luar rahim.
“Waktu itu saya seronok sangat dengar Deja mengandung dan saya pula bakal bergelar seorang bapa selang beberapa bulan lagi.
“Begitupun, setelah doktor mendedahkan masalah yang dihadapi Deja yang dikatakan mampu mengancam nyawanya, saya turut bersedih dengan berita kurang enak itu.
“Setelah mendapat nasihat doktor pakar, Deja segera menjalani pembedahan membuang kandungan di luar rahimnya.
“Kami terpaksa membuat pilihan terbaik supaya kesihatan Deja kembali pulih seperti sedia kala dan dapat menjalani kehidupan dengan baik.
“Saya dan Deja reda dengan masalah ini, malah kami beranggapan bahawa kami tiada rezeki untuk punya anak dalam waktu terdekat.
“Selepas ini seandainya Deja kembali sembuh, kami enggan mengamalkan konsep merancang keluarga, sebaliknya kalau boleh kami ingin mengikut setiap perkara yang direncana Allah.
“Kalau ada rezeki untuk memiliki anak dalam masa singkat ini, kami akan menerimanya dengan hati penuh terbuka,” kata Azfendy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: