"Selama empat tahun saya bergerak sendirian dan hanya bergantung kepada keluarga. Selama ini bukan tiada syarikat rakaman lain yang menghulurkan tawaran tetapi saya perlu berhati-hati" - Faradhiya
NIAT dirinya muncul di persada seni bukanlah untuk bergelar pelakon, bahkan sedetikpun tidak pernah terbayang di fikiran wanita muda bernama Farahdhiya untuk meraih pendapatan hasil bersengkang mata di lokasi penggambaran.
Tumpuannya hanyalah nyanyian namun pada satu ketika harapannya untuk mendaki tangga menggapai bintang di puncak persada seni suara seperti tidak diendahkan.
Album keduanya sedingin embun pagi. Tanpa publisiti, kelahiran album kedua selepas mencipta nama dengan hits Bertahkta Di Hati itu juga langsung tidak membantu perjalanan nyanyian Farahdhiya memandangkan syarikat yang menaunginya, NAR Record sudah menghentikan operasi.
Lantas, karier lakonan menjadi pengisi diari seni Farahdhiya selain undangan persembahan menjadi agenda sampingan.
Melihatkan senarai judul telefilem dan drama bersiri lakonannya termasuklah Spa Q, Spa Q 2, Ku Milikmu, Mencari Arah Kiblat, Andai Itu Takdir Cinta Kita, Aku Juga Wanita dan Kau Curi Cintaku, sayap lakonan Farahdhiya kukuh dan bakatnya ke arah bergelar pelakon berkaliber, luas terbentang.
Ketika kerjaya lakonan datang mencurah-curah dan ketika Farahdhiya dilihat semakin jauh melangkah ke ceruk lokasi penggambaran, anak kacukan Melayu-Inggeris ini membuktikan kesungguhan untuk mengait semula pesona pentas nyanyian yang semakin dilupakan peminat.
Buktinya, setelah dihalusi setiap inci kredibiliti dan kestabilan milik syarikat rakaman dan pengurusan artis Maestro Talent & Management, Farahdhiya tidak menoleh ke belakang lagi dan membenarkan dirinya menjadi artis Maestro.
Dia menjadi satu-satunya artis Malaysia yang bukan kelahiran Akademi Fantasia (AF) yang bernaung di bawah pengurusan Maestro yang ditunjangi Freddie Fernandez.
Langkah muktamad Farahdhiya yang selama ini diuruskan oleh keluarga sendiri masuk ke Maestro disifatkan satu keputusan berani.
Farahdhiya mempersetankan segala tohmahan dan skeptikal segelintir pihak bahawa Maestro, syarikat yang terlalu ramai artis dan tidak mampu memberikan peluang tawaran yang sama rata terhadap puluhan artis AF yang berteduh di bawah bumbungnya selama ini.
Farah mengakui dia pernah mendengar cerita tidak enak mengenai Maestro, terutama sejak desas desus mengenai penyertaannya sebagai sebahagian anggota keluarga syarikat ini heboh diperkatakan.
Berteguh dengan prinsip, Farah membulatkan tekad dan percayakan kata hatinya, bahawa hanya Maestro yang selayaknya menjadi syarikat pengurus dan memastikan kerjaya seni, khususnya nyanyian untuk sukses.
"Naluri saya berkata keputusan ini adalah tepat," ujar Farahdhiya ketika ditemui di majlis menandatangani perjanjian dengan Maestro Talent & Management, baru-baru ini.
Keputusan yang dibuat juga bukanlah secara tiba-tiba sebaliknya itu sudah difikirkan semasak-masaknya.
Katanya, hubungan baik dengan Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez serta reputasi Maestro dalam industri hiburan menambahkan keyakinannya untuk mengikat perjanjian selama tiga tahun.
"Selama empat tahun saya bergerak sendirian dan hanya bergantung kepada keluarga. Selama ini bukan tiada syarikat rakaman lain yang menghulurkan tawaran tetapi saya perlu berhati-hati agar kerjaya saya benar-benar terjamin.
"Tentang Maestro sendiri yang sudah mempunyai ramai artis lain khususnya artis AF, saya tidak mahu membuat penilaian negatif. Soal jatuh bangun seseorang artis dipengaruhi banyak faktor, saya percaya pada usaha, rezeki dan nasib.
"Selepas ini, tentulah saya mengharapkan perubahan positif bakal berlaku kepada kerjaya nyanyian saya setelah empat tahun ia bergerak perlahan.
"Selama ini juga, saya melalui saat yang paling kelam-kabut dalam hidup kerana semuanya terpaksa diuruskan sendiri tanpa bantuan pengurus," tutur Farahdiya yang ditemani bapanya, Mohd. Amin Zubir, 57.
Mengharapkan lembaran baru yang bakal dirasainya sesegar udara pagi, Farah sebenarnya tidak sabar dan ternanti-nanti saat-saat rakaman album, proses pembikinan kulit album, penghasilan klip video sehinggalah kepada mempromosikan album yang lama telah ditinggalkan.
Rakaman album baru tertangguh
Biarpun sudah bernaung di bawah pengurusan Maestro, namun khabarnya rakaman album barunya tertangguh?
Apa cerita di sebaliknya? Menurut Farahdihiya, memandangkan dia masih terikat dengan lakonan Spa Q 2, proses rakaman lagu-lagu baru yang bakal
dimuatkan ke dalam album sulungnya bersama Maestro sedikit tertangguh.
Mengikut perancangan, album terbaru itu dijangka berada di pasaran sekitar Mac atau April nanti. Lagu yang bakal dimuatkan dalam albumnya itu diambil daripada album keduanya ketika bersama NAR Record berjudul Yang Ku Puja.
"Pasti ramai yang terkejut kalau saya kata yang saya memiliki album kedua sebelum ini. Disebabkan album kedua tidak sempat dipromosikan, saya anggap enam buah lagu yang diambil daripada album berkenaan untuk dimasukkan ke dalam album baru saya tidak lama lagi itu adalah lagu baru," jelas Farahdhiya yang mahu memperlahankan aktiviti lakonan buat seketika demi nyanyian.
Farahdhiya bertuah kerana keluarga selalu di sisi tetapi memandangkan dia sudah ada pengurusan yang lebih teratur bawah Maestro, bapanya, Amin merasakan tanggungjawab yang dijalankannya selama ini semakin ringan.
"Saya mahu Farah berada bawah pengurusan yang lebih profesional kerana selama ini kami hanya buat kerja ikut cara sendiri, tiada garis panduan.
"Saya melihat syarikat ini (Maestro) ada kemampuan dan strategi. Saya tak mahu hanya kerana berlakon, orang lupakan Farahdhiya sebagai penyanyi dan Maestro yang terbaik setakat ini," kata Amin yang lega anaknya Farahdhiya sudah bertemu syarikat naungan yang stabil.
Soal hak cipta dan pemilikan daripada NAR Record, Freddie Fernandez menjelaskan, pihaknya sudah mendapatkan lampu hijau dan persepakatan tentang bayaran juga sudah diambil bersama NAR Records.
Jelas Freddie, satu pembaziran berlaku sekiranya lagu yang baik dibiarkan tanpa sebarang usaha promosi dan diperdengarkan kepada peminat muzik.
"Tapi untuk album baru Farah nanti, akan ada dua buah lagu baru akan dimuatkan sebagai lagu bonus. Kami terpaksa berhati-hati memandangkan jualan album juga tidak memberangsangkan, jadi langkah ini dikira sebagai langkah bijak supaya kos dapat diminimumkan.
"Saya percaya Farahdhiya mempunyai aset nyanyian yang baik dan juga seorang pelakon yang sudah terbukti berbakat.
"Banyak peluang terbuka untuknya dan saya sendiri mengakui dia mempunyai mutu suara yang bagus," kata Freddie yang pernah memuji kekuatan vokal Farahdhiya sejak pertama kali menyaksikan persembahan penyanyi kelahiran Sarzana, Itali itu di Ipoh pada tahun 2007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: