AIR KUNING SELATAN - Seorang lelaki terkejut apabila menemui bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua di belakang rumahnya di Kampung Parit Buloh, di sini, lewat petang kelmarin.
Lelaki berusia 43 tahun berkenaan hanya mengetahui kewujudan bom lama itu setelah dimaklumkan anaknya yang secara tidak sengaja terlihat objek tersebut kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, laporan penemuan bom lama itu dibuat pengadu di Balai Polis Air Kuning Selatan.
“Berdasarkan siasatan awal, objek berkenaan merupakan bom tinggalan perang dan kerja-kerja memusnahkan bom lama itu telah dilaksanakan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
“Kita nasihatkan orang awam segera memaklumkan kepada polis sekiranya menemui sebarang objek besi menyerupai bom dan elakkan mengambil tindakan sendiri kerana bom yang ditemui berkemungkinan masih aktif serta berbahaya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Untuk rekod, bom lama terbanyak pernah ditemui di daerah Tampin pada 25 Oktober 2010 di tebing Sungai Gemas membabitkan 48 bom lama dan 3,000 ribu peluru 303.
Antara jenis bom yang ditemui ialah sebutir Shell Bofors 4OL70, 26 Mortar Launcher, lima Artillery Shell (105), 10 Artillery Shell dan tujuh Hand Granade.
Bom tinggalan Perang Dunia Kedua itu ditemui oleh seorang pemandu jengkaut yang sedang mengorek tebing Sungai Gemas bagi melebarkan dan mendalamkan sungai berkenaan kira-kira 11.30 pagi.