KUALA PILAH – Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) dalam proses membuat kertas kerja ke Majlis Angkatan Tentera (MAT) bagi meluluskan permohonan bekas tentera sarjan Sulaiman Piei, 84, berhubung masalah ketiadaan pencen setelah didakwa berkhidmat lebih 21 tahun.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Zulfazlee Zamri, berkata, pihaknya sedia maklum tuntutan pencen Sulaiman dan telah memberi sepenuh perhatian kepada perkara tersebut.
“Berdasarkan rekod perkhidmatan, beliau (Sulaiman) telah berkhidmat sebagai Sapper dalam Royal Engineer (British Army) menggunakan nombor tentera MYA 18105515 selama tujuh tahun dari 23 November 1951 sehingga 22 November 1958.
“Kemudian sebagai anggota sukarela pada 29 April 1960 sehingga 28 Ogos 1964, lalu dikerah sepenuh masa selama 14 tahun enam bulan 23 hari pada 29 Ogos 1964 sehingga 20 Mac 1979.
“Bagi rekod tentera MYA dan rekod sepenuh masa sahaja yang diakui perkhidmatan mengikut Peraturan 14 (g) dan (h) kepada Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (pencen, ganjaran, dan faedah-faedah lain) 1982.
“Manakala rekod anggota sukarela tidak boleh diakui kerana perkhidmatan sukarela bukanlah perkhidmatan bergaji penuh,” katanya.
Zulfazlee berkata, rekod juga menunjukkan Sulaiman hanya dikerah sepenuh masa dalam Angkatan Sukarela dan tidak diserap dalam Angkatan Tetap.
“Pengadu memohon berhenti dari perkhidmatan atas kehendak sendiri dan telah dibayar pampasan mengikut peraturan semasa iaitu Malay Regiment 1958," katanya.
Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, katanya, Sulaiman tidak layak dibayar pencen perkhidmatan mengikut peraturan yang diguna pakai pada masa ini.
“Bagaimanapun ia boleh dipertimbangkan atas kelulusan MAT. Kini JRP juga dalam proses membuat kertas kerja ke MAT bagi meluluskan permohonan pengadu.
“Jika diluluskan oleh MAT, barulah JHEV boleh membayar pencen dan perkhidmatan kepada Sulaiman,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfazlee turut menjelaskan, bahawa Sulaiman juga penerima bantuan sara hidup dari JHEV bermula dari tahun 2003 sehingga kini berjumlah RM300.