MARANG - Ketibaan musim durian setiap tahun adalah satu rahmat bagi sesetengah pihak khususnya penjaja yang terdiri daripada golongan belia kampung.

Peniaga di persimpangan tiga ke Sungai Serai, Mohd Ubaidillah Salleh, 24, berkata, musim durian umpama lubuk emas bagi peniaga kecil sepertinya malah pemilik dusun durian turut meraih pendapatan lumayan.

“Masa ini harga durian masih mahal, sebiji dijual antara RM8 hingga RM12 berdasarkan saiz dan kualiti,” katanya ketika menggredkan saiz durian dihantar pembekal, semalam.

Mohd Ubaidillah berkata, sejak mula berniaga minggu lalu, ramai pelanggan berpuas hati pada keenakan durian kampung dijual yang diperoleh dari Batu Penunggul dan Sungai Serai.

“Kebanyakan buah ini daripada pemilik dusun durian dari kawasan dekat-dekat sini seperti Batu Penunggul dan Sungai Serai. Durian kampung di kawasan itu terkenal dengan keenakan rasanya,” katanya.

Beliau berkata, pembeli luar lebih gemar berkunjung ke kampung berkenaan untuk membeli durian kerana di kebanyakan tempat, peniaga durian mengguna sistem timbang kilo.

“Kami di sini menjual sebiji-sebiji ikut selera pembeli atau dikumpul dalam kuantiti enam hingga lapan biji dan dijual sekitar RM30 dan ke atas bergantung kepada saiz dan kualiti.

“Bagi remaja di sini, pekerjaan ini merupakan pekerjaan bermusim. Saya juga tak ketinggalan dan berpeluang berniaga kerana pendapatan menjual buah durian agak lumayan hasilnya,” katanya.

Katanya melalui keuntungan diperoleh, dapat digunakan sebagai modal pusingan serta untuk keperluan harian.

Sementara itu, peniaga buah, Muhammad Rosdi, 26, berkata, kemuncak dan kebanjiran durian di sini dijangka berlaku penghujung September termasuk musim durian berkualiti tinggi dari Kampung Jerung.

Dalam masa sama, Muhammad menyifatkan mana-mana pemilik dusun buah-buahan yang telah mengeluarkan hasil masa kini adalah bernasib baik, kerana harganya masih pada nilai tinggi.