PONTIAN - Sebut sahaja tentang durian, pasti terbayang musang king, D24 dan durian kampung. Namun, jika disebut durian chiat chi, pasti ramai yang tidak mengetahuinya.
Peraih durian, Aziz Mohd Nohong, 51, berkata, durian chiat chi sering menjadi buruan peminat durian kerana keenakan rasanya yang manis dan pahit selain isinya yang kuning dan tebal.
Katanya, durian chiat chi sukar diperoleh kerana ia tidak banyak ditanam berbanding durian kampung dan musang king.
“Durian chiat chi kedua termahal seperti musang king. Harganya mencecah RM25 sekilogram. Penduduk setempat memanggilnya chiat chi kerana rasa durian yang manis-manis pahit.
“Bagaimanapun, jika di luar daerah Pontian, durian jenis ini tidak dipanggil chiat chi sebaliknya dikenali sebagai durian D17,” katanya kepada Sinar Harian.
Aziz berkata, durian chiat chi mempunyai peminatnya sendiri yang sanggup membayar lebih semata-mata mahu merasai keenakannya yang sukar diperoleh ini.
Aziz yang merupakan peraih durian di Batu 6 Jalan Penerok Kukup berkata, pengeluaran hasil durian yang berkurangan pada tahun ini ekoran musim kemarau menyebabkan harga raja buah itu melambung.
“Harga durian pada musim kali ini paling mahal sepanjang saya menjadi peraih durian selama 20 tahun.
“Ramai pekebun mengadu durian kali ini tidak menjadi menyebabkan hasilnya berkurangan berbanding tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, durian kampung yang banyak terdapat di daerah ini pernah mencecah harga RM10 sekilogram, manakala durian kacuk yang mempunyai isi lebih tebal dan manis pernah dijual pada harga RM30 sekilogram.
Katanya, walaupun harga durian naik mendadak, namun permintaan terhadap raja buah ini begitu tinggi terutama dari Johor Bahru.
“Pekebun durian dari kawasan sekitar seperti Kukup, Rambah dan Ayer Masin akan menghantar durian di sini seawal jam 9 pagi. Peraih dari Johor Bahru akan datang mengambilnya.
“Sejak musim durian bermula dua bulan lalu, bekalan durian yang diminta peraih memang tidak cukup. Biasanya mereka minta satu tan tetapi kita mampu bekalkan 500 kilogram saja setiap hari,” katanya.
Bagi pekebun, Ismail Bachok Sanusi, 53, selain faktor cuaca, tindakan pekebun beralih kepada tanaman kelapa sawit turut menyebabkan kekurangan hasil durian.
“Pekebun durian semakin berkurangan kerana mereka beralih kepada pertanian tanaman kelapa sawit.
“Hasil tanaman kelapa sawit lebih berbaloi berbanding buah-buah tempatan seperti durian hanya berbuah sekali dalam tempoh setahun.
"Bagi penggemar durian, harga tinggi tidak menjadi alasan buat mereka. Sebaliknya kualiti buah menjadi pilihan utama meskipun harga durian diakui agak mahal pada tahun ini," katanya.
Pelanggan, Abd Manap Bachok, 44, berkata, dia sering datang ke gerai peraih buah di Batu 6 Penerok bersama isterinya Zurina Hashim, 40, untuk mendapatkan durian yang segar.
Katanya, harga durian yang dijual di gerai peraih lebih rendah selain boleh tawar-menawar.
“Harga durian kali ini agak mahal tapi kerana mahu menikmati keenakannya yang hanya berbuah sekali setahun ini, harga bukan menjadi alasan,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: