KUALA KRAI - Hospital Sungai Buloh, Selangor berhasrat untuk menggunakan kepakaran mereka bagi membantu Amni Umairah Basri, 1 tahun 11 bulan, yang menghidap Sindrom Treacher Collins sejak lahir.
Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, hospital berkenaan mempunyai kepakaran dan pernah melakukan pembedahan berkaitan.
Bagaimanapun katanya, kepakaran dimiliki hospital berkenaan mungkin tidak diketahui pihak luar.
“Insya-ALLAH, kita akan bantu sebab kita mempunyai kepakaran dan pernah buat pembedahan berkaitan. Kita akan berhubung dengan Bahagian Pergigian Hospital Kuala Krai dan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai, selain berjumpa dengan pihak lain yang mempunyai kepakaran untuk membincangkan pembedahan ke atas Amni Umairah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan kepada murid SK Kuala Krai, kelmarin.
Menurut Khalid, pembedahan secara percuma itu boleh dibuat di mana-mana sahaja sama ada di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu ataupun Hospital Sungai Buloh dengan mengumpulkan kepakaran yang ada untuk membantu Amni Umairah.
“Kumpulan kita boleh turun ke Kota Bharu untuk membuat rawatan. Jika kita memerlukan bantuan pihak universiti sama ada UM atau UKM, kita akan panggil mereka datang ke hospital. Dengan kata lain, kita akan duduk bersama,” katanya.
Tambah Khalid, Kementerian Kesihatan juga tiada masalah dan mempunyai tabung pesakit yang boleh dikeluarkan sehingga RM30,000.
Tabung Amni Umairah diteruskan
Yang Dipertua PIBG SK Kuala Krai, Siti Azah A Moin berkata, kos dan lokasi pembedahan Amni Umairah diketahui pada satu program anjuran sebuah NGO, di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, Tabung Amni Umairah akan diteruskan walaupun kos pembedahannya percuma memandangkan beberapa siri rawatan dan pembedahan perlu dilakukan selepas ini termasuk rahang dan telinga kanak-kanak itu.
Menurutnya, Pengarah Urusan Kumpulan MEPS, Zulkanain Kassim yang juga Pengerusi Alumni SK Kuala Krai turut bersetuju untuk menyediakan dana seperti dijanjikan sebelum ini.
“Tabung ini sebagai persediaan sekiranya Amni Umairah memerlukan wang segera," katanya.
'Dia teringin sangat makan'
Ibu Amni Umairah, Azlina Arshad, 39, turut berharap agar anaknya dapat dibedah segera bagi membolehkan kanak-kanak itu dapat menjalani kehidupan normal.
Menurutnya, dia sekeluarga juga gembira jika anaknya itu dapat dirawat secara percuma dalam masa terdekat.
"Saya sedih lihat Amni Umairah yang begitu teringin makan, sedangkan dia hanya boleh minum susu melalui tiub, terutama ketika lihat abang dan kakaknya makan.
“Semalam (kelmarin) Amni tidur dan saya keluar jemur kain. Bila masuk semula dalam rumah, saya tengok Amni panjat meja untuk ambil biskut,” katanya.
Menurut Azlina, dia mengetahui Amni Umairah dapat dibedah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (sebelum Hospital Sungai Buloh menawarkan bantuan) ketika ke Hospital Kuala Krai kerana anaknya itu turut mengalami masalah lelangit, atas anjuran beberapa pihak lain termasuk NGO.
Sinar Harian sejak lebih sebulan lalu menyiarkan kisah Amni Umairah setelah keluarganya memaklumkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu memerlukan bantuan RM51,000 untuk menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang akan dilaksanakan segera sekiranya jumlah itu berjaya diperoleh.
Penyakit dihidapi Amni Umairah itu menyebabkan dia tidak boleh bernafas melalui hidung, sebaliknya tiub dipasang di leher bagi membolehkan dia bernafas serta memudahkan lendir dan kahak dikeluarkan.
Amni Umairah turut mengalami beberapa masalah lain seperti rekahan lelangit, kecacatan pada telinga dan muka tidak harmoni.
Wang berjaya dikumpulkan setakat ini berjumlah RM3,538.62, malah MEPS turut menyatakan hasrat untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM25,000 bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani rawatan dengan segera.