BAGI yang biasa menonton video parodi di laman Facebook, pasti dapat mengenali dua anak muda yang sering tampil dengan lawak bersahaja.
Bukan hanya parodi, malah Zukiee dan Jamal antara individu yang sering membantu mempromosikan produk-produk menerusi laman Facebook mereka.
Dikenali sebagai figura media sosial dengan pelbagai video mencuit hati, ia adalah usaha mereka untuk menghiburkan di samping mendidik melalui mesej yang diselitkan selain mempromosi beberapa produk mengikut gaya tersendiri.
Setelah mencipta nama, kini kedua-duanya terpilih untuk menyertai program lawak Super Spontan Superstar.
Bagi Jamal Tetsu atau nama penuhnya Jamaluddin Ahmad Zawawi, 23, walaupun Super Spontan Superstar merupakan langkah pertama, dia amat teruja dan gembira kerana diberi peluang menyertai rancangan berkenaan.
“Pada awalnya kami terkejut ketika dipanggil untuk menyertai boot-camp program berkenaan kerana ia sebuah program yang mempunyai pengikut tersendiri.
“Mula-mula kami takut juga kerana bukan mudah untuk buat lawak secara spontan dan ia berbeza dengan apa yang kami biasa lakukan dalam video-video pendek di Instagram," katanya.
Bagaimanapun, dia melihat itu sebagai peluang besar untuk menimba pengalaman terutamanya daripada pelawak-pelawak berpengalaman yang turut menyertai rancangan itu.
“Ia memang peluang dan batu loncatan untuk kami mengembangkan karier seni ke tahap lebih tinggi.
“Sudah pasti saya dan Zukiee bangga sebab diberi kepercayaan oleh Astro dan Vision Works untuk menyertai Super Spontan Superstar di mana kita semua tahu rancangan tersebut memerlukan semua peserta membuat lawak secara spontan dan perlu berfikir dengan laju,” katanya.
Katanya lagi, jika sebelum ini mereka membuat lawak melalui video yang dirakam, tetapi di dalam rancangan realiti yang ditayangkan secara langsung sememangnya memberi mereka pengalaman baharu yang begitu berbeza.
“Perasaan yang dilalui memang lain, nak menghadapi rasa gugup, gementar, berdebar-debar.... macam-macam lagi lah rasa apabila kena buat lawak secara langsung.
“Namun Alhamdulillah, dengan sokongan yang diberikan peminat, saya dan Zukiee berjaya menghiburkan penonton dan segalanya dapat kami rasai walaupun baru dua minggu membuat persembahan,” katanya.
Bagi Zukiee atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamed, 24, pula, walaupun sudah dikenali di media sosial, program tersebut membolehkan mereka mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dilakukan menerusi video.
“Kami yakin penyertaan menerusi program berkenaan dapat melonjakkan karier kami dan memang menjadi hasrat kami untuk mengembangkan karier dalam bidang seni seperti lakonan dan pengacaraan.
“Pun begitu itu tidak bererti kami boleh memandang ringan terhadap peranan dalam program berkenaan dan akan melakukan bersungguh-sungguh,” katanya.
Zukiee yang memiliki lebih setengah juta pengikut di Facebook berkata, walaupun sibuk dengan program berkenaan, dia dan Jamal akan tetap menghasilkan video pendek di laman sosial.
“Melalui video lawak itulah menjadi platform sehingga kami berjaya ada di sini dan dapat berdiri sebaris dengan artis-artis terkenal melalui program Super Spontan Superstar.
“Kami juga amat hargai tunjuk ajar yang diberikan artis-artis senior yang terlibat dalam rancangan berkenaan, rasa kerdil namun sokongan yang diberi membakar semangat kami untuk menghiburkan peminat-peminat setia,” katanya.
Tambahnya, mereka berdua tidak menyasarkan untuk memenangi pertandingan itu dan menganggap ia sebagai tempat menimba ilmu terutamanya daripada pelawak berpengalaman.