Friday, August 26, 2016

Bob Ringgo Terima Gangguan Pelik Kendalikan Segmen Seram



Bob Ringgo
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Bob Ringgo  beberapa kali menerima gangguan misteri ketika mengendalikan segmen seram 'Jangan Tutup Lampu' di studio radio berkenaan.
Bob Ringgo, 40, berkata, sejak mengelola segmen tersebut dari 2005, ada beberapa pengalaman pelik terpaksa dilaluinya  sama ada ketika bersiaran mahu pun selepas bersiaran.

“Jangan Tutup Lampu turut memberi kesan tersendiri kepada saya dimana selama mengelola slot ini, saya beberapa kali diganggu dengan beberapa kejadian pelik di konti antaranya terasa seperti ada hembusan angin panas setiap kali saya melayan panggilan pendengar,” katanya.

Jangan Tutup Lampu
 disiarkan selama satu jam pada setiap Jumaat pukul 1 pagi.

Tambah Bob, penyampai radio, Halim Othman pernah melihat kelibatnya di dalam studio namun terkejut apabila dimaklumkan dia sebenarnya sudah pun berada di rumah ketika itu.

“Susah untuk saya katakan adakah ini satu badi kerana di awal segmen ini, ada satu kisah seorang pemanggil kemalangan selepas membuat panggilan untuk berkongsi kisah seramnya sehingga saya turut dipanggil pihak polis membantu siasatan,” katanya.
Bagaimanapun kata Bob, dia melihat gangguan itu sebagai ujian selain mengingatkan dirinya bahawa selain manusia, alam ini turut dikongsi makhluk seperti jin seperti dicatatkan dalam Al Quran.

“Banyak lagi sebenarnya kejadian-kejadian pelik yang saya terima ketika mengendalikan slot ini namun biarlah saya simpan sebagai satu kenangan,” katanya.
Jangan Tutup Lampu kini sudah memasuki tahun ke-16 penyiarannya dan menurut penerbitnya, Anna Najla yang juga pemenang Bicarawa Seri Angkasa 2015, segmen ini berjaya membentuk komuniti pendengar tersendiri.
Bob kini dalam rangka siri jelajah 'Tour Suria FM bersama penyampai dan selebriti popular ke beberapa buah lokasi di seluruh negara.

Antara negeri terlibat ialah Kota Bharu, Kelantan dan Kluang, Johor pada 27 Ogos dan 3 September depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: