PELAKON popular Fasha Sandha berharap agar drama terbaharunya, Lara Aishah mampu mencipta fenomena tersendiri.
Katanya, keyakinan itu bersandarkan daripada kekuatan jalan cerita dan karakter yang terdapat dalam drama 100 episod itu.
“Lara Aishah mengingatkan saya kepada drama bersiri, Natasha yang mempunyai pengikutnya lantaran ‘kuasa’ karakter itu sendiri.
“Begitu juga dengan karakter Aishah. Wataknya memerlukan permainan emosi yang begitu mendalam. Jujurnya, bukanlah senang untuk membawakan watak ini.
“Saya ambil masa sebulan untuk mendalami dan mengkaji watak supaya saya faham dengan karakter tersebut,” katanya kepada media ketika ditemui di pelancaran drama bersiri tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun jalan ceritanya masih berkisarkan kepada kisah di antara dua darjat, namun ia mampu mendatangkan kesan di hati penonton.
“Ada kebenaran terhadap cerita ini. Lagipun, ceritanya bukanlah cerita biasa kerana ada kekuatan tersendiri,” katanya.
Lara Aishah menyaksikan gandingan hebat di antara Fasha dengan Nazim Othman dan pelakon lain seperti Datuk Eizlan Yusof, Dian P Ramlee, Jasmin Hamid, Janet Khoo, Sharizal Jazel dan Dayana Roza.
Diadaptasikan daripada siri telenovela popular Mexico, La Loba, drama terbitan Global Station Sdn Bhd ini masih lagi menjalani penggambaran sehingga November depan.
Lara Aishah akan bersiaran menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135), pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 29 Ogos ini.
Fokus karier, anak-anak
Dalam pada itu, Fasha mengakui belum bersedia untuk bercinta semula selepas berpisah dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli, Januari lalu.
Bintang filem Anak Mami Nasi Kandaq itu sebaliknya lebih selesa memberi sepenuh perhatian terhadap karier dan dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 2, dan Putri Raysha Jemyma yang kini berusia setahun.
“Perkara itu (bercinta) bukanlah mudah. Kini, fokus saya hanya pada karier dan anak-anak.
“Lagipun saya sudah ada hero, buat apa saya nak ada hero lagi. Dia ialah Putra Rayfal, dia teman lelaki saya,” katanya sambil tertawa.
Mengakui dirapati beberapa lelaki, selebriti berusia 32 tahun ini bagaimanapun lebih gemar untuk berkawan.
“Biasalah apabila sudah hidup solo, pasti ada saja yang mendekati. Itu normal.
“Tapi, saya lebih suka berkawan sahaja dan menjadikan mereka sebagai sahabat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fasha bakal terlibat dalam penggambaran supertelefilem Qalbu Pun Berakhir tidak lama lagi
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: