SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat  kes samun di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 23,  di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 4 pagi.
"Anggota ternampak kelibat sebuah motosikal yang dinaiki dua suspek dalam keadaan mencurigakan di Stesen Pam Minyak Seksyen 18 dengan penunggangnya  memakai baju berwarna biru sama seperti yang dihebahkan.
"Anggota mengejar dan tiba di hadapan sebuah kilang Seksyen 24, suspek terbabas dan terjatuh sebelum berjaya menahan penunggang.
"Manakala pembonceng berjaya meloloskan diri ke arah lorong gelap di belakang kilang," katanya.
Beliau berkata, siasatan dapati suspek mengaku terlibat dan merampas wang tunai RM60 dalam poket dan polis sedang berusaha mengesan rakannya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.