PENYANYI utama kumpulan rock Wings, Awie mendakwa bekas isterinya, Rozana Misbun, tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan panas baran sepanjang perkahwinan mereka.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, bekas isterinya itu tidak bertanggungjawab dalam menguruskan anak mereka, dengan menyerahkan urusan rumah tangga kepada pembantu rumah dan anak tirinya.
Awie mendakwa, meskipun tidak bekerja dan jadi suri rumah sepanjang masa, Rozana, 38, sibuk dengan urusan sendiri dan telefon bimbitnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan utama peguamnya, Mohd Syafik Norizan dalam perbicaraan tuntutan hak jagaan kekal tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dalam keterangannya itu, Awie selaku defendan mendakwa, bekas isterinya itu juga panas baran dan selalu memaki hamun anak mereka.
Ditanya apakah contoh kejadian menunjukkan sikap itu, Awie menjelaskan, Rozana menengking anak-anak dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan pernah mencubit anak sulung mereka sehingga terkopek kulit.
Katanya, dalam satu kejadian, Rozana pernah menengking Puteri Qasseh Antasha yang masih kecil kerana muntah dalam kereta semasa perjalanan jauh.
Awie turut mendakwa, bekas isterinya itu ada menjalin hubungan dengan seorang datuk dan menteri serta pernah ke luar negara tanpa pengetahuannya.
Sementara itu, menjawab soalan peguam, Jamal Mohd Lokman Sulaiman, pada awal prosiding, kakak Rozana, Haliza Misbun yang hadir sebagai saksi plaintif mendakwa, adik kandungnya itu seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan sentiasa memastikan kebajikan anaknya terjaga sejak lahir hingga sekarang.
“Dia berkorban dan ikhlas hati menjaga, bukan sahaja anak kandungnya, tetapi juga anak tiri hasil perkahwinan defendan terdahulu,” katanya.
Haliza berkata, plaintif juga mengutamakan pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka ke kelas agama, kelas mengaji dan kelas tambahan di rumah, selain sesi persekolahan harian.
"Sejak plaintif mendapat hak jagaan sementara, Puteri Qasseh Antasha, 6, dan Putera Ahmad Rizzki, 7, semakin cergas, ceria, gembira dan montel,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris akan disambung 24 Oktober depan.
Pada 27 Januari 2015, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan hak penjagaan tiga kanak-kanak itu diserahkan kepada Rozana sehingga perintah kekal hak jagaan anak dikeluarkan.
Bagaimanapun, anak sulung mereka Putera Ahmad Merrah, 10, kini berada di bawah jagaan Awie.