MINAT mendalam terhadap bidang seni membuatkan pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus tidak kisah menerima bayaran yang boleh disifatkan ‘terlalu murah’ ketika mula mengorak langkah sebagai anak seni.
Pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid ini mengakui, ‘harga’ yang perlu dibayar untuk menjadi seorang seniman amat besar malah menuntut pengorbanan yang tidak kurang hebatnya.
Bermula dengan pentas bangsawan pada 1983, Ebby berkata, syarat untuk berada di atas pentas berkenaan, pelakon mestilah pandai berlakon, bersilat dan menari.
“Minat yang begitu dalam, ditambah asas bakat yang diasah sepanjang terlibat dalam aktiviti seni ketika itu memberi ruang kepada saya untuk belajar menjadi pelakon yang baik.
“Masa itu adakalanya saya tidak menerima bayaran, cuma dapat makan percuma sahaja...tapi saya tetap redah kerana minat, lagipun ia adalah tempat untuk saya menimba ilmu di dalam bidang yang dipilih.
“Kalau nak kira bayarannya bukanlah mahal sangat cuma RM40 sehari, tetapi bagi saya itulah peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja,” ceritanya.
Kata anak jati Padang Lebar ini, segala peluang yang diberi amat dihargai malah tiada apa yang dikesalinya kerana ia adalah kemahuan sendiri dan sudah pasti kejayaan yang dikecapi memuaskan impian diri.
“Dulu jika nak jadi ekstra (pelakon tambahan) walaupun pegang tombak kena uji bakat. Saya masih ingat lagi ketika itu, jika mendengar ada watak ekstra saya sanggup berjalan kaki dari Sentul ke Filem Negara di Petaling Jaya sebab tak ada duit, semata-mata mahu mencuba peluang untuk berlakon.
“Saya bermula sebagai pelakon ekstra sehinggalah bakat saya akhirnya disedari ramai dan diberi peluang berlakon dalam drama terbitan RTM pada 1985,” katanya yang mendapat didikan dalam bidang lakonan di Kelas Lakonan Ali Fiji Filem Production pada 1983.
Ceritanya lagi, dia ditawarkan untuk berlakon cerita purba seperti Bujang Permai, Keris Hitam Bersepuh Emas dan Pendekar Kundur.
“Ketika itu, saya tidak tahu bakat saya dalam bidang komedi, sehinggalah saya ditawarkan untuk berlakon drama komedi Gado-Gado arahan Anwardi Jamil, Senario, Simpang Tiga dan drama Ala Mak Kahwinkan Aku, arahan Aziz M Osman.
“Sehingga itu, ramai yang mula menawarkan watak komedi kepada saya. Pada 2000, saya mula serius untuk memegang watak komedi dan sememangnya lebih dikenali sebagai pelakon komedi,” katanya yang turut terlibat dalam sitkom seperti Edisi Khas, Mai Cik Mai, Bujang Lapok vs Koboi Kobau dan Karoot Komedia.
Galas tuntutan watak
Mengulas mengenai perkara itu, Ebby mengakui dirinya bukanlah pelawak, tetapi pelakon yang memenuhi tuntutan watak yang diberi.
“Dalam kehidupan sebenar, saya bukanlah suka melawak. Tapi, apabila berlakon, saya perlu kelihatan seperti pelawak mengikut watak yang diberikan.
Bagi saya, penghayatan dalam komedi patut dititikberatkan kerana kerjaya sebagai pelawak memang sukar. Untuk buat orang marah, memang senang, namun untuk buat orang ketawa, memang payah,” katanya yang berperwatakan serius di luar lokasi penggambaran.
“Di pentas atau di TV saya memang pelawak, tetapi saya anggap berlawak hanyalah sebuah lakonan dan ia tidak sama dengan kehidupan.
“Jika peminat mengharapkan saya sentiasa berlawak dalam kehidupan, itu salah kerana menjadi pelawak adalah lakonan yang merupakan kerja saya,” katanya yang masih meneruskan perniagaan Restoran Adam Lai bersama tiga rakan kongsinya, Muhammad Adam Lai Abdullah, Faizal Abdul Jabar dan Mohd Helmy Harun.
Bagi Ebby, biarpun sudah lebih 30 tahun menceburi bidang lakonan dan namanya tidak pernah tercalon dalam kategori pelakon komedi, ia bukan masalah buatnya dan tidak wujud istilah kesal ataupun sedih.
Sebaliknya, anak kesembilan daripada 12 beradik ini tidak pernah henti-henti meneruskan minat dan kerjayanya dalam bidang seni.
Pelakon baru ‘kurang rasa’
Ditanya mengenai industri lakonan pada masa kini, pelakon yang terkenal dengan loghat Negeri Sembilan dalam setiap drama lakonannya ini turut berkongsi pendapat mengenai kehadiran pelakon baru yang ramai ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
“Saya tiada masalah dengan pelakon baru dan pertambahan bakat-bakat baru di dalam bidang seni amatlah dialu-alukan bagi memastikan industri ini mampu mempersembahkan karya berkualiti tinggi dan boleh dibanggakan.
“Terus terang saya melihat pelakon yang ada masa kini terbahagi kepada dua, benar-benar berbakat dan memiliki pakej yang boleh jual seperti rupa tetapi kurang bakat dalam lakonan,” katanya.
Luahnya, tanpa ilmu lakonan yang dilontarkan oleh pelakon hanya akan diterima oleh penonton sebagai sebuah visual semata tanpa sebarang ‘rasa’.
“Rasa yang dimaksudkan ialah persembahan yang sampai ke hati dan minda penonton. Mereka merasai apa yang pelakon cuba sampaikan.
“Pelakon baru boleh dibentuk dengan baik namun mereka sendiri perlu berusaha untuk tampil berkualiti melalui ilmu yang boleh diperoleh melalui kelas lakonan yang dihadiri, jangan hanya bersandarkan rupa,” akhirinya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: